Jauhi perawat yang menjadi “sihir” pemisah

Bismillah…

  1. Pertamanya tulisan saya ini adalah bersifat umum dan tidak dituju kepada sesiapa atau mana-mana pusat rawatan. Tulisan saya ini juga berdasarkan beberapa kes yang saya uruskan sendiri.

  2. Saya sengaja menulis tajuk sebegini dengan tujuan menarik perhatian sidang pembaca dan diharap dapat membaca keseluruhan tulisan saya tanpa hanya membaca tajuk sahaja.

  3. Di bulan Ramadan yang penuh rahmat Allah SWT ini, hari ini fikiran saya agak terganggu dengan kes yang baru saya terima. Kisahnya seorang isteri telah memohon cerai di mahkamah kerana disuruh oleh ibu dan abangnya. Perkahwinan berusia 5 tahun dan mempunyai cahaya mata yang masih kecil sedang dalam proses “diruntuhkan” kerana satu dakwaan terhadap suaminya.

  4. Kisahnya bermula apabila abangnya sakit kepala, datang jumpa perawat Islam dan perawat telah merawatnya serta menyatakan dia terkena sihir. Kemudian, di bawa ibunya pula, ibunya juga dikatakan terkena sihir yang sama sepertinya. Apabila ditanya pada perawat siapakah yang menghantar sihir tersebut?. Jawab perawat ialah suami adiknya sendiri. Bahkan tambah perawat lagi, dia juga terkena sihir penunduk dari suaminya.

  5. Dipendekkan cerita, mereka sekeluarga akhirnya percaya dengan dakwaan tersebut dan bahkan mereka kata dua tiga orang perawat menyatakan hal yang sama. Akhirnya mereka menyuruh wanita ini menceraikan suaminya.

  6. Sekarang mereka dalam proses mahkamah. Sebutan kes seterusnya pada pertengahan bulan mei nanti. Semasa perjumpaan tadi saya bertanyakan beberapa soalan yang penting?

Adakah sakit pada abang dan ibu awak itu wujud sebelum atau selepas awak berkahwin?
Jawapan : Ya, ianya wujud sebelum saya berkahwin lagi.

Berapa orang doktor telah abang dan ibu awak jumpa untuk membuat “diagnosis’ tentang kesihatan mereka?
Jawapan : Doktor bagitau abang saya tiada apa-apa penyakit.

Apakah hubungan awak dan suami ada masalah?
Jawapan : Hubungan kami sangat baik.

Apakah hubungan suami dan keluarga awak bermasalah?
Jawapan : Dalam tempoh 5 tahun kahwin, tiada apa-apa masalah.

Adakah suami awak seorang yang menjaga solat lima waktu?
Jawapan : Ya suami saya seorang yang memelihara solatnya.

Adakah suami seorang yang menjalankan tanggungjawabnya?
Jawapan : Ya suami saya menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

Apakah awak tanya suami awak sendiri adakah dia membuat perbuatan sihir?
Jawapan: Ya saya ada tanya dan dia mengaku tidak pernah melakukannya dan bersedia berjumpa dengan perawat yang mendakwa tersebut, namun perawat yang tak mahu jumpa.

Apakah alasan yang awak berikan pada mahkamah untuk bercerai?
Jawapan : Tidak persefahaman

Adakah alasan itu benar berlaku?
Jawapan : Tidak, saya dan suami hidup baik sahaja sebelum ini.

Adakah perawat yang mendakwa suami awak itu sihir keluarga awak bersedia untuk membuat laporan bertulis dan dia tanda tangan ketika sesi bersama pendamai antara pihak awak dan suami?
Jawapan : Saya tidak pasti.

Awak masih sayang suami?
Jawapan : Ya saya sayang.

Kenapa awak tetap mohon cerai?
Jawapan : Saya tertekan, saya kena pilih antara suami atau keluarga.

  1. Banyak lagi soalan yang saya tanya padanya. Dan saya telah menyatakan pandangan saya terhadap semua persoalan yang saya tanya. Dipendekkan cerita, saya telah menyarankan kepadanya untuk diadakan pertemuan dengan ahli keluarganya, perawat yang mendakwa, pihak suaminya dan saya serta beberapa wakil GPMM sebagai orang tengah bagi merungkai konflik yang berlaku kerana dakwaan sihir dan menyebut dengan yakin nama pelaku sihir tanpa menilai kesan dari kenyataan perawat tersebut.

  2. Sidang pembaca sekalian, membantu orang adalah amalan mulia. Para perawat yang membantu merawat pesakit adalah amalan mulia. Namun, menjadi seorang perawat haruslah cermat dalam pelbagai aspek dan mempunyai asas-asas ilmu Islam yang kukuh bukan hanya ilmu merawat sahaja. Perlu juga ditambah ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu asas kaunseling dan psikospiritual.

  3. Perkara lintasan, ilham, bisikan, dialog dari jin dan sebagainya tidak boleh menjadi hujah yang kuat. Fokuslah pada memulihkan pesakit dan berdakwah. Jangan merumitkan keadaan pesakit dan sampai satu tahap kita meruntuhkan rumahtangga pesakit kerana dakwaan kita itu. Kita memutuskan hubungan silaturahim ahli keluarga kerana “kepakaran” atau “kelebihan” yang kita rasa kita miliki sehingga yakin mengeluarkan kenyataan tanpa memikirkan kesannya. Janganlah pula kita menjadi “sihir” yang memisahkan pesakit kerana dakwaan kita tersebut.

  4. Pada orang awam, janganlah terburu-buru mengambil apa yang dinyatakan oleh perawat. Berfikirlah dengan rasional. Rujuklah jalan penyelesaian dari jalan Al-Quran dan As-Sunnah bukannya perawat. Jika nasihat perawat bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah maka tinggalkanlah nasihat tersebut. Dan janganlah pula dengan adanya kes sebegini kita menghukum semua perawat itu sama dan melihat buruknya perubatan Islam sedangkan ramai mana perawat benar dan ikhlas membantu pesakit. Wallahu’alam

Mohon share jika info ini memberi manfaat.

Mohd Zul Amirul Izwan Bin Mat Deraseh
PSU Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)