Persatuan Cinta Gaza Malaysia terima cek kemanusiaan
SHAH ALAM – Satu majlis ringkas penyampaian replika cek sumbangan kemanusiaan telah diadakan di perkarangan pejabat Presiden SIRIM Berhad, yang juga Presiden Gabungan Perawat Muslim Malaysia GPMM – Dato’ Dr Hj Ahmad Sabirin Arsyad pada 3 Ogos 2021 baru-baru ini.
Sumbangan ini telah selamat disampaikan kepada wakil Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Ustaz IM Fakhrul yang mana telah disempurnakan dengan kehadiran beberapa lagi perwakilan. Kutipan ini adalah hasil dari infaq dan derma kakitangan SIRIM, ahli-ahli gabungan GPMM dan individu-individu yang prihatin terhadap misi pembangunan dan kemanusiaan penduduk Gaza, Palestin ketika ini.
Sumbangan ini telah disampaikan sebagai tanda keprihatinan rakyat Malaysia terhadap isu-isu yang berkaitan dengan pencerobohan dan penerokaan tanah suci Palestin secara haram sejak puluhan tahun yang lalu yang mana kemuncak pada tahun ini telah tercetus dari peristiwa keganasan rejim zionis yang mengganggu solat tarawikh di Masjidil Aqsa melalui beberapa siri serangan ketenteraan rejim, Ramadan baru-baru ini.
Sehubungan dengan itu Yang Berbahagia Dato’ Presiden Dr Hj Ahmad Sabirin Arsyad sempat merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas solidariti yang ditunjukkan sebagai seorang manusia yang waras dalam memberi reaksi terhadap peristiwa dan ujian yang sedang menimpa saudara kita di sana.

