Perlurusan tentang kenyataan “jin tidak menggelupur kerana ayat Al-Qur’an sebut mereka takjub dengar Al-Quran”
Terdengar suara yang mengatakan Rukyah yang berlaku dengan membaca Al-Qur’an sehingga menakutkan jin itu tidak berlaku. Ia adalah palsu kononnya.
Tuduhan tersebut juga menyatakan situasi jin menggelupur kerana dibacakan Al-Qur’an adalah dibuat-buat dan ia sangat tidak benar. Tambahan lagi dakwaan tersebut menyatakan pengamal Rukyah itu telah bersepakat dengan jin.
Tiga Tuduhan tersebut iaitu Rukyah tidak berlaku, tiada situasai jin menggelupur kerana mendengar Al-Qur’an serta berpakatnya perukyah dengan jin dalam mengubat Rukyah.
Pendakwa tersebut membawa ayat Al-Quran yang dia gagal memahaminya iaitu :
قُلۡ اُوۡحِىَ اِلَىَّ اَنَّهُ اسۡتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الۡجِنِّ فَقَالُوۡۤا اِنَّا سَمِعۡنَا قُرۡاٰنًاعَجَبًا
Maksudnya : Katakanlah (Muhammad), “Telah diwahyukan kepadaku bahawa sekumpulan jin telah mendengarkan (bacaan),” lalu mereka berkata, “Kami telah mendengarkan bacaan yang menakjubkan (Al-Qur’an) (Al-Jin : 1)
Menurutnya ayat Al-Qur’an tersebut menyatakan jin mendengar ayat Al-Qur’an dengan perasaan Takjub, bukan menggelupur. Sedangkan dia tidak membaca ayat lain yang menceritakan perihal jin yang pelbagai, bukan hanya takjub, malah ada jin yang degil sehingga menjadi jin kafir.
Di dalam al-Quran, kalimah jin disebut sebanyak tiga puluh lapan kali(38), dengan merujuk kepada situasi yang berbeza, sama ada untuk menjelaskan tentang kejahatan golongan ini dan balasan yang akan ditimpakan ke atas mereka, atau kehebatan dan kekuatan yang dikurniakan Allah kepada mereka sepertimana dalam kisah Nabi Sulaiman.
Kalimah al-Jan disebut sebanyak tujuh (7) kali iaitu dalam surah-surah al-Hijr (ayat 27), al-Naml (ayat 10), al-Qasas (ayat 31) dan al-Rahman (ayat 15, 39, 56, 74).
Kalimah al-jin sebanyak dua puluh satu (21) kali, iaitu dalam surah-surah al-Anam (ayat 100, 112, 128), al-Araf (ayat 38,179), al-Isra’ (ayat 88), al-Kahfi (ayat 50), al-Naml (17, 39), Saba’ (ayat 12, 14, 41), Fussilat (ayat 25, 29), al-Ahqaf (ayat 18, 29, 56), al-Rahman (ayat 33), al-Jin: (1, 5, 6).
Manakala yang menggunakan sebutan Jinnah adalah sebanyak sepuluh kali (10), iaitu dalam surah-surah al-A‘raf (ayat 184), Hud (ayat 119), al-Mukminun (ayat 25, 70), al-Sajadah (ayat 13), Saba’ (ayat 8, 46), al-Saffat (ayat 158) dan al-Nas (ayat 6).
Ini menunjukkan situasi jin itu pelbagai, bukan hanya takjub dengar Al-Qur’an sahaja. Malah ada yang jahat mengganggu manusia sehingga ada yang menjadi kafir.
Bukan hanya guna satu ayat sahaja ‘jin takjub dengar Al-Qur’an’ terus claim bahawa jin tidak menggelupur bila dengar ayat Al-Qur’an kerana mereka ini takjub.
Ini adalah pemikiran Binary. Kalau bukan hitam, pasti putih. Kalau bukan putih, pasti hitam. Kalau bukan menggelupur, pasti takjub. Kalau bukan takjub pasti menggelupur menurut pandangan ini. Apabila ayat Al-Qur’an kata jin takjub maka mustahil menggelupur. Ini adalah pemikiran simplistik yang tidak bertalaqqi dengan Ulama’ serta tidak mengkaji secara dalam dan tidak melihat secara keseluruhan ayat Al-Qur’an.
Sedangkan sebab turunnya ayat ini menandakan bahawa ‘sebahagian jin’ itu mendengar bacaan Al-Qur’an daripada manusia. Sebab penurunan ayat ini sebagai pemberitahuan kepada Nabi Muhammad SAW di kalangan jin untuk diceritakan kepada umatnya tentang kejadian tersebut. (At Tirmizi, juz 5, hal 98-99, hadis 3379, Juga Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan yang lainnya dari Ibnu Abbas).
Ini dibuktikan lagi dengan ayat ini bahawa sebahagian jin memang mendengar ayat Al-Qur’an untuk disampaikan kepada kaumnya. Firman Allah SWT :
وَإِذْ صَرَفْنَا إِلَيْكَ نَفَرًا مِنَ الْجِنِّ يَسْتَمِعُونَ الْقُرْآَنَ فَلَمَّا حَضَرُوهُ قَالُوا أَنْصِتُوا فَلَمَّا قُضِيَ وَلَّوْا إِلَى قَوْمِهِمْ مُنْذِرِينَ (29) قَالُوا يَا قَوْمَنَا إِنَّا سَمِعْنَا كِتَابًا أُنْزِلَ مِنْ بَعْدِ مُوسَى مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ يَهْدِي إِلَى الْحَقِّ وَإِلَى طَرِيقٍ مُسْتَقِيمٍ (30) يَا قَوْمَنَا أَجِيبُوا دَاعِيَ اللَّهِ وَآَمِنُوا بِهِ يَغْفِرْ لَكُمْ مِنْ ذُنُوبِكُمْ وَيُجِرْكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ (31) وَمَنْ لَا يُجِبْ دَاعِيَ اللَّهِ فَلَيْسَ بِمُعْجِزٍ فِي الْأَرْضِ وَلَيْسَ لَهُ مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءُ أُولَئِكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ (32)
Maksudnya :“Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan sebahagian jin kepadamu yang mendengarkan Al-Qur’an, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan(nya) lalu mereka berkata: ‘Diamlah kamu (untuk mendengarkannya)’. Ketika pembacaan telah selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan. Mereka berkata: ‘Hai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengarkan kitab (Al-Qur’an) yang telah diturunkan sesudah Musa yang membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya lagi memimpin kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus. Hai kaum kami, terimalah (seruan) orang yang menyeru kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan melepaskan kamu dari azab yang pedih. Dan orang yang tidak menerima (seruan) orang yang menyeru kepada Allah maka dia tidak akan melepaskan diri dari azab Allah di muka bumi dan tidak ada baginya pelindung selain Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata’.” (Al-Ahqaf: 29-32)
Ayat Al-Qur’an ini menyebut sekumpulan, sebahagian dan segerombolan iaitu nafatun نفر. Hanya sebahagian telibat نَفَرًا مِنَ الْجِنِّ yang bermakna sebahagian/sekumpulan jin.
Ini menunjukkan bahawa sekelompok/sebahagian jin mendengar Al-Qur’an yang dibacakan itu berasa takjub. Mereka berasa takjub kerana susunan bahasa Al-Qur’an yang sangat indah. Keindahan Balaghoh Al-Qur’an yang mempunyai bahasa yang tinggi serta sukar ditiru telah memberikan takjub kepada jin tersebut.
Pendakwa itu mesti mengerti takjub di situ bukan kerana ayat-ayat ancaman yang dibacakan oleh perukyah kepada jin. Tetapi kerana susunan keindahan Balaghah Al-Qur’an yang sukar ditiru dan memiliki pelbagai lapisan makna.
Sedangkan hakikatnya Al-Qur’an mengandungi ayat Suruhan dan ayat Larangan. Mengandungi ayat Sejarah telah berlaku dan ayat Sami’yyat yang akan berlaku. Mempunyai ayat Wa’du janji baik yang berupakan galakan motivasi dan Wa’iid janji buruk yang berupakan ancaman.
Bila dibacakan ayat Suruhan, maka dorongan jiwa untuk melakukannya. Bila dibacakan ayat Larangan, maka dorongan jiwa untuk mengelakkannya.
Apabila dibacakan ayat Sejarah yang telah berlaku, maka akan melahirkan keinsafan dan pedoman, apabila dibacakan ayat Sam’iyyat yang akan berlaku maka melahirkan rasa sedar tentang alam ini.
Apabila dibacakan ayat Wa’du janji baik maka akan melahirkan kegembiran, jika dibacakan ayat Wa’iid janji buruk akan melahirkan gerun dan takut.
Demikian ayat-ayat Rukyah yang mempunyai ayat perlindungan, pengubatan dan ayat yang dapat melawan kejahatan, pasti akan menggerunkan jin malah boleh menggelupurkan jin sehingga dapat keluar daripada badan orang yang dirasuk.
Hal ini kerana di kalangan jin adalah Islam dan ada yang Kafir. Ada yang Saleh dan ada yang Tholeh. Ini dijelaskan di dalam ayat ini :
وَّاَنَّا مِنَّا الصّٰلِحُوْنَ وَمِنَّا دُوْنَ ذٰلِكَۗ كُنَّا طَرَاۤىِٕقَ قِدَدًاۙ
Maksudnya : “Dan sesungguhnya di antara kami (jin) ada yang saleh dan ada (pula) sebaliknya. Kami menempuh jalan yang berbeza-beza. (Al-Jin : 11).
Ayat ini menunjukkan bahawa tidak semua jin itu takjub dengan ayat Al-Qur’an. Malah ada yang menggelupur kerana dibacakan ayat-ayat yang mengandungi Rukyah dan ancaman kepada mereka yang melakukan kejahatan.
Ayat ini menjelaskan bahawa ada jin Islam dan Kafir. Jin Islam akan diberikan nikmat dan Jin Kafir akan diazab. Firman Allah :
وَّاَنَّا مِنَّا الْمُسْلِمُوْنَ وَمِنَّا الْقَاسِطُوْنَۗ فَمَنْ اَسْلَمَ فَاُولٰۤىِٕكَ تَحَرَّوْا رَشَدًا
وَاَمَّا الْقَاسِطُوْنَ فَكَانُوْا لِجَهَنَّمَ حَطَبًاۙ
وَّاَنْ لَّوِ اسْتَقَامُوْا عَلَى الطَّرِيْقَةِ لَاَسْقَيْنٰهُمْ مَّاۤءً غَدَقًاۙ
Maksudnya : “Dan di antara kami ada yang Islam dan ada yang menyimpang dari kebenaran. Siapa yang Islam, maka mereka itu telah memilih jalan yang lurus. Dan adapun yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi bahan bakar bagi neraka Jahanam. Dan sekiranya mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), niscaya Kami akan mencurahkan kepada mereka air yang cukup (Al-Jin : 14-16).
Ayat ini menyatakan dua beza antara Jin Islam dan Jin Kafir. Tidak semua mendengar Al-Qur’an itu mereka takjub dan terus beriman. Ada yang terus dalam kekafiran.
Maka ayat-ayat berkenaan ancaman boleh menyebabkan mereka menggelupur. Antara ayat Rukyah dalam Islam adalah Al-Qur’an itu sendiri. Antara ayat Rukyah adalah Surah Al-Fatihah, Surah Al-Baqarah (1-5, 102,163-164, 255, 285-286), Surah Ali-Imran (18-19), Surah Al-‘Araf (54-56, 117-122), Surah Yunus (81-82), Surah Taha (69), Surah Al-Mukminun (115-118), Surah As-Soffaat (1-10), Surah Al-Ahqaaf (29-32), Surah Ar-Rahman (33-36), Surah Al-Hasyr (21-24), Surah Al-Jin (1-9) Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Naas. Ayat ini mampu menyebabkan jin menggelupur dan lari pergi.
Ibnul Atsir mengatakan bahawa Rukyah itu dengan memohon perlindungan :
والرقية : العوذة التي يرقى بها صاحب الآفة كالحمى والصرع وغير ذلك من الآفات
Maksud : “Ruqyah adalah doa memohon perlindungan, yang dibacakan untuk orang yang sedang sakit, seperti demam, kerasukan, atau penyakit lainnya”. (an-Nihayah fi Gharib al-Atsar, 2/254).
Nabi Muhammad SAW sendiri menyatakan Rukyah itu perlu. Sabda Baginda SAW :
لا بأسَ بالرُّقى ما لَم تَكُن شِركًا
“Tidak mengapa melakukan ruqyah selama tidak mengandung kesyirikan.” (HR. Muslim no.2200).
Penyakit Ain juga boleh datang daripada jin dan manusia. Ia boleh diubati dengan Rukyah bacaan-bacaan daripada Al-Qur’an. Asma bintu Umais RA berkata kepada Nabi:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ بَنِي جَعْفَرٍ تُصِيبُهُمُ الْعَيْنُ، فَأَسْتَرْقِي لَهُمْ قَالَ: «نَعَمْ، فَلَوْ كَانَ شَيْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ، سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ»
“Wahai Rasulullah, Bani Ja’far terkena penyakit ‘ain, bolehkah kami minta mereka diruqyah? Nabi menjawab: “Iya boleh. Andaikan ada yang boleh mendahului takdir, maka dahulukan (hapuskan pemyakit) ‘ain.” “(HR. Tirmidzi no.2059, Ibnu Majah no. 3510).
Malah bacaan Al-Qur’an boleh memberi kesan kepada mereka. Golongan jin juga tidak akan terlepas daripada ancaman ini. Ini dibuktikan dengan ayat Al-Qur’an :
وَّاَنَّا ظَنَنَّآ اَنْ لَّنْ نُّعْجِزَ اللّٰهَ فِى الْاَرْضِ وَلَنْ نُّعْجِزَهٗ هَرَبًاۖ
Maksudnya : “Dan sesungguhnya kami (jin) telah menduga, bahawa kami tidak akan mampu melepaskan diri (dari kekuasaan) Allah di bumi dan tidak (pula) dapat lari melepaskan diri (dari)-Nya (Al-Jin : 12).
Ini menunjukkan jin mendengar Al-Qur’an dan memberi kesan samada baik atau buruk. Maka ia boleh menyebabkan jin menggelupur kerana mendengar ayat-ayat Rukyah.
Ini jelas seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali dalam kitabnya “Khawasul Quran” bahawa Ibnu Kutaibah meriwayatkan tentang seorang pedagang bernama Ka’ab di Basrah yang telah membakar Jin Ifrit dengan Ayat Al-Kursi.
وكذلك تساعد علي أحراق العفاريت الجن والبيوت التي لا يستطيع الناس سكنها :
جاء عن قتبة قال حدثني شيخ من بني كعب قال دخلت للبصرة لأبيع تمراً فلم أجد منزلاً فوجدت دراً قد نسج عليها العنكبوت فقلت مابال هذه الدار قالوا هي معمورة فقلت لما لكها أتكريني درارك فقال أنج بنفسك فإن فيها عفريتاًقد اتخدها منزلا يهلك كل من أتي إليها فقلت أكرني واتركني معه فالله يعنني عليه فقال دونك فسكنت فيها فلما جن الليل دخل إلي شخص اسواد عيناه كشعلة النار وله ظلمه وهو يد نومني فقلت الله لا إله إلا هو الحي القيوم …. إلخ الآية فسكنت كلما قرأت كلمه قرأ مثلي فلما وصلة إلي قوله تعالي ” ولا يؤده حفظهما وهو العلي العظيم” لم يقل شيئاً فكررتها مرراً فذهبت تلك الظلمه فأويت في بعض جهات الدار وسمعت قائلاً يقول لي لقد أحرقت عفريتاً عظيماً فقلت بما أحرق فقال بقوله تعالي ” لا يؤده حفظهما وهو العلي العظيم “
Ini menunjukkan ayat Al-Qur’an yang berisi perlindungan dan ayat ancaman memberi kesan dan boleh menyebabkan jin menggelupur malah boleh terbakar seperti kejadian di Basrah dalam riwayat Kutaibah seperti yang dinaqal oleh Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali.
Secara konklusinya, Mazhab Oddo atau dikenali Pseudo Salafisme (Wahabi) yang muncul ini sebenarnya hanya mengambil satu ayat sahaja lalu menolak ayat-ayat yang lain. Ia sama seperti Hadis nabi diambil hanya كل بدعة ضلالة tetapi tidak meneliti hadis-hadis yang lain. Demikian fahaman ini hanya mengambil Ayat Mutasyabihat sahaja untuk memuhkamkan segala ayat-ayat yang lain. Sesungguhnya ini adalah fahaman Simplistik, Binary dan Gopoh dalam memahami Nas-Nas Agama.
Maka perlu tadabbur ayat-ayat yang lain untuk kita memahami ‘Big Picture’ agar kita tidak mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan ketidak-matangan (Separuh Masak) sehingga ada yang berani mengatakan hanya Wahabi yang benar, lawan Wahabi seperti melawan Nabi Muhammad SAW. LA HAU LAH WALA QUWWATA ILLA BILLAH. Padahal hakikatnya Wahabi adalah fahaman yang ‘Separuh Masak’, ‘Separa-Benar’, ‘Simplistik’ dan ‘Tidak Kulli’ tetapi Oddo.
Emang Galileo
Fellow CONVACE-ISSI
Felo Akademi Watan
ISLAMI (Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia)

