Diagnostic and Statistical Manual of Mystical Disorders (DSMD)
Gangguan personaliti narsistik, ADHD dll. antara isu mental yang semakin meruncing dan memerlukan perhatian. Maka di sini GPMM sekali lagi melalui pelan pelaksanaan masa panjang telah merumuskan amat perlu diwujudkan satu ‘standard’ yang dikenali sebagai DSMD modul. Apa itu DSMD?
Seperti yang sedia maklum, pakar psikiatri dan ahli psikologis klinikal melakukan penilaian atau saringan untuk menilai tahap kesihatan mental seseorang menerusi Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM). Berdasarkan simptom yang terdapat pada seseorang, doktor dapat mengesahkan seseorang itu menghadapi penyakit seperti ADHD, MDD dan sebagainya.
Begitu juga pengamal bidang psikospiritual sudah membangunkan Buku Panduan Terapi Psikospiritual Islam (PTSI) yang turut digunakan oleh pengamal bidang alopati.
Dalam pengubatan Islam juga terdapat lebih 60 tanda dan gejala seseorang itu mengalami gangguan mistik baik sihir, ain dan hasad, santau, saka atau gangguan biasa. Namun demikian perawat biasanya membuat andaian sendiri tanpa merujuk kepada mana-mana manual yang standard. Justeru itu sudah sampai masanya dibangunkan manual khas sebagai panduan kepada pengamal khususnya ahli GPMM yang boleh dinamakan sebagai Diagnostic and Statistical Manual of Mystical Disorders (DSMD).
DSMD ini boleh dibangunkan oleh GPMM sebagai manual rasmi atau ’standard’ yang boleh digunapakai semua pengamal pengubatan Islam tanahair yang semestinya ‘syariah compliance’. Semoga rancangan ini dapat diperhalusi dalam perbincangan biro berkenaan dan diperhalusi secara serius. GPMM akan menjadi rujukan bagi semua pengamal pengubatan Islam walau di mana jua mereka berada. Sekian.
Dr Abdy
24.2.24

