Bahaya sihir pukau
Pukau adalah sejenis sihir yang jarang disedari oleh mangsa namun ia sangat menakutkan. Ini kerana pukau boleh mengakibatkan seseorang mangsa hilang pertimbangan, fikiran terkeliru atau tidak keruan, seakan-akan separuh sedar dan minda menjadi tidak stabil. Sihir ini boleh dilakukan ke atas individu tertentu atau sekelompok orang. Pukau dilakukan kerana beberapa tujuan dengan beberapa cara atau kaedah tertentu. Pemukau akan mencari mangsa berdasarkan beberapa ciri tertentu. Pemukauan boleh terjadi dalam tempuh yang singkat iaitu antara beberapa minit atau beberapa jam dan kesannya akan hilang tidak lama selepas itu bergantung bagaimana tindakan diambil termasuk oleh pemukau sendiri. Ini menunjukkan kesan pukau akan berlaku dalam tempuh yang dikehendaki, tidak sepertimana kesan sihir biasa yang boleh terjadi hingga berpuluh tahun lamanya.
Aktiviti pukau tidaklah bertujuan untuk mencetuskan penyakit tertentu dan mangsa pukau pula jarang berakhir dengan kerasukan walaupun turut melibatkan penggunaan jin. Meskipun pukau tidak membawa kemudaratan di segi fizikal, namun ia boleh mendatangkan kerugian pada harta benda, kehormatan, harga diri dan sebagainya. Pukau diamalkan dalam hampir semua peradaban manusia samada kaum Melayu, Cina , India, Siam, etnik pribumi, orang asli dan lain-lain. Tulisan ini tidak menyentuh aspek pukauan yang tidak melibatkan penggunaan jin seperti seseorang artis memukau peminatnya dalam sebuah konsert, atau promotor produk yang memukau orang ramai menerusi percakapannya sehingga pembeli berebut-rebut mendapatkan produk yang dipasarkannya. Demikian juga seorang penceramah yang sering memukau audien sehingga orang ramai bersesak-sesak memenuhi ruang ceramah. Atau pemain bolasepak yang sering memukau penonton dengan tandukan atau sepakan cantik ketika menyumbat bola dalam situasi sukar. Walaupun tidak melibatkan pengunaan jin, namun pukauan tersebut boleh menyebabkan penyakit `ain.
Pencerahan ini dibuat untuk mengajak orang ramai agar sentiasa melindungi diri dari terkena pukauan dan sekiranya terjadi hendaklah mengambil langkah-langkah tertentu menurut kaedah yang dibenarkan oleh syarak. Berdasarkan kes-kes yang pernah dilaporkan, sukau boleh terkena kepada sesiapa sahaja samada seseorang itu sedang tidur atau sedang jaga, samada ketika bersendirian atau berkumpulan, di rumah, tempat kerja atau di tempat awam. Menerusi kerja-kerja pukauan, seseorang pemukau yang bertindak bersendirian atau secara berkumpulan akan mengenalpasti mangsa terlebih dahulu dan apakah tujuan pukau itu dibuat.
Kes yang banyak terjadi ialah mangsa kehilangan wang ringgit, barang kemas atau barang berharga lain. Mangsa tidak dipaksa atau berlaku unsur-unsur ugutan atau paksaan dan penyerahan barang-barang tersebut seperti dilakukan secara sukarela. Justeru itu kes pemukauan yang disifatkan sebagai penipuan ini sukar untuk dibuktikan, kerana tiada bukti ianya sebagai mangsa rompakan, samun atau ragut. Contoh kes ialah seperti berlaku di bank atau di mesin ATM apabila seseorang tidak sedar dia mengeluarkan wang yang banyak sepertimana diarahkan oleh seseorang. Adakalanya mangsa mengeluarkan wang di kaunter untuk mengeluarkan wang dalam jumlah yang besar. Setelah itu wang akan diserahkan kepada pemukau dan pemukau akan segera beredar dari situ. Begitu juga kes pemukau yang kononnya menjual barang-barang berharga seperti barang antic, barang Kemal dan batu cincin dan pertama dengan hanrga amat rendah. Bakal pembeli akan dipukau dan setelah urusniaga selesai dan barang serta wang berpindah milik, maka pemukau akan tergesa-gesa meninggalkan tempat tersebut.
Begitu juga kes pukau kediaman yang dihuni oleh samada seorang atau ramai orang. Pukau jenis ini biasanya dilakukan dalam dua bentuk atau situasi. Pertama mangsa akan tertidur atau ditidurkan terlebih dahulu sebelum pemukau memasuki kediaman untuk mengambil apa-apa barang berharga yang diingini. Adakalanya pemukau sempat makan dan minum serta membuang najis (bergantung pada syarat-syarat pukauan). Dalam situasi ini biasanya mangsa tidak diganggu atau dicederai atau dikenakan apa-apa bentuk kekerasan. Penghuni akan hanya menyedari kediaman dicerobohi apabila tersedar atau selepas pemukau beredar dan ini mungkin mengambil masa beberapa minit atau kurang satu jam. Dalam situasi kedua, penghuni semuanya sedar kediaman mereka dimasuki individu tertentu, namun kesan pukauan menyebabkan mereka tidak mampu melakukan apa-apa tindakan, baik menerusi percakapan, perbuatan atau pergerakan. Penghuni seolah-olah menjadi seperti orang lumpuh, tidak bermaya dan bisu. Penghuni dapat menyaksikan apa-apa sahaja yang berlaku di depan mata tanpa boleh bertndak apa-apa, sekadar mampu mengebil-ngebil mata sahaja. Sepertimana situasi pertama, dalam situasi ini pemukau akan mengambil apa-apa barang bernilai yang dihajati dan akan beredar dari kediaman dalam tempoh masa yang singkat sebelum kesan pukauan hilang.
Selain kerugian harta benda, mangsa pukau juga boleh mengakibatkan dirinya ternoda, khususnya wanita akan kehilangan maruah dan harga diri kerana ketika itu dia tidak berupaya menggunakan akal dan minda secara waras dan apa yang berlaku seolah-olah dengan kerelaannya sendiri. Pemukau akan mencari mangsa hanya untuk mencari keseronokan dan sekirannya sempat mengambil apa-apa barang berharga, itu adalah bonus untuknya. Biasanya pemukau dan mangsa tidak mengenali antara satu sama lain dan tiada sebarang pertalian keluarga. Pemukau akan mendapatkan mangsa dalam situasi dan waktu yang tepat dan ketika itulah pemukau tidak akan melepaskan peluang. Pemukau dan mangsa akan mula menjalinkan perhubungan dan perkenalan dan ketika itulah pukauan dilakukan sehingga mangsa tidak sedarkan diri sehingglah terjadi seperti yang biasa terjadi. Kesan pukauan ini boleh berlaku antara beberapa jam sehingga beberapa hari sehinggalah mangsa sedar dan mendapati dirinya menjadi mangsa sihir pukau.
Pukauan jenis lain boleh terjadi dalam banyak urusan hidup manusia termasuk urusan pekerjaan dan perniagaan. Adalah lebih serius sekiranya sihir pukau turut melibatkan sihir jenis lain seperti pelalau, pemanis, pemikat dan sihir al-Junun. Pukau dilakukan oleh pengamal ilmu sihir atau ilmu hitam dengan bantuan tukang sikir dan bersepakat dengan jin jahat atau syaitan. Selain terdapat beberapa media sihir yang digunakan, antara kaedah yang digunakan oleh pemukau ialah seperti;
a) Mencium (masymum) iaitu mangsa akan disuruh mencium sesuatu bauan yang dimanterakan, atau mencium asap yang ditiupkan ke arahnya oleh pemukau seperti asap rokok yang telah dimanterakan.
b) menerusi minuman (masyrub) di mana mangsa diperdayakan sehingga dia minum minuman tertentu yang disediakan oleh pemukau.
c) Mencalit atau meleset sejenis minyak atau cecair tertentu yang telah dimantera.
d) Menepuk bahu atau belakang seseorang mangsa setelah menjampi dan ditiup pada tapak tangan.
e) Menggunakan deria pandangan mata jahat (ain) yang disengajakan oleh pemukau. Kadang-kadang penyakit
ain tidak dikategorikan sebagai sihir kerana ia berlaku tanpa disertai niat, namun ain jenis ini terang-terang melibatkan penggunaan jin, iaitu sihir. Pemukau akan menggunakan kekuatan
ain sehingga boleh menundukkan mangsa atau memukau seseorang.
Saya tidak bercadang untuk menyebut apakah jampi mentera yang digunakan dan apakah syarat serta pantang larang yang pemukau kena patuhi. Bagaimanapun cukuplah jika saya syorkan agar kita berhati-hati apabila didatangi atau dihampiri oleh individu tertentu yang tidak dikenali dan memakai benda pelik seperti benda antik, memakai cincin yang banyak di jari-jarinya, beragam jenis dan besar-besar pula saiznya. Begitu juga yang dikesan sering membaca jampi mantera yang tidak difahami ketika berhadapan atau berusan dengannya. Terdapat juga pokok tertentu yang ranting dan daunnya bila dibakar dengan disertai jampi tertentu, lalu diasapkan ke suatu ruangan, maka seluruh ahli keluarga boleh dipukau dan tidak sedarkan diri beberapa ketika. Daun pokok ini sering digunakan apabila pukauan dibuat di kampung dan desa di mana tumbuhan tersebut senang diperolehi (saya tidak bercadang menyebut nama spesis pokok itu di sini). Justeru zaman sudah berubah, maka pemukau juga menukar kaedah yang lebih canggih dan tidak mudah disedari oleh mangsa. Antara langkah mengelakkan pukauan dan tindakan selanjutnya ialah seperti berikut:
a) Sentiasa membaca doa perlindungan ketika hendak keluar rumah terutama ketika hendak mengunjungi tempat ramai orang atau tempat yang kurang biasa dikunjungi.
b) Seboleh-bolehnya ditemani oleh seseorang yang dipercayai apabila perlu berurusan dengan seseorang individu yang tidak atau kurang dikenali atas apa-apa tujuan sekalipun.
c) Berhati-hati apabila berurusan dengan seseorang berkaitan kewangan atau urusan perbankan atau perniagaan dan sentiasa meminta perlindungan Allah swt dari sebarang kemudaratan.
d) Berhati-hati apabila didekati atau dihampiri oleh seseorang untuk menawarkan bantuan, menjual produk atau bertanyakan sesuatu sekiranya orang itu nampak mencurigakan.
e) Apabila seseorang disyakki menjadi mangsa pukauan, maka temannya hendaklah segera azan di kedua-dua belah telinga mangsa, disusuli dengan bacaan fatihah, ayat kursi dan 3 qul.
f) Tindakan lanjut ialah membawa mangsa pukauan untuk diruqyah oleh peruqyah yang mahir dan membentenginya agar kes serupa itu tidak berulang.
Kesimpulannya, sihir pukauan walaupun tidak mendatangkan mudarat secara langsung dari sudut kesihatan fizikal, namun ia boleh mengundang masalah lain akibat kerugian dan kehilangan marwah diri. Mangsa menjadi trauma dan mungkin juga fobia, geram, dendam, hilang pertimbagan, depresi dan tidak lagi dapat mempercayai seseorang walaupun dia rakan karib atau ahli keluarga terdekat.
SEKIAN.
(Nota: Pencerahan tersebut adalah berdasarkan rumusan sebahagian pengalaman berkaitan kes-kes sihir pukau yang diterima daripada mangsa pukau dan dikendalikan menerusi ruqyah syar`iyyah).
Nukilan,
Dr Abdullah Yusof (abdy@gpmm)
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)
14.6.2020 jam 11.00 pm.