Kucing mangsa utama makhluk ghaib

Sudah menjadi kelaziman ramai orang membela kucing dalam rumah. Perawat yang berkunjung ke rumah pesakit pun mendapati ramai yang membela kucing dan membiarkan kucing bebas bergerak termasuk berguling-guling di tempat tidur. Tiada sangkar khas disediakan.

Haiwan termasuk kucing adalah haiwan yang disayangi dan disantuni oleh Nabi Muhammad SAW, namun baginda tidak membela dan membawa masuk kucing ke dalam rumah. Satu-satunya sahabat yang membela kucing ialah Abu Hurairah R.A, itupun diletaknya di atas pokok, tidak dibawa masuk ke dalam rumah. Kucing haiwan yang tidak boleh dimakan tetapi tubuhnya suci untuk disentuh. Jika tercabut bulu maka bulu itu sudah menjadi najis. Ayam pula halal dimakan dan setelah disembelih maka bulunya bukan najis kecuali disembelih tidak ikut syarak atau tidak sembelih maka ianya menjadi bangkai dan najis. Hal ini perlu diberitahu kepada pesakit oleh perawat.

Apa pula kaitan kucing dengan rawatan?. Apabila najis dan kotoran serta bulu kucing bersepah sana sini, maka rumah dipenuhi najis, kecuali kucing itu dilatih untuk basuh berak dan kencing sendiri.

Pemilik kucing hanya tahu bermain dan membelai kucing tapi aspek kebersihan tidak dijaga. Sebab itu jin syaitan suka sangat bertandang ke rumah yang terdapat banyak kucing. Bukan tak boleh membela kucing malah memberi makan dan menjaga kesihatannya adalah amalan terpuji. Ada dua perkara nak diingatkan. Pertama jin suka menumpang dalam tubuh kucing yang berwarna gelap seperti hitam, kelabu dan cokelat. Kucing adalah makanan ”favourite’ penanggal. Jika didapati banyak kucing hilang atau mati, itu biasanya kerja penanggal.

Setiap jenis jin ada makanan kesukaan masing-masing dan perawat harus tahu semua ini. Jika bela kucing, saya sarankan diruqyah sekali sekala termasuk ke dalam bekas air minuman dan bekas makanan kucing. Perawat pula bila pergi memagar rumah orang, hal tersebut jarang diperhatikan. Bukan kucing sahaja, bahkan haiwan eksotik lain atau anggota haiwan liar yang diawet dan dikeringkan untuk dijadikan hiasan.

Hiasan pun berpadalah, jangan sampai menjadi magnet untuk menarik entiti jahat bertandang. Sekian,

Dr Abdy
27.2.24