Penampakan jin dalam masyarakat: benar atau tipuan?

(Siri Pencerahan) Berita atau perkhabaran penampakan jin atau makhluk halus terjadi di mana-mana baik di kampung mahupun di kota, baik di rumah mahupun di pejabat, baik di pasar mahupun di masjid, baik dilihat oleh orang alim mahupun oleh orang jahil, bahkan dalam kalangan peruqyah dan pesakit ramai yang menyaksikan perkhabaran ini. Ada juga penampakkan dalam foto seperti muncul imej seseorang atau jurufoto nampak kelainan pada individu tertentu seperti seorang tua namun setelah foto diambil tiada apa-apa kelainan kelihatan. Justeru itu hal ini tidaklah asing dan dibicarakan orang sejak sebelum era digital sampai sekarang. Saya tidak bercadang mengulas mengenai perbezaan antara qarin, syaitan, jin dan iblis dan lain-lain di sini kerana memerlukan perincian lanjut lantaran terdapat perbezaan tertentu antara mereka.

Penampakan mereka lazimnya dalam keadaan rupa bentuk manusia yang hodoh, seram dan mengerikan sepertimana berlaku dalam mimpi atau yang dimanifestasikan dalam filem-filem genre seram dan mistik. Namun demikian ada juga yang membuat penampakan dalam bentuk dan rupa yang indah, cantik, menawan dan menggoda disertai bau harum wangi yang semerbak di sekitarnya dan ada yang disertai bau busuk dan meloyakan. Selain rupa bentuk manusia, penampakan mereka adakalanya terjadi dalam rupa haiwan, tumbuhan atau benda atau objek mati dan inilah yang tidak disedari oleh manusia. Persoalannya, betulkah hal ini boleh terjadi atau ia hanya khayalan, imaginasi atau tipuan semata-mata. Lebih mengelirukan lagi seolah-olah ianya bertentangan dengan nas al-Quran bahawa mereka tidak boleh dilihat oleh manusia sedang mereka sebaliknya.

Dalam surah al-Araf (8:27) Allah telah mengkhabarkan bahawa bangsa jin telah diberi keupayaan untuk menempati sesebuah tempat yang mereka boleh melihat manusia tetapi manusia tidak boleh melihat mereka.

Berdasarkan pandangan ulamak dan merujuk beberapa hadith, Allah mengizinkan makhluk-Nya (4 golongan) yang turut berkebolehan juga melihat mereka dalam rupa hakiki (asal) namun secara umumnya orang ramai boleh melihat bangsa jin jika berada dalam dua situasi berikut:

1. Dalam situasi Tasyakkul (menjelma rupa) atau Tamaththul (penyerupaan @ menyamai dengan seseorang seperti rupa seorang wali atau arwah yang sudah meninggal). Ketika itulah mereka boleh dilihat oleh manusia kerana pada ketika itu jin sudah memasuki dimensi alam manusia dan merubah dirinya menjadi elemen padat yang menjadikannya boleh tertangkap oleh panca indera seseorang. Dari sudut sains, jin adalah makhluk berunsur gas yang mempunyai energi dan menerusi energi itulah dia boleh bertukar kepada jisim sehingga boleh terlihat oleh manusia dalam keadaan tertentu yang diizinkan oleh Allah (memetik pandangan Dato’ Dr Ahmad Sabirin, Setiausaha Agung GPMM).

Misalnya: Mereka boleh menjelma menjadi anjing hitam, kucing hitam, keledai, ular, tikus, bahkan manusia. Hal ini sesuai seperti yang dikisahkan dalam sebuah hadith riwayat Imam Muslim dari Abi Saib, pelayan Hisyam bin Zahrah bahawa dia berkata : Pernah aku memasuki rumah Abu Said al-Khudri r.a dan aku menemuinya sedang melaksanakan solat, lalu aku pun duduk menunggunya hingga dia menyelesaikan solatnya. Aku mendengar ada suara benda bergerak di bawah tempat tidurnya dan ternyata itu adalah ular. Aku pun berhasrat untuk membunuhnya, namun Abu Said al-Khudri mengisyaratkanku untuk duduk kembali. Ringkas riwayat, beliau memberitahu dulu ada seorang pemuda yang baru bernikah akan pergi bersama Rasulullah saw menyertai perang Khandaq. Ketika bersamanya, pemuda itu datang dan meminta izin kepada Rasulullah untuk menemui isterinya sebentar. Maka Rasulullah pun mengizinkannya dan beliau bersabda : Ambillah senjatamu, aku risau kamu akan diapa-apakan oleh bani Quraidzah.. Pemuda itu pun balik dan tiba-tiba dia mendapati isterinya sedang berdiri di antara kedua pintu. Dia pun mengarahkan tombak pada isterinya kerana cemburu. Isterinya berkata : Jangan terburu-buru untuk marah kepadaku, masuklah ke rumah dan lihatlah apa yang ada di dalam rumahmu. Dia pun masuk ke dalam rumah dan ternyata di dalamnya terdapat ular besar yang melingkar di atas katilnya, lalu dia menikam ular tersebut dengan tombak dan menusuknya hingga tembus. Kemudian dia keluar, lalu mencampaknya ke luar rumah. Setelah itu didapati kedua-duanya mati lalu dilaporkan Rasulullah saw dan baginda saw pun bersabda:

“Sesungguhnya di Madinah ini terdapat jin yang sudah memeluk Islam, apabila kalian melihatnya maka berilah mereka izin selama tiga hari, apabila tetap di situ (tidak mahu beredar) maka bunuhlah kerana itu adalah syaitan.

2. Penampakan Hakiki @ Asli seperti di alam ghaibnya, iaitu dilihat dengan mata zahir. Ketika itu jin menunjukkan dirinya dalam rupa bentuknya yang asli yang secara normal tidak mampu dilihat oleh manusia. Namun demikian terdapat 4 (empat) golongan yang dikecualikan apabila dikehendaki atau diizinkan olehNya iaitu

a) Sebahagian para nabi dan rasul yang Allah berikan kemampuan untuk melihat bangsa jin (makhluk ghaib) sebagaimana yang telah disebutkan di dalam surah al-Jin ayat 26-27 (maksudnya):

Dia adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui hal ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang hal ghaib itu, kecuali kepada para rasul yang diredai-Nya.

b) Al-Saharah (Ahli Sihir), Para ahli sihir dapat melihat jin yang bekerjasama dengannya secara ghaib dengan mata kasar. Mereka juga boleh berbicara dengan para jin dan dapat memantau perbuatan para jin suruhan (khadamnya) di dalam tubuh mangsa sihir. Namun demikian, pada hakikatnya mereka tidak mampu berbuat demikian kecual dengan pertolongan jin lain untuk dapat melihatnya.

Kebolehan melihat ini boleh berlaku kerana seseorang itu terlibat mempelajari dan beramal dengan ilmu sihir ataupun kesan dari pengaruh jin leluhur@nasab@saka berpunca dari faktor keturunan yang salah satu ahli lelihurnya pernah mempelajari ilmu sihir. Inilah yang disebut sebagai Mukasyafah Syaitaniyyah menerusi indera keenam. Hal seperti ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah saw tentang kisah Ibn Syayyad, yang mendakwa dapat melihat singgasana Iblis yang berada di atas laut. Nabi saw menempelak dakwaan Ibn Syayyad kerana kemampuannya adalah dengan menggunakan indera keenam yang bersumberkan iblis untuk memperlihatkan singgahsananya di atas laut.

Perbezaannya, nabi dan rasul tertentu melihat dapat jin adalah antara kekhususan yang Allah swt anugerahkan, sedangkan para ahli sihir melihatnya dengan bantuan dan tipuan bangsa jin iaitu tukang sihir dalam kalangan bangsa jin sendiri. Justeru itu sekiranya ada yang mendakwa boleh melihat jin sepertimana Nabi Sulaiman bekerjasama dengan jin, maka hujah tersebut tertolak kerana Nabi Sulaiman adalah nabi dan rasul yang dianugerahinya mukjizat dan mukjizat tidak boleh dipelajari atau diajarkan kepada orang lain sepertimana ilmu sihir.

c) Mangsa @ Korban Sihir. Sebahagian mangsa sihir sering diperlihatkan kelibat jin termasuk dalam rupa yang hakiki@asli lantaran telah meminum air jampian sihir atau telah memakan media sihir yang dicampur dalam minuman dan makanan dalam tempoh yang agak lama dan sebati dengan jasad penderita sihir. Mangsa sihir tersebut diperlihatkan jin secara zahir dengan mata kasar terutama ketika dia dalam keadaan lalai dari mengingati Allah swt, lalai dari perintah agama dan melakukan tegahanNya, kecewa yang bersangatan, sering berputus asa dari rahmat Allah, timbulnya perasaan buruk dalam jiwa sehingga ada yang terjebak dalam amalan syirik atau melakukan perkara fasiq. Dalam situasi tersebut mangsa sihir akan terus dikerjakan oleh tukang sihir jin sehingga sering menampakkan dirinya dalam rupa asal. Wallahu Alam.

d) Haiwan @ Keledai. Dalam sebuah hadith Nabi saw (maksudnya):
Apabila kalian mendengar suara rengkekan keledai maka mintalah perlindungan kepada Allah swt, kerana sesungguhnya ia telah melihat syaitan. (Sahih al-Bukhari: Hadith No. 3127).

Ulamak mengqiaskan hal ini juga boleh terjadi kepada jenis-jenis haiwan lain seperti anjing dan kucing yang berwarna gelap dan ini bertepatan dengan pengalamana para perawat Islam yang berhadapan dengan banyak kes-kes yang bersangkutan.

Berdasarkan pencerahan di atas, adalah jelas makhluk halus seperti jin boleh menampakkan diri dalam pelbagai bentuk sekiranya diizinkan oleh Allah swt baik dalam rupa bentuk tasyakkul atau tamaththul mahupun dalam rupa bentuk hakiki (asli). Manusia umumnya tidak dapat diperlihatkan penampakan mereka namun ada sebahagian yang boleh melihat mereka termasuk 4 (empat) golongan yang disebutkan di atas.

Berhubung bagaimana jin dan syaitan mempunyai kemampuan mengubah bentuknya kepada bentuk lain, Al-Qadi Abu Ya’la bin Husayn bin Farra’ berpendapat: Para syaitan tidak mempunyai kemampuan mengubah wujud mereka dan meniru bentuk lain. Tetapi mereka hanya diajarkan oleh Allah swt beberapa kalimah dan jurus. Jika mereka mengamalkan dan mengucapkan kalimat tersebut, maka Allah akan mengubah wujudnya ke bentuk yang lain dan inilah yang sering terjadi (dengan izin Allah). Jika mereka sendiri ingin mengubahnya, maka hal itu adalah sesuatu yang mustahil terjadi. Ini kerana proses perubahan dari satu bentuk ke bentuk lain, kemudian kembali semula ke bentuk asal adalah amat sulit dan membebankan, sehingga boleh menghancurkan jasad dan mematikannya. Pendapat beliau diperkuatkan pula oleh sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah (maksudnya):

Sesungguhnya ada satu sosok jin yang muncul di hadapan umar bin khattab r.a, maka beliau berkata: “sesungguhnya tidak ada seorang pun yang dapat mengubah dirinya dari bentuk aslinya, tapi mereka (bangsa jin) memiliki tukang sihir sebagaimana tukang sihir kalian (manusia), jika kalian melihat mereka, hendaklah kalian mengumandangkan adzan..” (Lihat Fath al-Bari, jilid 6 hal.344).

Kesimpulannya, dakwaan penampakan jin atau makhluk ghaib dalam pelbagai rupa bentuk adalah sesuatu yang lumrah dalam masyarakat. Ada yang beriman dengan perkara-perkara ghaib (al-Baqarah 2:3). dan ada yang sebaliknya. Maka tulisan ringkas ini diharap dapat memberi sedikit sebanyak pencerahan agar masyarakat menanggapi hal ini dengan betul berdasarkan nas. Apabila seseorang mendakwa melihat jin atau makhluk halus yang sifatnya ghaib, maka jangan cepat-cepat menuduhnya berbohong atau menafikannya. Boleh jadi itu penjelmaan dalam bentuk bukan hakiki (asal) dan boleh jadi dalam bentuk hakiki (rupa asli sepertimana di alam ghaib). Kemungkinan dia adalah mangsa sihir dan kemungkinan juga dia terlibat dalam amalan syirik atau berunsur sihir. Jika hal ini terjadi walau apapun puncanya, maka dsarankan agar dia cepat-cepat berubat atau diruqyah oleh peruqyah yang mahir dan berpengalaman. Peruqyah sendiripun hendaklah mengelak dari membuat tanggapan atau sangkaan yang tiada asasnya apatah lagi fenomena ini bersifat ghaib dan manusia zahirnya di alam nyata. Wallahu Alam.

Nukilan,
Dr Abdullah Yusof (Exco GPMM) abdy@GPMM 3.6.2020 jam 1.30 pm