Pernikahan jin dengan manusia: wajarkah atau tahyul

Artikel ini ditulis untuk memberi sedikit pencerahan mengenai kehidupan jin khususnya berkaitan pernikahan bangsa jin dengan manusia. Cerita atau kisah pernikahan antara makhluk halus yang dinamakan jin dengan manusia terdapat di mana-mana belahan dunia; dari timur ke barat dan dari utama ke selatan, baik dalam kalangan masyarakat Islam mahupun bukan. Kisah ini dipanjangkan menerusi cerita lisan dan turut ditularkan menerusi media sosial. Tidak kurang cerita-cerita tersebut ditokok tambah di sana sini untuk menambah perisa atau menyedapkan plot cerita. Ada pihak yang memanipulasikan cerita sedemikian dalam novel bahkan digarap ke layar perak; filem, sinetron, video atau drama TV.

Sebenarnya yang terjadi ialah jin menikahi manusia kerana dorongan ke arah itu ialah dari jin dan bukannya secara semulajadi manusia mencari jodoh atau berkeinginan berkahwin dengan jin. Pernikahan ini merupakan ikatan hubungan yang serius berbanding kes jin memperkosa atau merogol wanita. Jarang kedengaran jin betina merogol manusia lelaki walaupun kes sedemikian wujud. Pernikahan jin dengan manusia adalah sesuatu yang menyimpang dari kebiasaan beragama dan adat. Ia tidak dimulai dengan perkenalan antara dua keluarga, merisik, bertunang dan majlis akad nikad resmi yang kemudiannya disusuli dengan majlis walimah. Malah jurufoto dan juru video pun tidak diperlukan dalam majlis tersebut.

Persoalannya ialah, adakah ianya wajar dan benar-benar boleh terjadi atau hanya tahyul dan khayalan semata-mata. Jika hanya rekaan kenapa terdapat dakwaan bahawa seseorang, samada secara sukarela atau paksarela atau dipaksakan, telah mengahwini atau dikahwini oleh jin, menjalani hidup berkeluarga dan memperolehi zuriat. Sekiranya ada manusia yang berkeinginan atau berhasrat bernikah dengan jin, maka itu biasanya sebagai salah satu syarat perjanjian antara manusia dengan jin apabila dia telah terlibat dalam amalan ilmu sihir atau ilmu hitam. Penyimpangan seperti ini juga berlaku sepertimana manusia yang mempunyai kecenderungan HERETOKSEKSUAL iaitu berkeinginan dan obses ghairah objek-objek mati seperti pokok, kenderaan, anak patung, mainan kanak-kanak dan lain-lain malah ada yang berkahwin dengan jambatan (Lihat tulisan saya sebelum ini mengenai heretokseksual). Ternyata manusia juga adalah makhluk misteri.

Tulisan ini cuba menyingkap dari sudut ilmiah, pengalaman, perakuan dan pembuktian yang bersifat emperikal. Seperti yang kita tahu, jin adalah makhluk halus yang berada dalam dimensi ghaib (alam metafizik) walaupun berkemampuan muncul di alam fizikal (nyata). Jin adalah makhluk berakal yang dikenakan taklif (beban peribadatan/persyariatan) oleh Allah swt seperti juga manusia sebagaimana tujuan ciptaan kedua-duanya berdasarkan firmanNya ( Surah al-Dhariyat: 56).

Berbanding manusia, jin berbeza dari sudut asal usul kejadian, unsur dan ciri, sifat dan rupa bentuk serta peranan yang dimainkan. Namun demikian, terdapat pula banyak persamaan dengan manusia dari segi hidup bersosial, memiliki nafsu, makan minum, membiak dan menjalankan pelbagai usaha atau profesyen hidup. Ada yang berpendidikan (intelek) dan ada yang tidak berpendidikan. Ada yang yang baik kelakuannya dan ada yang tidak. Ada yang beriman kepada Allah swt dan ada yang kafir atau murtad. Ada yang menganut agama lain seperti Budha, Kristian, Hindu dan lain-lain. Ada yang memiliki ideologi tertentu komunis atau sosialis, bahkan ada yang berfahaman atheis. Ada pula jin yang mengaku cenderung dan menyokong parti-parti politik tertentu yang terdapat di dalam negara kita.

Dalam kehidupan mereka terdapat perawat dan tukang sihir atau dukun sepertimana dalam masyarakat manusia. Ringkasnya mereka mengetahui bahawa Allah swt yang mencipta seluruh kejadian atau makhluk di alam ini termasuk bangsa jin, namun kenapa ramai jin yang mengingkariNya.

Isu yang turut muncul ialah sekiranya wujud perkahwinan seperti itu, kenapa ianya berlaku, apa faktornya, hukum hakam apa yang digunakan, apa syarat dan rukun nikah, siapa jurunikahnya. prosedur pendaftaran nikah dan pendafaran kelahiran dan sebagainya. Ini belum lagi termasuk isu kenduri atau jamuan walimah. Hal-hal seperti ini menimbulkan persoalan dalam masyarakat, apatah lagi bila merujuk kepada beberapa pandangan dalam kalangan ulamak berhubung pernikahan antara bangsa jin dengan bangsa manusia.
Berdasarkan sifat kejadian, perbezaan fisiologi dan anatomis yang sangat ketara, maka hampir mustahil perkahwinan tersebut akan mewujudkan keharmonian dan dan kerukunan dalam rumahtangga. Adakah terdapat kemungkinan sperma jin dan sistem reproduksi manusia boleh melahirkan zuriat menurut perspektif sains dan turut dilihat dari sudut hukum syariat dan logik akal. Para ulamak tidak menggalakkan kita bersahabat dengan jin termasuk meminta pertolongannya dalam urusan perawatan, inikan pula untuk menjadikannya sebagai pasangan hidup, atau menantu, atau besan atau mertua atau ipar duai dari kalangan bangsa jin. Jika berlaku juga, mampukah kita menepis pelbagai tohmahan dan fitnah dalam masyarakat. Saya ingin berkongsi beberapa kes melibatkan pernikahan manusia dengan jin, namun saya terpaksa konstruksikan semula dan merahsiakan identiti sebenar mereka yang terlibat atas sebab-sebab tertentu. Contoh kes ialah seperti berikut:

KES PERTAMA

Kes ini melibatkan pasangan suami isteri warga emas yang menetap di utara tanahair bersama empat orang anak dan seorang cucu. Isteri mengadu suaminya kerap keluar negara yang dikatakan atas urusan perniagaan dan sering pergi secara tiba-tiba tanpa pengetahuannya, menelefonnya atau menghubunginya sehingga berhari-hari bahkan sudah beberapa kali dia tidak menyambut idilfitri bersama-sama. Pada suatu hari suaminya membuat pengakuan bahawa dia sudah beristerikan jin. Berdasarkan pengakuan suaminya, dia pernah menuntut ilmu songsang yang disyakki ilmu sihir di negara tersebut dan mengaku pernikahan iu dibuat secara nikah batin. Si isteri risau kerana setiap kali suaminya pulang ke rumah dari luar negara, suaminya semacam buang tebiat kerana meminta layanan yang berlebihan tidak seperti masa mula-mula kahwin dulu, tanpa mengira waktu siang mahupun malam. Isteri tidak sanggup memenuhi kehendak suami yang agak kasar dan menakutkan di segi kelakuan dan perbuatannya. Isteri tertekan dan ketakutan bahkan menatap wajah suaminya pun amat menyeramkan. Beliau datang meminta penjelasan kenapa suaminya berubah laku dari seorang suami yang penyayang menjadi bersikap kasar. Setelah rahsia suaminya terbongkar, dia menjadi mangsa dipukul, dibelasah, diherdik dan dicaci maki di depan anak-anak dan pembanttu rumah dan perbuatan tersebut turut disedari oleh jiran tetangganya. Sebelum itu suaminya seorang yang amat bertimbangrasa dan senang dibawa berbincang dan rapat dengan anak-anak tetapi kini tidak lagi. Dalam masa yang sama si isteri kerap menjumpai barang-barang pelik dan ganjil seperti tangkal dan azimat seperti kain kuning, bungkusan kecil berwarna hitam, cincin, minyak dan berbagai lagi sedangkan sebelum ini suaminya langsung tidak meminati benda-benda mistik begitu. Setelah tidak tahan dengan situasi demikian apatah lagi suaminya tidak lagi solat dan puasa, beliau pergi ke mahkamah menuntut fasakh. Episodnya berakhir dengan perceraian, isteri hilang tempat bergantung dan anak-anak hilang tempat menumpang kasih sayang manakala cucunya hilang tempat bermanja. Suami pula hidupnya selepas itu tidak keruan, sering bercakap sendirian dan seolah-olah berkomunikasi dengan seseorang dan bila ditanya siapa, itulah isterinya katanya, isteri dari bangsa jin. Khabarnya suaminya hilang akal dan gila dan ditemui merayau-rayau di kaki-kaki lima dan lorong .

KES KEDUA

Ini merupakan kisah benar yang penuh misteri dalam dunia supernatural. Seorang suami terkejut beruk setelah dikhabarkan bahawa isterinya hamil sedangkan sejak dua tahun lalu dia telah meninggalkan isteri kerana majikannya menukarkannya bertugas di sebuah negara Arab. Dia akhirnya kembali setelah menerima panggilan kecemasan. Setelah sampai di rumah, dia mendapati ada keanihan pada isterinya yang berperut besar seperti sarat hamil. Setelah didesak isterinya menceritakan kisah sebenar dan mendakwa dia telah dinikahi dan dihamili oleh jin jantan. Dia mengatakan setiap kali jin itu datang, jin itu menyerupai suaminya dan dalam keadaan separuh sedar itulah terjadi seperti apa yang kerap terjadi. Suaminya naik berang dan ingin memukulnya namun dia merayu dan cuba mendapatkan simpati kerana sedang menghamili anak jin yang kini menjadi suami keduanya. Cerita wanita tadi bagaimanapun tiada sesiapa yang mempercayainya apatah lagi suami dan ahli keluarganya, bahkan menduduhnya sengaja mereka-reka cerita untuk menutup aib dirinya. Untuk membuktikan kebenaran ceritanya, seorang dukun terkenal di kampungnya dipanggil untuk membuat tilikan. Seperti kata dukun tersebut, memang terduga isterinya itu dinikahi dan dihamili oleh jin yang setiap kali datang, dia menyerupai rupa suaminya yang sebenar agar dia tidak disyakki apa-apa. Jin tersebut mengambil kesempatan di atas ketiadaan suami dalam tempoh yang agak lama dan isteri pula menyangka suaminya sudah pulang, namun itulah yang terjadi. Persoalan yang menjadi misteri ialah bagaimana benih jin boleh menghamili seorang manusia.

KES KETIGA

Kes ini juga adalah berdasarkan kisah sebenar yang terjadi ke atas seorang penjawat awam di ibu kota. Beliau sudah berkeluarga, memiliki seorang isteri dan tiga orang anak yang masih bersekolah rendah. Sebagai seorang pekerja biasa, pendapatannya hanya cukup-cukup makan sedangkan isterinya seorang suri rumah sepenuh masa. Suatu hari isterinya menerima panggilan keluarganya yang memintanya balik menjaga bapanya yang kena stroke dan koma kerana dia adalah anak tunggal dalam keluarga. Setelah dua bulan isterinya berada di kampung, pada suatu malam dia didatangi oleh beberapa lembaga lelaki dan seorang wanita muda yang kesemuanya berpakaian serba kuning. Dia dilayan dengan baik bagaikan berada dalam sebuah istana yang amat cantik. Ketuanya mengajaknya bernikah dengan wanita ahli rombongan tadi dengan beberapa syarat dan dijanjikan pula dengan beberapa anugerah berupada keistimewaan tertentu. Bagaikan orang mengantuk disorong bantal, dia menerima pelawaan tadi. Setelah upacara ringkas pernikahan dijalankan maka tinggallah dia bersama isteri barunya yang berbangsa jin. Sejak bernikah, pada ketika tertentu jin tersebut mengaku balik berjumpa keluarganya dan datang kembali pada waktu malam. Setelah disiasat ternyata lelaki tadi pengumpul dan penggemar bahan-bahan antik yang berunsur mistik.

Beberapa perbahasan berhubung pernikahan jin dengan manusia adalah seperti berikut;

  1. Kehidupan jin hampir mirip dengan manusia di segi wujudnya perasaan kasih sayang dan permusuhan, emosi gembira dan sedih, rindu dan asyik, bertanggungjawab, hubungan kelamin, mempunyai sperma, organisme, usia baligh dan usia memasuki gerbang perkahwinan iaitu 170 hingga 250 tahun (menyamai usia manusia 40 tahun). Jin biasanya hamil sehingga 15 bulan dan ada kalanya terdapat 7 hingga 9 janin sekali hamil bahkan ada yang kembar hingga 12. Proses menyusu juga begitu, malah sampai usianya 40 tahun masih menyusu dan bergolek-golek macam bayi manusia. Setelah membesar mereka juga belajar, bersekolah (alam jin) dengan mengikuti pelbagai jenis kemahiran sesuai dengan kehidupan mereka.
  2. Berhubung pernikahan antara jin dan manusia, terdapat pendapat yang dikemukakan oleh beberapa ulama’, antara lain Mujahid dan Al-A‘masy. Ia merupakan salah satu dari dua riwayat yang diterima dari Al-Hasan dan Qatadah, yang juga diikuti oleh pengikut Hanbali, Hanafi, Imam Malik dan lain-lain. Kisah-kisah yang meriwayatkan terjadinya perkawinan jin dengan manusia memang banyak, baik dalam kalangan orang-orang terdahulu mahupun yang terkemudian. Beliau mengatakan tidak mungkin pernikahan seperti itu terjadi kerana kejadian kedua-duanya berbeza dan berbeza pula watak yang dimiliki. Seharusnya manusia untuk manusia dan jin untuk jin untuk mewujudkan cinta dan kasih sayang sehingga kehidupan menjadi rukun damai. (Lihat Surah al-Rum: 21).
  3. Tidak mungkin terjadi jika dilihat dalam konteks yang wajar, namun kisah pernikahan ini tetap berlaku bahkan ada yang mengaitkan bahawa puteri Balqis adalah makhluk yang lahir dari perkahwinan manusia dan jin. Riwayat yang mengatakan bahawa, salah seorang di antara kedua orang-tua Puteri Balqis adalah jin, telah diriwayatkan oleh Ibn Kathir dalam Qasas AI-Anbiya’, jilid II, dengan komentar bahawa riwayat tersebut gharib (ganjil), dan dalam sanadnya terdapat perawi yang lemah). Dalam Tafsir-nya Al-Qurtubi menyatakan penafiannya terhadap khabar ini berdasarkan ketentuan dan logik akal. Al-Qurtubi mengatakan, dan disebut oleh AI-Mawardi bahawa pendapat yang menyatakan bahawa ibunda Balqis adalah jin perempuan secara rasional tidak dapat diterima lantaran perbezaan jenis (jin dan manusia), karekter dan pancaindera. Anak Adam a.s bersifat fizik sedangkan jin non-fizik. Manusia diciptakan Allah swt dari tanah liat kering sedangkan jin dari api yang menyala-nyala. Perbedaan ini tidak mungkin disatukan, dan mustahil menghasilkan keturunan berdasarkan perbedaan asas tadi. Pendapat ini selari dengan perakuan jin-jin yang dikemukakan ketika dialog berlaku.
  4. Perkahwinan antara jin dan manusia tidak akan terjadi kecuali setelah terjadi penampakan namun hal ini tidak selalunya terjadi tanpa izin Allah swt dan sekiranya terjadi sekalipun tidak dapat menghasilkan kehamilan, baik jin jantan bersama manusia wanita ataupun jin betina bersama manusia lelaki. Ini kerana sperma dan nutfah keduanya tidak sama dan rahim pun tidak sama. Sekirannya terdapat kelahiran, adakah anak itu menjadi makhluk ghaib atau makhluk nyata.
  5. Ibn Taimiyyah pula mengatakan bahawa kadang-kadang terjadi pernikahan antara manusia dengan jin dan mendakwa hasil dari perkawinan itu melahirkan anak sepertimana yang orang ramai mengetahuinya banyak terjadi sejak dahulu lagi (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Taimiyyah, jilid 19, hlm. 39). Manusia memang benar-benar boleh berkahwin dengan jin, namun beliau mengakui bahawa untuk melahirkan anak dari perkahwinan seperti itu adalah sesuatu yang mustahil karena perbedaan karekter dan asal kejadian.
  6. Jin atau syaitan mampu menzinai manusia sepertimana disebut dalam Hadith Nabi saw. Sekiranya ini boleh terjadi, maka pernikahan juga boleh terjadi yang melibatkan persetubuhan.

Sabda Nabi saw yang mengatakan (maksudnya); Apabila seseorang mencampuri isterinya tanpa menyebut nama Allah, maka jin akan bergabung dengannya dan melakukan per-senggamaan bersamanya. (Hadith ini ditakhrij oleh lbn Jarir al-Tabari dalam Tafsirnya dan oleh Al-Hakim dan Al-Tirmidhi dalam Nawadir al-Usul).

Hadith itu mengesahkan pendapat bahawa jin boleh menyetubuhi manusia dan menjadi peringatan bagi setiap muslim agar melindungi diri dari keterlibatan syaitan atau jin dengan cara membaca nama Allah SWT ketika melakukan persetubuhan. Hadith tersebut (maksudnya):

Sekiranya salah seorang di antara kamu bermaksud mendatangi (mencampuri) isterinya,maka hendaknya dia mengatakan; Bismillah, Ya Allah, jauhkanlah kami dari syaitan-syaitan, dan jauhkanlah syaitan-syaitan dari apa yang Engkau anugerahkan kepada kami. (Hadith ditakhrij oleh Al-Bukhari dan Muslim dari Ibn `Abbas).

Hadith tersebut menunjukkan bahawa jin boleh menyetubuhi wanita dan apabila hal demikian boleh terjadi, maka ianya juga boleh terjadi setelah jin menikahi wanita. Boleh juga terjadi jika jin jahat menampakkan diri sebagai suami seorang wanita dan mengaulinya dan dalam masa yang sama jin turut menyertainya. Dalam kes sebegini mani jin akan merosak mani suaminya dan berlakulah keguguran atau gagal hamil. Hal-hal serupa ini sering diakui sendiri oleh jin-jin jahat yang bertujuan agar rumahtangga pasangan suami isteri bermasalah atas banyak sebab. Ini termasuk jin menikahi seorang wanita yang sedang bersuami atau seorang wanita bermadu dengan jin yang bernikah dengan suaminya. Hubungan seperti itu bukan sahaja abnormal, bahkan terlarang dan tidak diterima dalam institusi kekeluargaan kerana ternyata ianya penyelewengan ke atas manusia, mungkin kerana kelalaian manusia sendiri.

Ada yang berpandangan bahawa mukhannath (pondan) itu sebenarnya adalah anak jin dan syaitan yang lahir akibat kealpaan manusia. Berhubung hal ini, Ibn `Abbas pernah mengucapkan (maksudnya);

Apabila seorang laki-laki mencampuri isterinya ketika sedang haid, maka syaitan mendahuluinya. Ketika dia hamil dan melahirkan, maka yang lahir adalah al-mukhannath, iaitu anak-anak jin. (Al-Tartusi meriwayatkan dalam kitabnya Tahrim AI-Fawakhisy, bab Min Ayyi Syai’ Yakunu aI-Mukhannath, dari Ata‘, dari IbnAbbas, katanya; Al-Mukhannath itu adalah anak-anak jin. Seseorang bertanya kepada Ibn Abbas, Bagaimana boleh jadi begitu?. IbnAbbas menjawab; Sesungguhnya Allah SWT dan Rasul-Nya melarang seorang laki-laki mencampuri isterinya dalam keadaan haid. Kalau dia melakukannya, maka syaitan mendahului, dan jika isterinya itu hamil, maka anak yang lahir itu adalah al-Mukhannath (Hadith ini diriwayatkan oleh Al-Hafiz Ibn Jarir al-Tabari).

Pertanyaan yang timbul ialah bagaimana mungkin hubungan tersebut boleh melahirkan anak dari percampuran sperma jin dan manusia ?.

Jawapannya adalah itu kehendak Allah swt dan dia tidak boleh mentafsirkan lebih jauh dari itu dan cukuplah dikatakan bahawa Allah swt melarang kita mencampuri isteri-isteri yang sedang haid. Jika sesiapa melakukannya maka dialah yang bertanggungjawab menerima akibatnya yang melahirkan mukhannath dan itu adalah balasanNya.

Diriwayatkan dari Uqbah bin Abdullah bahawa ada seorang lelaki datang menemui Hassan al-Basri dan berkata: Wahai Abu Said, ada satu jin lelaki meminang gadis dari kalangan kami, bagaimana?. Hassan al-Basri menjawab: Kalian jangan menikahkannya dan jangan kalian memuliakannya. Kemudian lelaki tersebut pergi pula berjumpa Qatadah dan begitulah juga jawapannya seperti Hassan al-Basri. Pada malamnya jin itu datang di muka pintu rumah lelaki tersebut lalu berkata:

Katakan kepadanya, kami melarang kamu, jika kamu adalah seorang muslim. Maka segeralah menyingkir dari kami dan jangan ganggu kami (Lihat Syaban Ahmad Salih, Mausuah al-`Ilaj bi al-Qur’an wa al-Adhkar, hlm 204. Kata-kata jin tadi memberi isyarat bahawa sekiranya seseorang itu benar-benar muslim maka dia akan menolak pinangan jin dan tegahan Hassan al-Basri dan Qatadah adalah betul.

Kesimpulannya, terdapat dua persoalan utama iaitu tentang kemungkinan terjadi pernikahan sedemikian dan kedua, tentang aturan syariat jika memang benar-benar terjadi. Ini berkait dengan hukum hakam, hak, penjagaan, penyusuan, nafkah, pewarisan dan sebagainya. Berdasarkan nas al-Qur’an dan al-Hadith, pernikahan jin dengan manusia adalah sesuatu yang tidak wajar kerana terdapat implikasi yang lebih buruk berbanding kebaikannya bahkan hampir tidak diketahui apakah kebaikannya. Samada ianya berlaku secara sukarela mahupun paksa, kesan pernikahan itu akan membabitkan hukum syarak dan hubungan kekeluargaan di antara kedua belah pihak yang sukar hendak digambarkan kerana berlainan dimensi alam; fizik dan metafizik.

Pandangan Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa pernikahan seperti itu memang boleh berlaku namun beliau memustahilkan lahir zuriat darinya. Ada ulamak yang memahruhkannya dan ada yang menegah dari awal lagi seperti Hassan al-Basri dan Qatadah. Dalam dunia perawatan Islam atau peruqyahan, kisah-kisah penikahan jin dengan manusia tidak asing lagi, termasuk pengakuan oleh jin sendiri atau manusia yang dinikahi jin. Kes-kes lain termasuk pemerkosaan yang dilakukan oleh jin ke atas manusia baik lelaki mahupun wanita. Justeru itu kita hendaklah sentiasa berwaspada kerana manusia tidak mengetahui segala-galanya tentang hakikat alam ghaib. Maka penipuan dan penyelewengan boleh terjadi dan manusia berisiko untuk terjerumus dalam penyimpangan syariah dan aqidah. Muslim yang benar-benar beriman tidak akan terlibat dalam pernikan seperti itu dan jin muslim yang beriman pun sedemikian juga. Jin dan manusia memiliki kehidupan masing-masing dan itulah fitrah kejadian. Nikahilah dari kalangan bangsa masing-masing kerana jika terjadi sebaliknya maka buruk padahnya.

SEKIAN
Nukilan,
DR ABDULLAH YUSOF, Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)
– 7.6.2020 jam 4.40 pm.