Bagaimana Nabi SAW meruqyah

MUQADDIMAH

Adalah tidak menghairankan apabila terdapat ramai dalam kalangan umat yang mempertikaikan amalan meruqyah dalam usaha merawat penyakit. Mereka sangsi dan mempersendakannya dan cuba membandingkannya dengan kaedah alopati (perubatan modern) yang kelihatan serba canggih dan sofistikated, berasaskan evidence-based medicine. Malah ada yang cuba menyamai ruqyah dengan jampi mantera yang diamalkan oleh tok-tok bomoh, dukun dan pawang dalam amalan perubatan tradisional. Ruqyah di sini bermaksud jampi atau bacaan menggunakan ayat-ayat al-Quran atau doa-doa dari al-Hadith bagi tujuan pengubatan dan tentu sekali berbeza dengan jampi pada zaman jahiliah baik jahiliah dahulu mahupun jahiliah modern. Jibril a.s sendiri meruqyah Nabi saw dan Nabi mengajarkannya pula kepada para sahabat r.a. Usaha menidakkan ruqyah dan membuang istilah tersebut dari kamus perbendaharaan pengubatan Islam adalah sangat bertentangan dengan sunnah Nabi saw. Tulisan ringkas ini akan mengenengahkan tentang beberapa kaedah ruqyah yang dilakukan oleh Rasulullah saw, agar dengan itu kita tidak termasuk dalam kelompok orang yang ditalbiskan oleh iblis.

KAEDAH MERUQYAH

Di antara kaedah meruqyah yang dilakukan oleh Nabi saw adalah seperti berikut:

1. Hadith riwayat Muslim menyebut Nabi saw meletakkan tangan kanannya ke tempat sakit sambil meruqyah.

2. Hadith riwayat al-Tirmidhi menyebut Nabi saw meruqyah sambil mengusap pesakit.

3. Hadith riwayat Ibn Majah dan Ahmad menyebut Nabi saw meruqyah sambil menepuk anggota (dada) pesakit.

4. Hadith riwayat al-Baihaqi yang menyebut Nabi saw yang meruqyah dan

memperdengarkan bacaan ruqyahnya kepada pesakit.

5. Hadith riwayat Abu Dawud dan al-Tirmidhi yang menyebut Nabi saw menyuruh para

sahabat meruqyah dengan bacaan tertentu (sebagai doa) . Cth bagi pelawat yang

menziarahi pesakit.

6. Hadith Nabi saw melindungi cucunya Hassan dan Husayn dengan suatu ruqyah

(ucapan perlindungan).

7. Hadith riwayat Muslim yang menyebut Nabi saw meruqyah sambil mengenakan

sedikit air liur kepada debu tanah lalu digunakan debu itu untuk pengubatan.

8. Hadith riwayat Ibn Abi Syaibah, al-Tabrani dan al-Baihaqi yang menyebut Nabi saw mencelup jari yang terkena sengatan ke dalam air bergaram sambil membaca 3 Qul

(Juz 112,113 & 114)

9. Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim yang menyebut Nabi saw meruqyah sambil membaca 3 Qul ( Juz 112,113 & 114) lalu menghembus ke kedua tapak tangan beliau kemudian menyapukannya ke seluruh tubuh (sebelum tidur).

10. Hadith riwayat al-Tabrani yang menyebut Nabi saw meruqyah dan meludah (serta menghembusnya) kepada pesakit.

11.Hadith riwayat al-Baihaqi, al-Sunni dan Abu Ubaid yang menyebut Nabi saw menyuruh sahabat meruqyah pada telinga seorang sahabat lain (yang sawan dan pengsan dalam sebuah peperangan).

12. Hadith riwayat Abu Dawud dan Ibn Hibban yang menyebut Nabi saw membaca ayat al-Quran dan ditiup ke dalam air kemudian beliau menjiruskannya (memandikannya) ke atas seorang pesakit.

13. Hadith riwayat Ibn Abbas yang menyebut Nabi saw membaca sebuah ayat al-Quran kepada kedua-dua telinga binatang (tunggangan) yang culas (liar).

Selain itu terdapat kaedah lain yang ditunjukkan oleh para sahabat seperti berikut:

14. Hadith riwayat Ibn al-Daris yang mengeluarkan sumber dari Said bin Jubair r.a bahawa beliau telah membacakan ke atas seorang lelaki yang sakit otak dengan surah Yaasin, tiba-tiba dia kembali siuman (sembuh).

15.Hadith riwayat Ibn Abi Syaibah dan Ibn al-Sunni, lihat Majmu` al-Fatawa Ibn Taimiyyah (19:64-65) yang memetik sumber dari Abdullah bin Abbas bahawa beliau pernah menyuruh dituliskan dua buah ayat al-Quran dan beberapa kalimah untuk seorang ibu yang susah bersalin, kemudian air itu itu digunakan untuk dimandi dan diminum.

Berikutan itu juga terdapat beberapa orang ulamak yang juga tokoh pengubatan yang meruqyah dengan cara tertentu seperti:

Al-Laith r.a yang meruqyah dengan ayat-ayat syifa’ ke atas bekas berisi air kemudian dicurah ke atas kepala mangsa sihir. Untuk selanjutkan tentang kaedah-kaedah bolehkan merujuk kitab al-Tibb al-Nabawiyy susunan Imam al-Dhahabi. Juga kitab Majmu` Maqalat Mutanawwi` (1:52). Mengenai bilangan berapa kali membacanya, Nabi saw pernah bersabda (maksudnya): …sesungguhnya Allah sukakan witir (bilangan ganjil). Walahu A`lam).

RUMUSAN

Berpandukan sumber-sumber tadi, itulah antaranya yang menjadi sandaran bagi para pengamal pengubatan Islam sejati mempraktikkannya dalam amalan seharian. Untuk melihat teks asal hadith-hadith yang disebutkan itu, bolehlah merujuk kepada kitab Sihhah Sittah atau Sunan al-Sittah iaitu kompilasi hadith yang diusahakan oleh al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidhi, Ibn Majah, Abu Dawud dan al-Nasa`i. Namun demikian para peruqyah masih boleh melakukan tajribah dengan bimbingan guru-guru yang mursyid agar hasilnya nanti tidak menyimpang dari aqidah dan syariat Islamiyyah. Ilmu pengubatan bagai lautan tidak bertepi. Mutiaranya boleh dimanfaati oleh semua makhluk Allah di mana jua tanpa mengira batasan waktu dan sempadan geografi. Asalkan berikhtiar kerana Allah tanpa mencari kemegahan dan sanjungan manusia, InsyaAllah kita termasuk dalam golongan yang mengamalkan sunnah RasulNya. Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal. Namun awas !, mungkin musuh sedang bersembunyi di situ untuk mematuk mangsanya jika tidak berhati-hati. Yakni kita- kita, jika tidak kita akan tewas sebelum mengasah pedang untuk dihunus dalam perjuangan memartabatkan perubatan Islam.

SEKIAN, TERIMA KASIH.

Dr Abdullah Yusof 
(EXCO/Ahli GPMM No: GI-0007)