Misteri ketukan pintu tanpa salam
Bismillah, saya mulai dengan nama Allah Yang Maha Esa lagi Maha Agung. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan dari Allah SWT.
Pertamanya marilah sama-sama kita berdoa dan berlindung dari melakukan perkara atau perbuatan syirik sama ada dalam bentuk perkataan mahupun perbuatan.
Masyarakat Melayu dikenali sebagai masyarakat yang berpegang kepada ajaran Islam yang menjadi asas kepada kepercayaan dan gaya hidup Masyarakat Melayu itu sendiri. Asas beragama Islam ini adalah anugerah Allah SWT yang tidak ternilai buat Masyarakat Melayu. Justeru itu, Masyarakat Melayu perlu memilhara kepercayaan dan pegangan mereka ini dengan sentiasa menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan serta pedoman hidup.
Dalam minggu ini kita dikhabarkan dengan peristiwa yang telah menjadi tular di media sosial dan juga television berkenaan misteri ketukan pintu yang berlaku di perkampungan di Daerah Sabak Bernam. Saya sendiri telah membaca berita tersebut dan juga beberap tulisan berkenaan teori “siapa” sebenarnya yang mengetuk pintu penduduk kampung tersebut.
Ada yang mendakwa ketukan itu diketuai oleh Pontianak bersama pengikutnya untuk menggangu penduduk kampung tersebut. Ada juga yang menyatakan ada mesej yang ingin disampaikan oleh mahkluk jin tersebut kepada penduduk kampung di sana. Dan macam-macam lagi teori yang dikeluarkan.
Saya tidak berminat untuk menghuraikan berkenaan teori atau dakwaan-dakwaan yang dikemukan berkenaan peristiwa misteri tersebut. Namun apa yang ingin saya tekankan dalam tulisan saya ini ialah berkenaan bagaimana cara yang sepatutnya kita hadapi keadaan seumpama ini.
Secara ringkasnya :
- Tidak kisahlah gangguan tersebut datang dari Jin@makhluk halus atau manusia yang ingin membuat khianat sekalipun, yang paling utamanya ialah kita memohon perlindungan kepada Allah SWT dari segala kemudharatan.
Antara amalan yang boleh dilakukan :
Daripada Jabir bin Abdillah r.a, Nabi SAW bersabda:
وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ
بَابًا مُغْلَقًا
“Tutuplah pintu, dan sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup (yang disebut nama Allah).”
[Hadis Riwayat Bukhari, no. 3304). Riwayat Muslim, no. 2012]
Bacalah Surah al-Baqarah.
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda:
لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِى تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
“Janganlah kamu semua menjadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surat al-Baqarah”
[Hadis Riwayat Muslim, no. 780]
Membaca doa-doa perlindungan atau berdoa memohon perlindungan.
- Bagi pihak berautoriti untuk membuat penyiasatan dan juga jangan membuat sebarang andaian tanpa kepakaran,lebih-lebih lagi yang berpura-pura mengaku pakar dan mengeluarkan teori-teori khurafat lagi menyesatkan yang menambahkan lagi kerisauan penduduk.
- Jangan ghairah dengan teori-teori “mistik” yang boleh menjadikan kita seolah-olah memandang jin@makhluk halus memiliki kekuatan sehinggakan ianya tidak dapat di atasi kecuali dengan rawatan-rawatan yang juga “mistik”. Sedangkan kita sebagai hamba Allah SWT diberikan kedudukan yang tinggi bahkan dilantik sebagai khalifah bersama panduan yang lengkap iaitu Al-Quran dan Sunnah. Rujuklah alim ulama’ yang benar-benar memiliki ilmu yang diiktiraf.
- Sama-sama kita doakan misteri ini dapat diselesaikan dengan Rahmat dari Allah SWT.
Ia adalah pandangan peribadi penulis.
Mohd Zul Amirul Izwan Bin Mat Deraseh
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia

