Soalan lazim pendaftaran pengamal PT&K
1. Sekiranya saya mengamal ruqyah dalam kehidupan harian saya dan sekiranya saya memberikan perkhidmatan, adakah saya tertakluk pada Akta 775?
TIDAK. Walau bagaimanapun, sekiranya anda mendakwa atau mengisytiharkan diri anda sebagai seorang perawat atau pengamal yang menjalankan rawatan kaedah Ruqyah, maka anda wajib berdaftar dengan Majlis PT&K dan tertakluk pada Akta 775. Sekiranya, anda hanya mengamalkan bacaan ayat-ayat al Quran atau bacaan ruqyah secara umum dalam kehidupan seharian atau sebagai amalan bacaan doa kepada orang yang sakit dan tidak mengisytiharkan diri sebagai seorang perawat atau pengamal pengubatan Islam, maka tiada kewajipan untuk berdaftar dengan Majlis PT&K dan anda tidak akan terikat dengan keperluan Akta 775.
2. Sekiranya saya mengamal ruqyah dalam kehidupan harian saya dan sekiranya saya tidak memberikan perkhidmatan tetapi sekadar membantu atas permintaan pesakit, adakah saya tertakluk pada akta?
TIDAK, rujuk jawapan soalan satu di atas.
3. Sekiranya saya membaca sebarang dan/atau apa-apa ayat daripada al-Quran dan/atau hadith untuk tujuan merawat seorang pesakit atas permintaan, adakah saya tertakluk pada Akta 775?
TIDAK, rujuk jawapan soalan satu di atas.
4. Sekiranya saya membaca sebarang dan/atau apa-apa ayat daripada al-Quran dan/atau hadith untuk tujuan merawat seorang pesakit tanpa permintaan, adakah saya tertakluk pada akta?
TIDAK boleh merawat seorang pesakit tanpa permintaan pesakit itu sendiri kecuali kes-kes kecemasan.
5. Sekiranya saya membaca sebarang dan/atau apa-apa ayat daripada al-Quran dan/atau hadith untuk tujuan merawat seorang awam yang lain atas sebab kecemasan, adakah saya tertakluk pada akta?
TIDAK, rujuk jawapan soalan satu di atas.
6. Siapakah yang wajib berdaftar dengan Majlis PT&K?
Mana-mana ahli GPMM dan individu yang ingin mengamal dalam bidang amalan diiktiraf wajib berdaftar mengikut proses yang disediakan.
7. Apakah bidang amalan diiktiraf di bawah Akta 775?
a. Perubatan Tradisional Melayu
b. Perubatan Tradisional Cina
c. Perubatan Tradisional India
d. Homeopati
e. Osteopati
f. Kiropraktik
g. Pengubatan Islam
8. Bilakah pendaftaran pengamal PT&K bermula?
Pendaftaran bermula mengikut zon seperti yang dinyatakan di laman sesawang kementerian http://tcm.moh.gov.my/ms/upload/smptk/pendaftaran/faq-pendaftaran.pdf
9. Adakah permohonan pendaftaran pengamal PT&K akan ditolak sekiranya permohonan tidak dihantar mengikut tarikh pelaksanaan yang ditetapkan?
Tidak. Tetapi, permohonan akan diproses mengikut tarikh pelaksanaan zon.
10. Sekiranya alamat rumah saya di Zon 5 tetapi tempat mengamal di Zon 1, apakah tarikh pelaksanaan yang perlu saya ikut?
Tarikh pelaksanaan pendaftaran adalah berdasarkan alamat tempat mengamal. Namun, sekiranya pengamal tiada tempat mengamal yang tetap (pengamal bebas/ freelance), tarikh pelaksanaan pendaftaran adalah berdasarkan alamat rumah/ alamat di dokumen pengenalan.
11. Bolehkah dokumen permohonan pendaftaran pengamal PT&K diserahkan secara langsung di kaunter pendaftaran Cawangan Majlis PT&K?
Semua permohonan hendaklah dihantar melalui pos sehingga sautu tarikh yang dimaklumkan kelak.
12. Adakah saya masih boleh mengamal sekiranya saya belum berdaftar?
Anda masih boleh mengamal dan terus memberikan perkhidmatan secara selamat dan beretika sehingga akhir tempoh peralihan iaitu 29 Februari 2024. Implementasi penuh Akta PT&K 2016 akan dijalankan pada fasa ketiga penguatkuasaan akta ini.
13. Adakah saya masih boleh mengamal bidang amalan yang tidak termasuk dalam bidang amalan diiktiraf?
Pada ketika ini, anda masih boleh mengamal dalam bidang amalan yang belum diiktiraf secara beretika serta memastikan segala perkhidmatan yang diberikan adalah selamat dan tidak memudaratkan pesakit.
14. Adakah saya wajib menghadiri Kursus Pembangunan Kapasiti (KPK)?
TIDAK. Pelaksanaan KPK hanyalah untuk bidang perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India dan Homeopati.
15. Bagaimanakah saya mendaftarkan premis PT&K saya?
Majlis PT&K hanya mengawalselia amalan dan pengamal PT&K, manakala premis PT&K adalah di luar bidang kawal selia Majlis PT&K dan tertakluk kepada keperluan pihak berkuasa tempatan. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk merujuk kepada pihak berkuasa tempatan berkenaan prosedur pembukaan premis PT&K.
16. Apakah prosedur untuk pendaftaran produk tradisional/produk herba?
Untuk sebarang pertanyaan mengenai pendaftaran produk tradisional/ produk herba, sila rujuk kepada Agensi Regulatori Farmasi Negara (http://npra.moh.gov.my/) untuk maklumat lanjut.
Haris Tahir
Exco GPMM 2021/2023

