Cara mengenali bomoh sihir dan berkhadam
Ramai orang yang sering mendapatkan khidmat bomoh dan dukun-dukun apabila ditimpa sesuatu musibah dan sakit.
Lebih khusus apabila sakit-sakit berbentuk mistik ATAU apa yang di kaitkan dengan istilah terkena buatan orang. Malangnya bomoh yang di beri kepercayaan itu bukan mengubat, tetapi menambahkan lagi penyakit selain menyebabkan akidah si pesakit terjejas teruk. Di tambah pula dengan banyak aduan kes jenayah seperti cabul, rogol dan zina.
Justeru adakah benar jika bomoh dijadikan pilihan?
Saya berbicara tentang bomoh kerana majoriti mereka yang dianggap bomoh ini sebenarnya punya kaitan dengan tukang sihir dan pengamalan ilmu sihir.
Justeru harus diawasi dan dihindari segala bentuk perubatan yang pelik, ghaib, dan pengamalan bacaan-bacaan tertentu yang tidak wujud dalam Al-Quran & as-Sunnah. Demikian juga dengan amalan-amalan yang menyalahi hukum syarak. Ketahuilah bahawa ulama salaf menyatakan bahawa : “Mati dalam keadaan sakit lebih baik daripada sembuh tetapi telah melakukan syirik”.
Mari kita kenali tanda-tanda bomoh jahat yang mengamalkan sihir dan wajib dihindari. Semoga dengan itu, kita selamat daripada kejahatan mereka samada dari sudut agama, kewangan, maruah mahupun masa yang kita miliki.
Ciri-ciri ini apabila di kenali ianya dapat mengelakkan anda daripada kesesatan yang dengan izin Allah kita akan selamat daripada terjerumus kepada dosa besar ini.
[TANDA-TANDA ZAHIR TUKANG SIHIR (BOMOH SIHIR).]
1) Soalan si bomoh kepada pesakit tentang nama pesakit dan nama ibunya.
2) Permintaan si bomoh agar di berikan kepadanya apa-apa kesan milik si pesakit seperti sikat, baju, rambut, kuku dan sebagainya.
3) Meminta daripada si pesakit agar dibawakan haiwan tertentu dengan sifat-sifat tertentu untuk dibuat korban kononya, dengan menyebut nama-nama tertentu bukan dengan nama Allah. Kemudian darah binatang itu diletakkan pada bahagian yang sakit.
4) Si bomoh menulis gambarajah atau rumus-rumus tertentu yang tidak difahami yang mengandungi angka dan huruf-huruf tidak bersambung @ nama-nama binatang pada kain @ kertas.
5) Dalam tempoh bacaan jampi, dia mengangkat suaranya apabila membaca ayat Al-Quran dan kemudian membaca berkumat-kamit sesuatu yang tidak jelas dan tidak difahami maksudnya.
6) Si bomoh memberi sesuatu sebagai tangkal yang dipakaikan kepada si pesakit. Ianya mengandungi rumus-rumus dan gambarajah empat segi, tiga segi dan sebagainya dengan nombor-nombor dan huruf-huruf yang tidak bersambung. Di letakkan pula syarat pada pemakaiannya.
7) Si bomoh memerintahkan pesakit agar menghindari manusia dalam tempoh-tempoh tertentu. Tidak bergaul dengan mereka serta menyorok dalam satu bilik yang gelap, dan tidak dibenarkan melihat matahari.
8) Terkadang si bomoh meminta supaya pesakit tidak menyentuh air selama tempoh tertentu. Kebiasaannya selama 40 hari. Kadangkala bomoh menyuruh supaya pesakit meletakkan lambang salib di tengkuknya. Ini menunjukkan bahawa jin yang membantunya beragama kristian.
9) Si bomoh memberikan sesuatu kepada pesakit untuk di tanam di bumi.
10) Si bomoh memberikan kepada pesakitnya kertas yang bertulis dengan sesuatu untuk di bakar dan diperasapkannya kepada pesakit.
11) Si bomoh bercakap dengan seseorang yang berada di dalam majlis, tetapi tidak dapat dilihat. Si bomoh meminta izin dan pertolongan “orang itu” untuk mengubati pesakit. Si bomoh juga memberi keyakinan kepada jin (orang itu) bahawa pesakit tidak datang kepadanya kecuali dia telah yakin dan meyukainya.
12) Kadang-kadang si bomoh menulis sesuatu rumus atau gambarajah tertentu disertakan huruf-huruf yang tidak bersambung dengan nombor-nombor tertentu yang kemudiannya di rendamkan di dalam air, lalu diberi kepada pesakit sebagai minuman.
13) Si bomoh tidak menerima pesakit pada bulan Ramadhan khususnya pada 21 Ramadhan hingga akhir.
14) Sesiapa yang sentiasa membaca zikir pagi dan petang atau yang dikenali sebagai ma’thurat, maka si bomoh tidak akan menerimanya sebagai tetamu dan tidak selesa dengan kehadirannya.
15) Meletakkan sebekas air yang biasanya di campurkan dengan najis seperti air kencing,supaya jin mampu dilihat oleh si bomoh dan muncul kepada tukang sihir tersebut.
16) Kebiasaanya si bomoh menggunakan asap kemenyan dalam perubatannya. Asap kemenyan yang busuk itu bagi menyeru jin untuk membantunya. Ini berbeza dengan “bukhur”(asap kayu gaharu yang berbau wangi), ianya sangat tidak disukai oleh jin-jin.
17) Yang paling jelas lagi ialah si bomoh merupakan orang yang tidak menunaikan solat. Tidak istiqamah dalam melaksanakan tuntutan-tuntutan agama yang fardu, apatah lagi yang sunat.
Terkadang, Allah mengurniakan sedikit firasat (tekaan tepat) kepada orang-orang yang soleh dan alim ulama sehingga mereka mengetahuinya sekalipun dengan hanya melihat wajah tukang sihir. Ini kerana, tukang sihir @ bomoh itu telah di cabut keimanan daripada wajahnya dengan sebab kesyirikan-kesyirikan yang di lakukannya.
Semoga Allah melindungi kita dan ahli keluarga kita semua daripada kejahatan-kejahatan tukang sihir dan syaitan yang di rejam.
Wallahua’laam.
Penyusun
Ust Asmad Al-Azhari
Ahli GPMM Berdaftar

