Betulkah perubatan hospital itu juga perubatan Islam?

Ramai yang kata termasuk ramai ustaz dan agamawan bahawa perubatan moden di hospital juga adalah perubatan Islam selagi tidak bercanggah dengan aqidah dan syariat. Memang ya dari segi prinsip umum namun bagi yang arif akan memahami bahawa:

Perubatan Islam adalah umum, pengubatan Islam lebih khusus, ruqyah syar`iyyah lagi khusus…. bukan sahaja secara zahir dan tidak bertentangan dengan Islam, bahkan pengamalnya hendaklah orang yang beriman, bertaqwa dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dan mengikuti sunnah rasulNya, mengetahui ayat2 umum dan ayat-ayat pengubatan, mengetahui ayat-ayat untuk penyakit fizikal dan penyakit spritual, mengetahui sign (tanda) dan simptom kedua-dua kategori penyakit tersebut, mengetahui kaedah rawatan, mahir dalam memilih bahan-bahan rawatan, berkemampuan memberi sesi kaunseling dan ada pengetahuan psikologi sewaktu berdepan dengan pesakit, mengetahui kaedah membenteng diri dan pesakitnya, mengetahui asal usul, sifat dan kemampuan makhluk-makhluk ghaib serta campurtangan mereka dlm kehidupan manusia… dan yang paling penting berpegang kepada konsep pengubatan Islam berteraskan tibb Al-Nabawi bahawa penyakit datang dengan kehendak dan izin Allah dan Dia jualah yang memiliki kuasa penyembuh.

Perubatan alopati (moden) tidak meletakkan kuasa penyembuh kepada Allah Ta’ala, tetapi semata-mata bergantung kepada kaedah rawatan, ubat, medikasi, vaksin, operasi tertentu dsb. Konsep penyembuhan juga berbeza; rawatan Islam menitikberatkan pemulihan semula anggota atau organ manusia yang mengalami kemorosotan sehingga dikembalikan fungsi asalnya sedangkan perubatan alopati (moden) berusaha menghilangkan rasa sakit dan menyingkirkan agen2 yang mendatangkan penyakit.

Namun demikian alangkah indahnya kita masing-masing dapat saling memahami dan tidak meremehkan antara satu sama lain malah harus wujud integrasi keduanya kerana kuasa penyembuhan itu milik Allah Ta’ala dan bukan semata-mata dari kepandaian manusia.

Dr Abdullah Bin Yusof
Exco GPMM