Jin keluar datang lagi (bahagian 2)

Peruqyah kadangkala berputus asa dan kecewa setelah ada jin yang telah dikeluarkan, datang kembali secara berulang-ulang kali seperti tiada noktah. Jin tersebut nampaknya tidak serik walaupun kesakitan setiap kali ruqyah dibacakan, kedegilan tersebut adalah pada tahap diluar kemampuan. Berdasarkan pengalaman, berikut adalah beberapa hal yang peruqyah tidak boleh terlepas pandang dalam menghadapi situasi tersebut, iaitu;

  1. Pesakit gangguan ibarat sudah disediakan tapak atau saluran keluar masuk, ibarat pintu yang sepatutnya berkunci namun peruqyah tidak menutup dan menguncinya dengan betul,
  2. ⁠Perawat pula jarang bersujud syukur setelah jin berjaya dikeluarkan.
  3. ⁠Peruqyah tidak memastikan semua jin dan suku sakat mereka keluar dan tidak bersisa.
  4. ⁠Perawat perlu pastikan ke mana mereka pergi dan jejaki mereka.
  5. ⁠Perawat perlu pastikan jin yang keluar tidak akan kembali semula, jika tidak dia akan terima penangan yang lebih dahsyat dan balasan dari Allah SWT.
  6. Perawat kena pastikan dalam tempoh tertentu atau 6 bulan, jangan biarkan pesakit masuk ke hutan, ke laut, ke sungai, melakukan aktiviti perkhemahan di kawasan berbukit, bermalam di rumah lama yang jarang berpenghuni atau menginap di hotel: atau tempat penginapan berhantu.
  7. ⁠Jangan biarkan pesakit kerap menonton TV atau wayang cerita hantu dan seram dalam tempoh 6 bulan selepas jin terakhir keluar dari tubuh pesakit.
  8. ⁠Perawat kena terus istiqamah solat hajat memohon kesembuhan untu setiap pesakit yang dirawatnya.
  9. Perawat kena ingat jin yang pintar dan licik akan mengetahui rahsia membuka pintu yang berkunci dengan mencari titik kelemahan perawat dan pesakit.
  10. ⁠Perawat hendaklah sentiasa ikhlas dalam memberi rawatan walaupun tidak diberi sebarang imbuhan oleh pesakit.
  11. ⁠Perawat harus berwaspada, setelah sembuh jangan membanggakan diri dengan menceritakan kepada orang lain dan meviralkan dalam media sosial.
  12. ⁠Perawat jangan terpesona dengan pujian dan kekaguman jin terhadap diirinya.
  13. ⁠Adalah lebih baik sebelum jin keluar ajak dan dakwahilah dia kepada Islam dan Islamkan dia beserta ikrar tidak akan murtad dan mengulangi kerja mengganggu manusia.
  14. Jika ada kesempatan tanya jin itu kenapa dia kembali setelah keluar dan tidak pergi terus.
  15. ⁠Segala yang terjadi baik jin pergi dan kembali itu semua atas kehendak Allah dan perawat tidak boleh berputus asa berikhtiar dengan ikhlas.

Kepada para jin syaitan yang membaca tulisan ini, (jika ada) cukuplah kamu menganiaya manusia, kembalilah kepada Islam. Kamu pun tahu kiamat menghampiri, jadi ambillah keputusan bijak sebelum terlambat. Jangan sampai kamu menyesal jika peruqyah terus membaca ayat pembakar jin syaitan, dan jika kamu musnah, ertinya kamu akan mati katak, sia-sia sahaja hidup kamu beratus atau berpuluh ribu tahun. Sertailah sebahagian spesis sebangsa kamu yang dah muslim dan mukmin, sekian.


Al-Mudawi
22.3.2024