Khadam ayat untuk power?
Ada sebahagian perawat dan pengamal perubatan yang mendakwa mempunyai amalan khadam ayat. Mereka mengatakan bahawa ianya dibolehkan. Persoalan yang timbul ialah siapa sebenarnya khadam ayat? Malaikat atau jin atau syaitan? Allah SWT telah memberi panduan bahawa sesiapa yang berpaling dari intipati dan pengajaran sebenar dari ayat yang diturunkan, maka Allah akan jadikan syaitan sebagai qarin (pendamping) yang akan menyesatkannya dari jalan yang sebenar. FirmanNya dalam surah Az Zukhruf ayat 36-37: ”Dan sesiapa yang tidak mempedulikan pengajaran (Al- Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu jadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Ibnu Qayyim Al Jauzi dalam tafsirnya menyatakan bahawa Al Quran adalah jalan bagi hati seseorang mendapat ketenangan. Justeru, sesiapa yang berpaling dari ajaran sebenar Al Quran atau menggunakan ayat Al Quran dari tujuan asal ia diturunkan, maka Allah akan jadikan baginya syaitan yang menjadi Qarin. Qarin inilah yang akan berkhidmat kepada pengamalnya. Lalu timbul tanggapan bahawa malaikat yang menjaga ayat tersebut telah menjadi penolongnya. Inilah tipudaya dalam amalan-amalan kebatinan seperti ilmu ghaib, ilmu kebal, ilmu khadam ayat dan seumpamanya. Malaikat tidak akan bertugas atas permintaan manusia tetapi hanya kerana patuh kepada perintah Allah.
BERSAHABAT DAN MENGGUNAKAN KHIDMAT JIN DALAM PERUBATAN
Sebahagian perawat menggunakan khidmat makhluk halus dalam kalangan jin sama ada sebagai khadam, pendamping atau sahabat dalam proses merawat pesakit. Mereka mendakwa bahawa jin yang digunakan adalah jin Islam. Perawat sebegini bukan sahaja terkeliru bahkan mengelirukan orang lain terutama pesakit. Kaedah ini sama sekali tidak dibenarkan dalam Islam berdasarkan hujah-hujah berikut:
Hujah Pertama:
Kemudaratan yang Timbul Akibat Meminta Tolong Jin
Allah SWT telah mengingatkan manusia tentang akibat yang akan menimpa mereka sekiranya meminta pertolongan dan perlindungan dari makhluk jin. FirmanNya dalam surah Al-Jin ayat 6:”Dan bahawa sesungguhnya ada beberapa orang dari manusia meminta perlindungan kepada ketua-ketua golongan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” Allah SWT juga memberi amaran bahawa azab neraka bakal menimpa orang-orang yang bersahabat dan meminta bantuan dari jin melalui firmanNya dalam surah Al-An’am ayat 128: ”Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia”. Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat pertolongan) dengan sebahagian yang lain (jin-jin), dan telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami”. (Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah”.
Hujah Kedua:
Nabi Muhammad SAW dan para sahabat tidak pernah meminta pertolongan jin
Dalam sirah Nabi Muhammad SAW dan sirah para sahabat r.a, tidak ada satu riwayat pun yang menunjukkan bahawa Nabi SAW pernah meminta pertolongan dari kalangan jin, apatah lagi menggunakan jin bagi tujuan rawatan mahupun dalam kehidupan harian sebagai manusia biasa. Menurut Imam Al-Alusi dalam tafsirnya, terdapat 6 pertemuan antara jin dan Nabi SAW atas urusan dakwah dan penyampaian ilmu. Tiada langsung unsur meminta bantuan bagi urusan duniawi atau merawat pesakit. Hatta bagi menghadapi peperangan pun, Nabi SAW sendiri tidak pernah meminta bantuan dari malaikat, apatah lagi dari jin. Bala tentera malaikat turun membantu tentera Islam atas arahan Allah SWT, bukannya atas permintaan Nabi.
Hujah Ketiga:
Melihat dan Menguasai jin adalah mukjizat khusus para Rasul
Manusia biasa tidak mungkin boleh melihat jin dalam bentuk yang asal, apatah lagi menguasainya. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al A’raf, ayat ke 27: “Sesungguhnya ia (jin) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari satu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka”. Imam Syafi’i r.a., sebagaimana yang dipetik dalam Kitab Fathul Bari karangan Ibn Hajar al Asqalani, turut menegaskan bahawa sesiapa yang mendakwa dapat melihat jin nescaya terbatal penyaksiannya, kecuali dia seorang Nabi. Ada dakwaan dari para perawat kononnya mereka boleh menangkap, memenjara serta menyembelih jin. Bagi menolak dakwaan batil seperti ini, Imam Muslim meriwayatkan satu hadis dalam kitab Shahihnya: “Satu ketika ketika Rasulullah hendak bersolat, tiba-tiba syaitan datang mengganggu Baginda. Lalu Baginda berjaya menangkapnya dan dicekik leher syaitan sehingga Baginda dapat merasa sejuk lelehan liurnya. Lalu Baginda bersabda: “Kalau bukan kerana aku teringat doa saudaraku Sulaiman (yang berdoa agar Allah tidak memberikan lagi kerajaan dan kebolehan menguasai jin atau syaitan kepada selainnya-rujuk ayat 35 surah Sad) pasti akan ku ikat syaitan itu pada tiang masjid supaya menjadi mainan kanak-kanak di Madinah.” Berdasarkan hadis ini, Nabi SAW dikurniakan kebolehan untuk melihat, menangkap dan merantai jin. Akan tetapi, Baginda SAW menghormati doa dan permintaan Nabi Allah Sulaiman a.s. Justeru, sayugia kita sebagai umatnya turut mengikuti contoh tauladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Hujah Keempat:
Tipu daya jin sangat licik
Makhluk jin adalah makhluk yang penuh tipu daya dan helah. Nabi Sulaiman a.s., yang diberikan kebolehan untuk menguasai jin dan syaitan, juga pernah diperdaya oleh jin bernama Sokhel sehingga Baginda hilang kerajaan selama 40 hari 40 malam (Rujuk Surah As-Sad ayat 34). Begitu juga dengan kisah Abu Hurairah r.a. yang telah diperdaya oleh jin yang mencuri kurma zakat selama 3 malam berturut-turut. Kisah di atas diriwayatkan Imam Bukhari dalam Shahihnya, kitab Al-Wakalah, hadis no. 2311. Ini menunjukkan bahawa makhluk jin dan syaitan mempunyai seribu helah dan tipu daya yang licik serta seringkali menggunakannnya untuk memperbodohkan manusia. Kalau kita manusia biasa yang bukan bertaraf Nabi mahupun sahabat, sudah tentu lebih mudah untuk ditipunya.
Hujah Kelima:
Hanya orang jahil bersahabat dengan jin
Para ulama-ulama khususnya ulama tasawuf yang memahami permasalahan ini melarang sebarang persahabatan dan perjanjian dengan makhluk jin dan menganggap itu adalah perbuatan orang jahil. Syeikh Abdul Wahhab Asy-Sya’rani menegaskan di dalam kitabnya Yawaqitu wal Jawahir, bahawa bersahabat dan bersekutu dengan jin itu sangat keji. Beliau mengatakan: “Barangsiapa memilih dan melebihkan persahabatan dengan jin berbanding bersahabat dengan para ulama, maka orang itu sangat jahil. Kerana menjadi tabiat jin untuk berlebih-lebih dalam perbuatan dan perkataannya, dan selalu berdusta sebagaimana tabiat orang fasik. Maka orang yang berakal harus mengelakkan diri dari bersahabat dan bersekutu dengan jin, sepertimana dia perlu mengelak dari bersahabat dan bersekutu dengan manusia yang fasik.” Beliau menambah lagi: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang bersahabat dengan jin itu mendapat kebaikan, kerana asal kejadian jin itu dari api dan api itu sangat banyak geraknya, maka perbuatan dan perkataan orang itu hanya berlebih-lebihan.”
Syeikh Muhyiddin Ibnu al-Arabi turut menegaskan perkara ini di dalam kitabnya al-Futuhat: “Adapun orang yang bersahabat dengan jin itu tiada beroleh ilmu Allah, kerana jin itu sangat jahil akan Allah dan akan sifat-Nya. Dan terkadang orang yang bersahabat dengan jin itu menyangka bahawa segala perkara (ghaib) yang dikhabarkan oleh jin itu itu adalah karamah daripada Allah Ta’ala baginya. Maka sangkaannya itu adalah batil”. Tambah beliau lagi: “Sesetengah yang telah terjawab bahawasanya banyak orang bersahabat dengan jin itu jadilah takabbur atas segala manusia itu dan barangsiapa takabbur dimurkai Allah Ta’ala akan dia dan dimasukkan ke dalam neraka seperti yang tersebut dalam beberapa ayat Quran dan Hadis Nabi s.a.w.”
Hujah Keenam:
Jin tidak akan rela melakukan kerja-kerja khadam
Khadam ialah orang yang patuh kepada perintah tuannya dalam setiap keadaan tanpa sebarang bantahan. Namun, sekiranya khadam jin ini disuruh melakukan kerja- kerja harian sebagai khadam seperti membersih rumah, membasuh pakaian, memasak, menjaga anak, membeli barangan di pasar, membasuh kereta, nescaya mereka tidak akan melakukan. Bagi mereka, pekerjaan tersebut adalah suatu yang menghinakan. Hal ini telah diterangkan oleh Allah SWT dalam surah Saba ayat 14: “Maka tatkala Kami telah menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya. Maka tatkala ia telah tersungkur, tahulah jin itu bahawa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak tetap dalam seksa yang menghinakan.” Ayat ini menunjukkan bahawa khidmat yang diberikan oleh makhluk jin dan syaitan kepada Nabi Sulaiman adalah dalam keadaan terpaksa. Apabila nabi Sulaiman wafat, mereka merasakan mereka baru terlepas dari perhambaan yang menyeksa lagi menghinakan. Jika suruhan Nabi Sulaiman pun mereka buat dalam keadaan terpaksa, apa lagi suruhan manusia biasa.
– Dr Toorid al Jin
(Pengamal pengubatan Islam / ahli GPMM, Seremban N9)
+6013-3581760