Ruqyah ‘paper’
Ruqyah kertas atau اوراق الرقية tiba-tiba menjadi perbincangan hangat di kalangan perawat-perawat pengubatan Islam tanahair. Pada kali ini saya ingin sentuh mengenai ruqyah yang dibaca pada air kemudian kertas tersebut dilarutkan ke dalam air untuk diberi minum kepada pesakit. Asalnya kenapa ruqyah dibaca pada air dan bukan pada benda mati seperti kertas untuk diberi minum kepada pesakit?.
Lazimnya ruqyah dibaca pada air untuk diberi minum atau dimandikan atau disapu atau direnjis @ percik atau dimandikan atau direndam atau apa-apa bergantung kepada masalah pesakit. Nabi SAW juga meruqyah pada air untuk diberi kepada pesakit termasuk Baginda SAW sendiri meminumnya dan dibasuh kepala ketika sakit.
Meruqyah pada kertas lalu dikacau dalam air sampai larut untuk diberi minum kepada pesakit adalah sebuah inovasi. Ia dijadikan produk yang siap diruqyah dan boleh dibeli oleh sesiapa sahaja. Saya tidak merujuk pada mana-mana produk ruqyah paper yang terdapat di pasaran. Jika benar ia berimpak positif maka ia hendaklah diuji berkali-kali sebelum diverifikasi oleh pihak berotoriti termasuk JAKIM. Bolehkah berbuat demikian dan adakah ia patuh syariah?.
Berdasarkan perbincangan dalam beberapa buah kitah tibb dan fiqh pengubatan, terdapat khilaf dari sudut melarutkan air dalam pinggan yang ditulis di atasnya ayat-ayat Al-Quran untuk diberi minum kepada pesakit. Pandangan yang mengharuskan memberi syarat dakwat yang ditulis itu mesti dari bahan yang halal (mendapat pengiktirafan JAKIM), boleh dimakan/minum tanpa memudaratkan. Yang dilarut hanya tulisan pada pinggan, dan bukannya melarutkan tulisan pada kertas.
Pandangan yang agak keras mengatakan ianya makruh kerana tiada asas dalilnya dan boleh menyamai amalan dukun dan pawang, tiada dalil disepakati (Al-Quran, hadith, ijma ulama dan qiyas) juga dalil yang tidak disepakati ada sekurang-kurangnya 20 orang ahli di dalam bidang pengubatan Islam termasuk tajribah jumhur pengamal yang berotoriti.
Berhubung ruqyah ‘paper’ yang hangat dibincangkan kebelakangan ini secara peribadi saya amat bimbang jika ia diproduksi besar-besaran tanpa kawalan, hal ini boleh menjadi bahan sindiran masyarakat kerana pasti akan timbul stigma perawat penunggang agama demi keuntungan, ‘missed handling’ mengurus lembaran ayat-ayat suci Al-Quran tanpa tertib (dipijak / berhadas), dicetak oleh non-Muslim dengan tujuan keuntungan mudah dan yang paling besar ialah reputasi perawat Islam (kecuali jika ia hanya diamalkan oleh ‘pengamal pengubatan tradisional’).
Nota: Menurut undang-undang kecil penubuhan pertubuhan Gabungan Perawat Muslim Malaysia, Fasal (2), perawat pengubatan Islam ialah perawat yang melakukan rawatan Islam dengan kaedah-kaedah yang patuh syariiah.
Semoga kita sama-sama berpesan demi kebaikan, demi kebenaran dengan penuh kesabaran (Al-Asr 103:3 ). Sekian.
Dr Abdy
2.2.2024

