Sakit jiwa ke sakit gangguan?

Beberapa hari lepas, netizen heboh apabila sebuah video yang memaparkan seorang sedang merasuk sakan di katil sebuah wad hospital dan ditularkan dengan pantas serta mendapat pelbagai reaksi dan komen netizen. Ada yang mengatakan memang pesakit mengalami gangguan jiwa dan sebahagian lagi berpendapat dia mendapat gangguan makhluk halus atau sihir. Pendapat yang mana satu yang benar; adakah salah satunya benar atau kedua-duanya benar atau kedua-duanya salah. Masalah timbul apabila pasukan perubatan tidak dapat mengesahkan secara pasti samada dia adalah pesakit mental atau bukan.

Dalam hal seperti itu, terdapat juga para peruqyah yang sukar membezakan adalah ianya penyakit medis atau disebabkan oleh gangguan makhluk halus termasuk sihir. Selain dua kemungkinan tersebut, ada satu lagi kemungkinan yang mungkin berlaku iaitu seseorang yang berpura-pura merasuk. Hal serupa ini pernah berlaku sehingga peruqyah tidak dapat mengetahui puncanya dan kebuntuan ini ditambah dengan aksi orang itu seolah-olah seperti mengalami gangguan sebenar. Bagaimanapun dalam tulisan ini, saya tidak akan menyentuh pesakit yang berpura-pura sakit mental atau gangguan. Jika berlaku sedemikian, dia juga sebenarnya sakit, namun tidak termasuk dalam perbincangan pada kali ini.

Terdapat banyak penyakit yang tergolong aneh menurut perspektif ilmu sains perubatan. Bahkan sudah menjadi semacam mitos pula dalam kalangan masyarakat bahawa jika ada penyakit yang tidak mampu disembuhkan oleh dokter atau pakar psikiatri, maka ianya digolongkan sebagai terkena serangan makhluk halus atau sihir. Benarkah begitu?. Bukan sahaja doktor, malah pengamal perubatan alternatif, peruqyah, dukun dan pawang pun ramai yang terkeliru. Mungkin terdapat strategi kelompok tertentu untuk mengaut keuntungan berganda ketika menangani kes-kes serupa itu setelah membuat pelbagai andaian. Selain itu terdapat pengamal yang kemampuan ilmunya sangat terbatas dan kurang berpengalaman, lalu mencuba-cuba menggunakan pelbagai kaedah sebagai eksperimen untuk mengubati seseorang.

Dari perspektif perubatan Islam, terdapat metode tertentu untuk membezakan antara masalah kejiwaan sebenar dan yang kerana gangguan makhluk halus termasuk sihir. Penjelasannya adalah seperti berikut:

a) Penyakit kejiwaan seperti stres, depresi, bipolar, schizopren, paranoid, disosiatif, split personality dan lain-lain, punca masalahnya disebabkan oleh faktor-faktor yang berasal dari kondisi alam bawah sedarnya yang dipengaruhi oleh pola berfikir yang negatif. Puncanya ada dalam dirinya sendiri. Ini bererti penyebabnya adalah internal.

b) Penyakit gangguan makhluk halus atau sihir pula, masalahnya adalah datang dari external atau bersifat luaran. Ia dicetuskan dari serangan energi negatif yang dibawa oleh mahluk halus yang datang dari luar tubuh/fikiran manusia.

c) Antara kaedah mendeteksinya ialah menggunakan terapi ruqyah dari ayat-ayat al-Qur’an yang disusuli dengan beberapa pertanyaan langsung secara verbal. Sambil memerhatikan bahasa tubuh pesakit. Peruqyah juga akan melakukan teknik picit atau tekan di beberapa poin tertentu di tubuhnya (terdapat 11-13 poin yang sering dijadikan poin deteksi tubuh pesakit gangguan).

d) Setelah terapi ruqyah dilakukan, akan terjadi reaksi yang berlainan antara penyakit kejiwaan dengan penyakit gangguan. Keputusan diagnosis menunjukan keputusan yang diperolehi adalah hampir pasti bahkan mutlak sifatnya termasuk ke atas pesakit yang berpura-pura.

e) Reaksi pesakit yang terkena penyakit kejiwaan akan nampak dia seperti kebingungan tetapi relaks dan jika ditanya informasi ringkas seperti namanya, dia akan menjawab seperti yang sebenarnya. Di sinilah pendekatan kaunseling akan digunakan sewaktu berkomunikasi dengan pesakit.

f) Jika pesakit tersebut benar-benar terkena gangguan makhluk halus, maka akan terdapat reaksi keras setelah bacaan ayat-ayat ruqyah dimulakan. Antara reaksi segera ialah pesakit akan mengalami satu atau lebih situasi berikut iaitu:

Menangis, ketawa, menjerit, bertempik, menendang, meronta-ronta seperti orang kerasukan dan sebagainya. Reakasi lain ialah pesakit akan terus pengsan semasa ruqyah dibacakan dan setelah sedar dia mungkin bercerita dan membuka rahsia tertentu termasuk perkara aib.

Memang sangat sukar untuk membezakan terutama pesakit Schizofrenia yang halusinasinya sangat kuat. Justeru itu sebahagian peruqyah mengandaikan dia terkena gangguan atau sihir dan itu pun sekadar telahan atau agakan semata-mata. Pesakit atau keluarga pesakit lebih suka dikatakan terkena gangguan berbanding disahkan sebagai pesakit jiwa atau gila atau schizofrenia. Mereka tidak suka atau selesa sekiranya peruqyah mengatakan sedemikian walaupun tanda dan gejala menunjukkan mereka bukan pesakit gangguan, malah pesakit jiwa.

Kesimpulannya, sebahagian orang menganggap pesakit jiwa hanya boleh dirawat menerusi perubatan modern sedangkan pesakit gangguan dan sihir mesti dirawat oleh pengamal perubatan alternatif. Paradigma ini tidaklah tepat kerana perubatan Islam misalnya adalah bersifat holistic dan tiada penyakit yang terkeluar dari skop perubatan Islam kecuali mati yang yang tidak boleh disembuhkan. Namun perawat Islam tidak boleh mendabik dada kerana berdasarkan konsep ikhtiar, ada penyakit yang Allah sembuhkan dan ada yang tidak. Maka hendaklah bertawakkal dan terus memohon kesembuhan kepada Allah swt. Selain itu peruqyah hendaklah sentiasa menyelidik dan mencari punca atau faktor kenapa sesuatu penyakit yang dirawat itu sukar mendapat kesembuhan. Mungkin puncanya ada pada diri peruqyah dan mungkin puncanya ada pada diri pesakit. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Ingatlah bahawa kuasa penyembuhan hanya ada pada Allah swt.

SEKIAN.

Nukilan,
Dr Abdullah Yusof,
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)

Jawatankuasa Eksekutif, Persatuan Terapi Psikospiritual Malaysia (PTPM).
16.6.2020 jam 9.50 pm.