Dahsyatnya air terapi ruqyah
(BHG. 2- Air Hujan dan Air Laut)
MUQADDIMAH
Pencerahan sebelum ini membicarakan tentang betapa dahsyatnya terapi ruqyah pada air zam-zam yang merupakan air terbaik di alam ini malah air zam-zam jugalah yang digunakan oleh Jibril A.S untuk mencuci Nabi saw setelah membelah dadanya seperti tercatat dalam hadith sahih. Pada kali ini saya akan memperjelaskan beberapa jenis air lain yang tidak kurang pentingnya dan lazim digunakan di pusat-pusat perubatan Islam di seluruh dunia. Berikut penjelasannya:
2) TERAPI DENGAN AIR HUJAN.
Air kedua terbaik ialah air hujan. Terdapat 2 (dua) jenis kegunaan air hujan iaitu untuk rawatan kediaman atau rumah yang terkena gangguan dan untuk medium penyembuhan penyakit tubuh badan manusia. Sebenarnya kita boleh hanya menggunakan air biasa sahaja dengan campuran garam atau beberapa jenis perahan limau, namun hasil ijtihad dan tajribah menunjukkan air hujan sendiri ternyata memiliki energi sebagai pengusir jin dan syaitan. Berkaitan hal ini, Allah swt berfirman dalam Surah al-Anfal (8:11):
إِذۡ يُغَشِّيكُمُ ٱلنُّعَاسَ أَمَنَةً۬ مِّنۡهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيۡكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً۬ لِّيُطَهِّرَكُم بِهِۦ وَيُذۡهِبَ عَنكُمۡ رِجۡزَ ٱلشَّيۡطَـٰنِ وَلِيَرۡبِطَ عَلَىٰ قُلُوبِڪُمۡ وَيُثَبِّتَ بِهِ ٱلۡأَقۡدَامَ (١١(
(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu) dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan). (11).
Selain rumah kediaman, pejabat, sekolah, gudang, premis perniagaan dan lain-lain yang terkena pengaruh negatif makhluk halus termasuk sihir, maka antara sarana yang digunakan untuk mengatasi masalah tersebut ialah air hujan. Tidak dinafikan mana-mana premis yang telah diruqyah atau dibentengi menggunakan air hujan, beberapa jenis haiwan perosak seperti ular, kala jengking, tikus dan lain-lain, didapati premis tersebut tidak lagi memasuki kawasan tersebut.
Kaedah rawatan dimulakan dengan solat hajat, zikir dan bacaan set ayat-ayat ruqyah yang turut disertai oleh penghuni atau pemilik premis dan pekerja yang mendudukinya. Sekiranya sukar untuk memperolehi air hujan maka bolehlah digunakan mana-mana air biasa. Setiap kali selesai membaca potongan ayat ruqyah tertentu, peruqyah akan mencelup tangan kanan ke dalam bekas air dan memusing-musing mengikut arah lawan pusingan jarum jam (ikut arah pusingan tawaf). Sesudah itu, maka peruqyah akan meniup ke dalam bekas-bekas air hujan tersebut. Kemudian air tersebut akan direnjis atau dipercik ke segenap sudut dan ruang premis kecuali ke dalam tandas atau jamban. Sepanjang melakukan renjisan atau percikan, dibacakan doa-doa pelindung dan pengusir makhluk halus termasuk ayat kursi berulang-ulang kali sehingga selesai.
Dalam masa yang sama, mereka bersama-sama memohon pertolongan Allah swt agar mana-mana makhluk yang mengganggu pergilah dari situ dan terusirlah dari kawasan premis tersebut. Setelah selesai digalakkan gumandangkan azan di ruang dalaman premis. Lakukan hal yang sama sekurang-kurangnya 3 hari berturut-turut atau 7 hari hingga 11 hari. Sekiranya sepanjang proses tersebut muncul haiwan-haiwan aneh, penampakan tertentu atau tercium bau tertentu atau kejadian misteri atau apa-apa gangguan, maka jangan mempedulikannya kecuali kehadiran binatang berbisa seperti ular yang ketika itu bolehlah dibunuhnya setelah membaca ayat-ayat pelindung. Jangan lupa memperingatkan penghuni kediaman agar melazimi membaca Surah al-Baqarah, terutama ayat Kursi (al-Baqarah 2: 255) sesuai dengan hadith Nabi saw yang bersabda (maksudnya):
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قُبُورًا ، وَلَا تَجْعَلُوا قَبْرِي عِيدًا ، وَصَلُّوا عَلَيَّ ، فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ تَبْلُغُنِي حَيْثُ كُنْتُمْ
Maksudnya: Jangan jadikan rumah kamu sebagai kuburan, dan jangan jadikan kuburanku sebagai Id, bersalawatlah kepadaku kerana salawat kamu akan sampai kepadaku di manapun kamu berada.
Hadith ini dikeluarkan oleh Imam Muslim, Abu Dawud dalam Sunannya (2042), Imam Ahmad dalam Musnad-nya (8605), Al-Tabrani dalam Al-Ausat (8/81 dan lain-lain.
Dalam sebuah hadith lain, Rasulullah saw bersabda:
فإن البيت الذي تقرأ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ لَا يَدْخُلُهُ الشَّيْطَانُ
Maka sungguhnya rumah yang dibaca di dalamnya akan surah Al-Baqarah tidak akan dimasuki oleh syaitan (Hadith Hasan Sahih Tirmidhi).
Abdullah bin Mas`ud mengatakan : Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat dari surah al-Baqarah iaitu ayat 1-5 , ayat kursi ayat 255, dan 2 ayat berikutnya iaitu ayat 284-286, maka syaitan tidak akan masuk ke rumahnya pada malam itu. Dalam satu riwayat lain disebutkan bahawa dia dan keluarganya tidak akan didekati syaitan dan apa yang dibencinya ( binatang buas seumpamanya ). Dan tidaklah ayat ini jika dibacakan kepada orang gila akan membuatkannya sembuh. Kelazimannya terdapat sebanyak 20 susunan atau set ayat ruqyah yang dibacakan untuk merawat premis yang terkena gangguan dan setelah dibaca akan ditiupkan pada air, khususnya air hujan (boleh guna air biasa sekiranya sukar diperolehi). Ayat-ayat tersebut agak panjang untuk disenaraikan di sini dan insyaAllah akan dimasukkan dalam kursus atau seminar anjuran GPMM nanti. Membenteng rumah atau memagari rumah (Dikenali juga sebagai Pagar Ghaib) dengan menggunakan air hujan yang diruqyah tidak asing lagi dalam kalangan perawat.
Saya dimaklumkan bahawa tokoh pengubatan Islam nusantara seperti Ustaz Fadhlan dan Ustaz Juneidi turut mengesyorkan agar pesakit yang mengalami penyakit jiwa, dimandikan dia dengan air hujan yang tidak terkena atap. Perbincangan lanjut tentang hal ini boleh dirujuk dalam kitab Al-Ahkam al-Nabawiyyah fi al-Sina’ah al-Tibiyyah karya Syeikh `Ala’uddin al-Kahhal (520-720 H / 1252-1330 M) . Kitab setebal 480 halaman ini patut dibaca oleh sesiapa sahaja yang mempelajari ilmu perubatan Nabawi dan pengamalnya sendiri.
Pada halaman 398 , Fasal Al-Qawl fi Ma’a al-Matar (Perbincangan Tentang Air Hujan). Penulis buku tersebut memulakan penulisannya dengan menegaskan bahawa: Air hujan merupakan air yang paling baik dan paling lembut, sesuai untuk semua bahagian tubuh dan dapat menyegarkannya dibandingkan dengan air lain. Bermanfaat bagi kebanyakan orang yang sakit disebabkan kelembutannya dan berkatannya.
Beliau mengutip ayat al-Qur’an surah Qaf (50: 9)
وَنَزَّلۡنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً۬ مُّبَـٰرَكً۬ا فَأَنۢبَتۡنَا بِهِۦ جَنَّـٰتٍ۬ وَحَبَّ ٱلۡحَصِيدِ (٩(
Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai; (9)
Sehubungan itu, beliau memasukkankan sebuah hadith dari Abdullah ibn Umar yang berkata bahawasanya Rasulullah saw bersabda (maksudnya):
Sesungguhnya Jibril mengajarkan satu ubat kepadaku untuk menyembuhkan semua penyakit. Kata Jibril, ia (ubat itu) tertulis di lauh mahfuz : Ambillah air hujan yang tidak menyentuh atap rumah yang ditadah di dalam bekas yang bersih. Bacakan padanya surah al-Fatihah sebanyak 70 kali, ayat al-Kursi 70 kali, surah al-Ikhlas 70 kali, surah al-Falaq 70 kali, surah al-Nas 70 kali, laa Ilaaha illallah wahdahu laa syarika lah….(sampai) wa huwa ‘ala kulli syai’in Qadir, berpuasa 7 hari dan berbuka setiap harinya dengan air tersebut.
Hadith tersebut oleh sebahagian penelitinya menganggapnya sebagai hadith Ahad, dan terdapat kemusykilan berhubung bilangan 70 yang disebutkan itu. Namun demikian, hasil tajribah mendapati air kesan mempunyai efek yang luarbiasa dalam penyembuhan.
3) TERAPI DENGAN AIR LAUT
Ramai pesakit kulit (psoriasis dan dermatologi) yang diterapikan menggunakan air laut telah sembuh. Pengakuan pesakit cacar kronik telah sembuh dan kulitnya kembali pulih dan putih bersih setelah diruqyah dan dimandikan dengan air laut. Ini menunjukkan air laut mengandungi energi penyembuhan tertentu. Antara manfaat mandi air laut adalah:
- Air laut memiliki komposisi yang sama dengan komposisi plasma darah manusia. Penggunaan air laut sebagai ubat sudah mulai dilakukan sejak 4 abad sebelum Masehi. Air laut memiliki 84 elemen
vital yang juga terdapat dalam tubuh manusia; termasuk di antaranya vitamin, garam mineral dan asid amino. Selain itu air laut juga kaya dengan mikro-organisme yang menghasilkan santibiotik, antimicrobial dan antibacterial. Tubuh manusia diketahui memiliki kemampuan alami untuk menyerap elemen-elemen tersebut. - Air laut memiliki manfaat bagi kesihatan kulit. Adalah menjadi kelaziman, perkhidmatan spa di seluruh dunia menggunakan garam laut dalam perawatan mereka dan termasuk garam bukit. Garam pada air laut membantu melepaskan racun dari kulit dan berfungsi sebagai pengelupas semulajadi yang melepaskan sel-sel kulit mati serta merangsang pertumbuhan sel-sel baru.
- Air laut juga mengandung banyak mineral, terutama magnesium yang membantu meningkatkan kelembapan pada permukaan kulit sehingga kulit nampak segar bercahaya.
- Salah satu manfaat terbesar yang terdapat dalam air laut adalah kemampuannya untuk menyembuhkan penyakit atau iritasi pada kulit Mulai dari peradangan, psoriasis termasuk luka ringan kerana kandungan garam dan potasium klorida yang terdapat di dalamnya.
- Air laut juga memberikan sumbangan bagi kesihatan tubuh secara keseluruhan. Kandungan elemen vital dalam air laut memiliki kemampuan untuk membantu mekanisme penyembuhan tubuh
serta meningkatkan sistem imunitas tubuh dan peredaran darah. Pori-pori kulit yang tersiram dengan air laut akan menyerap mineral yang membantu mengeluarkan racun dari dalam tubuh. Selain itu juga air laut membantu meningkatkan paras oksigen pada aliran darah yang membantu tubuh dalam melawan radikal bebas. Ada pula zat iodin yang mendukung fungsi sistem kekebalan tubuh dan meningkatkan aktivitas tiroid-antiseptik alami yang membantu tubuh memerangi infeksi, membunuh parasit, bakteri dan jamur. - Air laut juga dipercayai mampu menyembuhkan demam dan gejala flu, termasuk bronchitis and sinusitis. Menghirup garam laut membantu mencairkan lendir dan hingus yang menyebabkan seseorang itu susah bernafas.
- Matahari dan air laut bersinergi dalam membantu tubuh mengatasi stres, depresi dan kelelahan. Kandungan magnesium, litium dan bromine memiliki efek menenangkan dan memiliki kemampuan
menstabilkan serotonin, melatonin dan triptamin pada otak. Magnesium juga berfungsi membuat otot dan saraf rileks sehingga dapat menyembuhkan insomnia.
Kaedah Terapi Mandian Air Laut ialah:
a) Berendam dalam air laut selama antara 30-60 minit (bergantung pada keseriusan penyakit yang dialami) pada waktu pagi sekitar jam 6.30 am atau 7.00 am.
b) Berendam di lokasi air laut yang tidak bercampur dengan air tawar atau air payau (misalnya berdekatan kuala atau muara sungai).
c) Sewaktu berendam dekatkan kedua-dua telapak tangan ke mulut lalu membaca surat al-Fatihah, ayat kursi, al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas dan setelah selesai bacaan setiap surah, hembuskan ke telapak tangan (boleh dibaca sampai 3 kali).
d) Mengusap ke seluruh tubuh dengan air laut menggunakan kedua telapak tangan seraya banyak berzikir meminta kesembuhan kepada Allah swt.
e) Lakukan secara rutin paling kurang 3 kali seminggu dan apabila sudah ada perubahan dapat dikurangi sedikit demi sedikit, dan untuk menjaga agar tetap sihat lakukanlah seminggu atau dua minggu sekali.
KESIMPULAN
Segmen kedua terapi air pada kali ini ialah mengenai air hujan dan air laut. InsyaAllah pada siri berikutnya akan dikupas manfaat tanah lumpur yang dicampur air untuk diterapi sebagai bahan perawatan yang memiliki energi yang sangat luarbiasa. Saya mendapati sebahagian pusat rawatan menggunakan jenis-jenis air yang disebutkan itu, namun ianya boleh menjadi asing bagi sesetengah perubatan pusat lain atau pengamal perubatan Islam sendiri. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. SEKIAN.
Nukilan,
Dr Abdullah Yusof (abdy@GPMM)
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)
Tanggal 25.6.2020 jam 3.40 pm.

