Salahkah seru jin?

Jin adalah juga makhluk Allah, ada yang beriman dan ada yang sebaliknya. Kita tidak mengatakan perbuatan menyeru jin itu salah dan sesat tanpa melihat bentuk seruan itu dilakukan dan tujuan ianya dilakukan.

Seorang pensyarah UniSZA menyebut bahawa; Kata seru ialah kata yang digunakan untuk menggambarkan perasaan seseorang seperti marah, sedih, gembira, sakit, hairan, kagum, terkejut, dan sebagainya. Cara penggunaannya disesuaikan dengan intonasi pengucapan iaitu dengan nada meninggi atau menurun.

Apakah seruan kepada jin untuk tujuan berdakwah itu salah. Kita selalu dengar ungkapan seruan Ilahi, seruan berjihad, seruan berinfaq dan sebagainya. Cuma seruan jin ini perlu dimaknai secara tepat dan jelas.

SERUAN merujuk kepada ungkapan ditujukan secara berfokus dengan tujuan mendapatkan perhatian. Ia juga ditujukan kepada pihak tertentu bagi menyampaikan penyatuan, perintah, saranan, nasihat, larangan dan seumpamanya.

Ungkapan seruan turut digunakan ketika marah, sedih, rintihan, pengharapan dan banyak lagi. Dalam bahasa Arab, gaya bahasa seruan dikenali dengan an-Nida’ النداء .

Seruan boleh digunakan seorang anak ketika berbicara dengan ibunya, seorang guru kepada muridnya, seorang individu kepada rakannya, juga seorang hamba kepada Tuhannya. Lihat sahaja apabila kita berdoa kepada Allah, ada kalanya kita sebut, “Ya Allah”, “Ya Rabb”, “Ya Arhama ar-Rahimin” semuanya seruan seorang hamba kepada Allah untuk diperkenankan sesuatu hajat.

Memang tabiat hamba sentiasa mengharapkan seribu satu hajat dan permohonan dalam hidupnya. Semua orang tidak perlu berasa malu untuk menyeru Allah dalam doanya. Bahkan, Allah menyukai hamba-Nya yang menadah tangan memohon hajat kepada-Nya.

Ia bukti hamba memiliki banyak kelemahan, dan hanya Allah yang Maha Berkuasa memperkenankan segala permintaan yang baik. Sedarkah kita, Allah turut menyeru manusia supaya melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

Jangan jadi insan yang hanya pandai menyeru Allah untuk memenuhi hajatnya. Sedangkan seruan Allah langsung tidak diendahkannya. Ada banyak seruan dinyatakan Allah menerusi firman-Nya dalam al-Quran.

Seruan itu dikhususkan kepada golongan beriman serta golongan yang mengaku beriman kepada Allah. Jadi berhati-hatilah bila seruan itu ditujukan kepada jin.

Rujuk firman Allah yang dimulai dengan ayat “Ya ayyuhal lazina aamanu…” (Wahai orang yang beriman). Persoalannya, adakah seruan Ilahi itu dihayati dan disahut hamba-Nya?

Allah menyeru golongan beriman supaya meninggalkan perbuatan serta sangkaan buruk terhadap orang lain. Juga larangan mengintip hal orang lain serta mengumpat perkara bersifat peribadi dengan tujuan jahat.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain…” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Begitu juga seruan Allah kepada orang yang beriman supaya bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Jangan berpura-pura menerima agama Allah, namun hakikatnya diri tidak mengiktiraf ketinggian Islam.

Apa juga yang berlaku, pastikan diri tetap mempertahankan Islam meskipun hal itu tidak disukai golongan kafir. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Surah Ali Imran, ayat 102)

Allah menyeru umat Islam supaya memperbanyakkan selawat terhadap Rasulullah. Itu antara bukti kasih sayang dan cinta kepada Baginda. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad), wahai orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Banyak lagi seruan Allah kepada golongan yang beriman. Semua seruan itu diikuti dengan saranan dan ada juga larangan daripada Allah. Jadi sahut seruan itu kerana semuanya demi kebaikan hidup di dunia dan akhirat.

Berdasarkan sedikit penjelasan di atas, jelaslah bahawa seruan ke arah kebaikan. Dalam perubatan, baik kaedah tradisional mahupun kaedah Islam amalan seru jin memberi makna yang buruk, sesat, menyalahi aqidah dan syariat. Benarkan sedemikian?

Ada dua situasi yang perlu diperhatikan samada seru itu membawa kebaikan atau keburukan. Sebagai contoh:

  1. Perawat menyeru jin agar jangan berterusan mengganggu pesakit.
  2. ⁠Perawat menyeru jin keluarlah dari jasad manusia yang diganggunya.
  3. ⁠Perawat menyeru jin dengan seruan nasihat, berdakwah dan mengajak memeluk Islam.
  4. ⁠Perawat menyeru jin agar hadir untuk memberi amaran dan peringatan tentang akibat buruk di dunia dan akhirat.
  5. Dan lain-lain.

Di sini satu lagi contohnya ialah:

  1. Perawat menyeru jin datang bersekongkol untuk mengkhianati manusia.
  2. ⁠Perawat menyeru jin hadir dalam ritual yang bertentangan dengan syarak.
  3. Perawat menyeru nama-nama jin dalam upacara rawatan dan meyakini jinlah sebagai penolong mereka.
  4. Perawat menyeru jin agar mengganggu seseorang dengan menyediakan pelbagai sajian yang disepakati.
  5. Dan lain-lain.

Kesimpulan

Berdasarkan beberapa contoh tersebut, jelaslah amalan menyeru jin bergantung pada cara dan tujuannya. Itu adalah dari perspektif pengamal perubatan Islam. Di sisi orang awam pula, mungkin hanya ada satu sahaja tanggapan iaitu perbuatan menyeru jin adalah tetap menyalahi ajaran agama Islam tanpa kompromi.
Jadi fikir2 kanlah. Sekian.

-DrAbdy 15.10.24