Awas krisis penyakit buah pinggang di Malaysia
KUALA LUMPUR: Kira-kira 15.5 peratus atau lebih lima juta rakyat di Malaysia, berdepan masalah penyakit buah pinggang kronik (CKD).
Bagaimanapun daripada jumlah itu, hanya lima peratus sedar mengenai penyakit yang dihidapi.
Setiap hari, kira-kira 28 individu didiagnosis sebagai pesakit yang buah pinggangnya gagal berfungsi secara kekal dan memerlukan dialisis untuk hidup.
Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib, berkata situasi itu menunjukkan Malaysia perlu menyemak dan memperbaharui komitmen untuk melaksanakan strategi dan dasar kesihatan buah pinggang sedia ada.
Beliau menyifatkan, negara kini berada di ambang krisis penyakit buah pinggang.
“Kadar pesakit dengan penyakit buah pinggang pada tahap akhir (ESRD) terus menunjukkan peningkatan dalam tempoh 20 tahun ini.
“Malah ketika ini, 51,000 pesakit menghidap ESRD dan memerlukan terapi penggantian buah pinggang dan ia adalah antara kadar tertinggi di dunia,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2024, hari ini.
Azrul berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dilaporkan menjangkakan lebih 106,000 rakyat Malaysia bakal menjalani dialisis menjelang 2040 jika peningkatan kadar kegagalan buah pinggang tidak berubah.
“Ia hanya 16 tahun lagi. Setiap tahun, lebih 10,000 pesakit didiagnosis dan memerlukan dialisis dan jumlah ini semakin meningkat dan ia adalah separuh daripada menghidap diabetes.
“Kelaziman penyakit buah pinggang kronik semakin meningkat seiring dengan kadar diabetes,” katanya
Beliau berkata, menjelang tahun hadapan dianggarkan seramai tujuh juta rakyat Malaysia dewasa menghidap diabetes Jenis 2 dan ia adalah yang tertinggi di rantau Pasifik Barat.
Katanya, penghidap diabetes adalah 3.5 kali lebih banyak dan mereka juga berkemungkinan turut menghidap CKD.
Justeru katanya, penyakit diabetes perlu ditangani secara berkesan dari sekarang kerana ia sekali gus juga dapat memberi kesan kepada penyakit buah pinggang kronik.
“Setiap kali Parlimen bersidang, kita akan mendengar desakan supaya lebih banyak pusat hemodialisis dibina supaya lebih banyak subsidi rawatan atau perlindungan diberikan kepada lebih ramai rakyat.
“Kerajaan juga sudah menanggung sekurang-kurangnya separuh daripada perbelanjaan yang digunakan untuk merawat penyakit buah pinggang kronik,” katanya.
Azrul berkata, pada 2010, kerajaan membelanjakan RM572 juta untuk merawat ESRD dan kini Malaysia membelanjakan kira-kira RM3.3 bilion untuk penjagaan CKD dan ESRD setiap tahun.
Selain itu katanya, pada 2022, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membelanjakan RM334.67 juta untuk rawatan dialisis terhadap pencarumnya dan menerima sehingga 3,000 permohonan rawatan baharu setiap tahun.
“Ada sebab mengapa semakin banyak pusat hemodialisis swasta sedang ditubuhkan. Ia adalah perniagaan yang berkembang pesat, kerana lebih ramai pesakit perlu mendapatkan rawatan dialisis untuk terus hidup,” katanya.
Oleh itu katanya, pencegahan dan pengesanan awal perlu terus menjadi strategi yang baik dan berkesan serta perlu berusaha untuk mengurangkan diabetes Jenis 2 dan meningkatkan kesedaran tentang kesihatan buah pinggang.
Katanya, individu yang menghidap hipertensi dan diabetes, berisiko tinggi untuk CKD dan harus disaring untuk meningkatkan kemungkinan bagi merawat penyakit buah pinggang lebih awal.
“Malangnya, hampir separuh daripada semua penghidap diabetes di Malaysia masih tidak didiagnosis.
“Bagaimanapun, apabila pesakit didiagnosis selepas bertahun-tahun diabetes mereka tidak terkawal selama, ia akhirnya membawa kepada kerosakan kekal pada buah pinggang,” katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/03/1223441/malaysia-kini-di-ambang-krisis-penyakit-buah-pinggang?

