Ilmu, Pengalaman dan Adab dalam Perubatan Islam

Pendahuluan

Dalam dunia perubatan Islam, tiga unsur hok paling penting dan tak boleh dipisahkan ialah ilmu, pengalaman dan adab. Ketiga-tiga ni umpama tiga tungku dalam dapur; kalau salah satu takda, api takkan hidup molek. Perawat Islam sejati kena berpaksikan kepada ilmu yang sahih, pengalaman yang matang, dan adab yang tinggi supaya rawatan dia bukan setakat menyembuh sakit jasmani, tapi jugok membersihkan hati dan aqidah manusia.

Ilmu Sebagai Asas dan Cahaya Panduan

Ilmu ialah tulang belakang dalam segala bentuk rawatan Islam. Ilmu hok dimaksud sini bukan setakat hafal ayat ruqyah atau tahu doa tertentu, tapi lebih luas daripada tu iaitu ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf hok jadi dasar kepada keyakinan dan adab perawat.

Perawat Islam mesti faham bahawa Allah Ta‘ala lah satu-satunya Penyembuh, sebagaimana firman-Nya:

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ

“Dan apabila aku sakit, maka Dialah (Allah) yang menyembuhkan aku.”
(Surah Asy-Syu‘ara: 80)

Maknanya, ilmu hok utama bagi perawat ialah ilmu tauhid supaya dia tak tersasar daripada pegangan aqidah. Bila ilmu tauhid kukuh, barulah ilmu ruqyah, doa dan herba jadi alat bantu bukan tempat bergantung.

Tok-Tok Guru Pondok selalu pesan:

“Belajarlah dulu hok mana ‘illat, hok mana syirik, hok mana doa, hok mana khurafat. Jangan duk campur doh, nanti jin hok suko.”

Perawat kena rajin mengaji kitab-kitab hok muktabar bukan baca buku popular semata. Sebab ilmu ni cahaya.. kalau salah sumber, cahaya tu jadi kelabu.

Pengalaman Sebagai Guru Kedua

Lepas ilmu, datang pula pengalaman. Pengalaman ni mengajar perawat supaya lebih tenang, sabar dan berhemah. Kadang dalam rawatan, perawat akan jumpa macam-macam jenis gangguan: ada jin tua, jin pendendam, jin menyamar wali, malah jin hok berpura-pura insaf. Semua ni ujian bukan untuk tunjuk kehebatan, tapi untuk uji keteguhan hati dan istiqamah perawat.

Perawat berpengalaman dia tak mudah melatah. Bila jin menjerit, dia tak balas jerit. Bila jin menyamar baik, dia tak cepat percaya. Sebab pengalaman ngajor dia bahawa jin pandai bermuka-muka.
Kata seorang Tok Guru Pondok di Kelantan:

“Kalau mu gi rawat, biar ilmu mu memimpin tangan mu, bukan emosi mu memimpin lidah mu.”

Pengalaman juga buat perawat kenal beza antara simptom perubatan moden dengan simptom gangguan makhluk halus. Dia tahu bila kena ruqyah, bila kena rujuk doktor, sebab Islam tak pernah suruh tolak ilmu sains selagi tak bercanggah dengan syarak.

Adab Sebagai Benteng Rohani

Adab ialah pakaian perawat sejati. Ia bukan boleh diajar dalam sehari dua, tapi hasil didikan hati dan latihan jiwa. Adab dalam perubatan Islam ada tiga cabang utama:
1. Adab dengan Allah Ta‘ala

  • Sentiasa yakin bahawasanya hanya Allah hok menyembuh.
  • ⁠Tak rasa megah kalau pesakit sembuh, dan tak putus asa kalau belum sembuh.
  • ⁠Selalu jaga wuduk, zikir, dan solat malam sebagai makanan rohani.
    1. Adab dengan pesakit.
  • Jangan hina pesakit walau dia kena saka, sihir atau jin.
  • ⁠Rawat dengan lemah lembut, sabar, dan penuh kasih sayang.
  • ⁠Jangan buka aib pesakit, sebab perawat tu amanah. Nabi SAW bersabda: “Barang siapa menutup aib saudaranya, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (Riwayat Muslim)
    1. Adab dengan guru dan ilmu.
  • Jangan ambik jalan pintas dalam ilmu rawatan.
  • ⁠Kena berguru, sebab sanad tu penting untuk elak tersasar.
  • ⁠Kalau guru bagi amalan, jangan ubah ikut sedap sendiri tanpa izin.

Adab ni hok buat rawatan tu berkat dan diterima Allah. Sebab kadang-kadang bukan sebab ayat panjang atau pendek, tapi sebab hati perawat bersih, Allah bagi kesan pada bacaannya.

Kesimpulan

Ilmu, pengalaman dan adab ni ibarat tiga tungku dalam periuk perubatan Islam. Kalau salah satu goyang, maka rawatan tu tak jadi molek. Ilmu bagi panduan, pengalaman bagi kematangan, dan adab bagi keberkatan.

Perawat hok cukup tiga-tiga ni bukan sahaja boleh rawat jasad, tapi jugok menyembuh jiwa dan menegakkan aqidah umat. Dalam dunia perubatan Islam moden ni, makin ramai hok minat belajar rawatan, tapi kalau tak disulam dengan adab dan ilmu, maka rawatan tu akan lari daripada tujuan asalnya iaitu mendekatkan manusia kepada Allah, bukan menakutkan mereka dengan jin.

Wallahua’laam.

Penyusun :
Ust Asmad Al-Azhari
Alumni Al-Azhari
Ahli GPMM Berdaftar