Petua – masalah zuriat dan yang berkaitan dengannya
MUQADDIMAH
Kini kita memasuki siri ke 6 E-Buletin GPMM. Perkongsian kali ini saya akan mengupas tentang zuriat dan masalah yang berkaitan dengannya. Setiap pasangan yang berumahtangga tentu ingin menimang anak dan membuat perancangan agar anak yang dilahirkan itu akan tumbuh membesar menjadi anak yang sihat dan afiat. Namun demikian kadang-kadang awan tidak selalunya cerah. Disangka panas hingga ke sore, rupanya hujan di tengah hari. Apa yang mereka idamkan tidak kunjung tiba. Pasangan sudah penat berikhtiar baik menerusi perubatan moden mahupun perubatan tradisional dan tidak kurang yang menemui pengamal perubatan muslim. Sering terjadi, kehidupan mereka dibaluti dengan ketegangan, pertengkaran hatta berakhir dengan perceraian. Kertas ini akan membincangkan isu-isu yang biasanya muncul dalam kehidupan berumahtangga lantaran ramai pasangan yang hanya berserah pada takdir tanpa ada kesungguhan untuk berikhtiar. Sebahagian apa yang saya sentuh di sini berdasarkan pengalaman, perkongsian rakan-rakan perawat, petua-petua jauhari yang mengenal maknikam serta catatan dalam kitab-kitab perubatan khususnya perubatan Islam.
Masalah lazim di alam rumahtangga
1) Zuriat
Jarang kita mendengar pasangan yang berkahwin tidak ingin memperolehi zuriat. Banyak perguruan yang mengajar kaedah serta doa- doa, zikir tentu dan solat hajat agar Allah menganugerahi mereka zuriat. Ini termasuklah pengambilan produk makanan dan kesihatan tertentu seperti mengamalkan meminum zam-zam, air rebusan taugeh, madu, minyak zaitun, buah tin, kacang hijau, buah badam dan lain-lain. Kesulitan untuk hamil mungkin kerana gangguan sihir dan saka, masalah endometriosis, cyst, fibroid, kanser serviks dan lain-lain yang akan disentuh pada kesempatan lain.
2) Memilih Jantina
Jarang didapati perawat memberi tunjuk ajar atau bimbingan untuk berikhtiar mendapatkan anak lelaki mahupun perempuan yang menjadi idaman mereka. Memang itu semua sudah ditakdirkan Allah namun tidak salah kita berikhtiar. Antara petua orang-orang lama, jika inginkan anak lelaki kaedahnya seperti berikut. Setelah selesai bersama, si isteri hendaklah tidur mengiring ke sebelah kanan (rusuk kanan menyentuh lantai) sehingga tertidur atau terlelap. Begitulah jika inginkan anak perempuan maka mengiring ke sebelah kanan (maaf, catatan ini saya buat tanpa menyebut kitab@sumber mana kerana sudah lama dan hilang dalam simpanan) . Ramai pasangan yang berjaya mengamalkan kaedah ini disertai doa dan solat hajat. Apa yang saya ingin sebut ialah kaedah menggunakan bahan alami. Jika inginkan anak lelaki, maka si ibu yang sedang hamil hendaklah memakan usus arnab jantan (sembeli setelah usia 2 tahun). Jika diinginkan anak perempuan maka ambillah usus arnab betina. Cara memasak mengikut selera masing-masing namun lebih sesuai secara memanggang atas bara api.
3) Anak seorang pejuang atau mujahid
Sekiranya pasangan inginkan anak menjadi seorang pejuang dan berihad di jalan Allah, maka disarankan ketika hamil 7 bulan, ibu memakan daging kambing jantan selama 7 hari berturut-turut. Bahagian daging yang sesuai ialah peha kanan hadapan (kegemaran Nabi saw). Begitu juga jika inginkan anaknya salih dan banyak berbuat kebaikan, dinasihatkan si ibu ketika hamil 5 bulan, makanlah daging arnah 2 atau 3 kali.
Dalam perubatan, daging arnab turut memiliki khasiat lain seperti minyaknya sangat mujarab untuk mengubati orang lumpuh atau kena strok (Rujuk DS). Bagi yang inginkan bayinya comel menawan, si ibu boleh boleh mengamalkan memakan daging burung merpati yang dibuat sup. Antara bahan untuk menumis ialah minyak zaitun atau minyak kelapa dara, bawang putih, bunga lawang, halia dan lain-lain. Ada juga petua agar diamalkan memakan tempe dan kacang soya.
4) Kulit putih dan mulus
Begitu juga bagi pasangan yang inginkan kulit anaknya putih suih, mulus dan melepak, maka ketika hamil 7 bulan, minumlah air kelapa 3 hari sebiji. Seeloknya ambil kelapa mawar atau kelapa wangi dan jangan kelapa gading atau kelapa kuning. Kenapa?. Nantilah diceritakan kemudian.
5) Menyubur dan menyihatkan janin
Dalam tempoh kehamilan, tentu bakal ibu inginkan anak@janin di dalam rahimnya subur dan sihat sejahtera tanpa sebarang komplikasi serta mendapat nutrisi yang mencukupi. Antara kaedah yang boleh diamalkan ialah meminum air rebusan biji kurma ajwa. Biji yang direbus hendaklah dalam bilangan ganjil menggunakan periuk tanah dan menggunakan api yang sederhana. Sebenarnya kaedah kurma ajwa juga digunakan untuk mengatasi masalah sembelit, senggugut, masalah gangguan masalah dalam usus dan rahim dan lain-lain. Kaedah lain yang sering diamalkan di nusantara ialah mengamalkan memakan kacang botor@botol@kelisa yang berwarna hijau. Daunnya juga sering digunakan untuk mengatasi gangguan bayi atau kanak-kanak kecil yang kerap menangis atau berona atau meragam terutama menjelang waktu maghrib atau di tengah malam buta.
6) Masalah keguguran
Di samping itu terdapat bakal ibu yang kerap mengalami keguguran tidak kira pada tahap awal kehamilan mahupun sesudah memasuki usia 20 minggu ke atas. (Mengenali kehilangan bayi dalam kandungan secara tiba-tiba kerana gangguan misteri akan dibacarakan dalam bab lain). Untuk merawat atau mengatasi keguguran terdapat dua situasi. Pertama jika didapati keguguran telah terjadi maka ambillah beras dan sedikit kunyit hidup atau ibu kunyit, ditumbuk lumat dan ditapis serta diminum 3 kali sehari. Seperti yang diketahui, kunyit adalah ratu ubat dalam dunia Melayu dan kebanyakan kaum pribumi. Ia boleh mengatasi inflamasi, menghentikan pendarahan dan menyembuhkan luka dalaman. Cara mengambil ubat (kunyit) dan doa berkaitan tidak disentuh dalam tulisan yang terbatas ini.
Kedua, kaedah atau rawatan setelah didapati bayi atau janin telahpun mati dan masih berada dalam rahim atau tersangkut di peranakan. Jika hal ini terjadi, maka ambillah secubit hempedu lembu jantan (yang disembelih), Hempedu tadi disapu sedikit madu lebah dan .diasapi@dipanggang menggunakan tahi kambing yang sudah mengeras (dijadikan bara), Setelah itu itu dimasukkan ke dalam rahim (suruh mak bidan buat) sambil membaca ruqyah antaranya doa Maryam dan doa pembuka oleh peruqyah. Nescaya bayi atau janin akan tertolak keluar dalam tempoh yang sekejap.
7) Mempermudahkan kelahiran
Demikian juga untuk mengatasi kesukaran bersalin iaitu usaha dilakukan untuk mempermudahkan kelahiran misalnya kerana bukaan rahim masih kurang dari 4 sm atau bayi melintang atau kepala songsang ke atas atau lain-lain. Antara bahan yang paling mujarab ialah menggunakan air zam- zam yang diruqyah dengan doa-doa Maryam, doa permudah dan doa pembuka dan jika perlu doa mengelak gangguan syaitan. Air zam-zam boleh diminum sedikit-sedikit atau disuap menggunakan stringe dan sedikit diusap di bahagian pusat ke bawah. Jika situasi tidak mengizinkan dan suami serta perawat tidak dibenarkan memasuki dewan bersalin, maka bolehlah menggunakan kaedah telepathy.
Sebagai tambahan bahan alami yang boleh digunakan ialah burung puyuh digoreng tanpa minyak atau disalai tanpa campuran bahan lain untuk mendapatkan minyaknya. Minyak puyuh diminum 1 sudu 3 kali sehari terutama setelah kandungan memasuki usia 38 minggu. Daging puyuh tadi boleh dimakan kira-kira 3 hari sekali. Ingat, ini untuk bakal ibu sahaja namun jika ada lebihan dan suami pun teringin atau terliur, maka bolehlah ambil sekali.
Satu kaedah lagi ialah menggunakan minyak kelapa dara atau VCO yang boleh diperolehi di farmasi. Saya syorkan minyak VCO boleh dibuat sendiri kerana ia perlu disertai dengan doa-doa tertentu sepanjang proses penghasilannya berbanding produk yang dijual di farmasi. Jika ada kesempatan saya sedia membuat demo cara penyediaan minyak-minyak tersebut bagi yang belum atau ingin mengetahuinya serta berminat. Banyak-banyakkan berdoa untuk kebaikan anak semasa dan selepas lahir seperti doa dalam sebuah hadith Nabi saw:
Allahumma baarik fihi wa la tadurruhu.
Ertinya Ya Allah, berilah kebaikan kepadanya dan janganlah engkau memudaratkannya (HR: Ibn al-Sunni dan lain-lain).
InsyaAllah, untuk kaedah mengurangkan kesakitan sewaktu proses bersalin, rawatan pemulihan selepas bersalin dan amalan untuk menjarangkan kelahiran atas sebab-sebab syar`ie, akan disentuh pada siri berikutnya. Jika ada kelapangan anda juga boleh merujuk buku berjodol Amalan dan Wirid Mudah Bersalin tulisan Abdullah al-Qari,
RUMUSAN
Demikianlah sedikit perbincangan mengenai masalah atau isu yang kerap terjadi kepada pasangan yang berkahwin, baik yang sudah lama mendirikan rumahtangga mahupun yang masih baru memasuki gerbang perkahwinan. Perkongsian tersebut merupakan sebahagian yang dapat diceritakan dan sekiranya inginkan perkongsian yang lebih terperinci bolehlah kita menggunakan platfom yang sesuai nanti. Perubatan Islam adalah komplementari dan holistik sifatnya. Perawat bukan sahaja berusaha mendapatkan kesembuhan tetapi juga berikhtiar memperbaiki tahap kesihatan makhluk Allah. Namun demikian kita hendaklah berhati-hati kerana bimbang boleh terjebak dalam amalan atau kepercayaan bersifat tahyul, khurafat dan mitos. Apatah lagi menggunakan bahan-bahan alami yang dianggap tradisional serta boleh mengundang fitnah jika tidak dicerakinkan dengan cermat berlandaskan petunjuk al-Quran dan al-Hadith. Wallahu A`lam.
SEKIAN, TERIMA KASIH.
Dr Abdullah Yusof
(EXCO/Ahli GPMM No. GII-0007)

