Isteri tidak sempurna kerana mata si suami

Siri 1 : Psikologi Keluarga

  1. Berkahwin dengan pasangan yang dicintai adalah impian bagi setiap individu yang ingin mendirikan rumahtangga. Majlis perkahwinan seperti raja sehari dilakukan dengan penuh kemeriahan bahkan ada yang sanggup membuat pinjaman bank demi melestarikan majlis perkahwinan yang diimpikan.
  2. Ucapan pujian dan ‘pick up line’ sentiasa diberikan dalam tempoh awal perkahwinan. Terasa “dunia ni macam ana yang punya” dan terasa seolah-olah Allah telah memakbulkan doanya untuk memiliki putera atau puteri teman hidup matinya sampai ke Syurga.

“Sayang tahu tak apa beza sayang dengan bantal?’ Tanya suami pengantin baru ni.

“Isteri jawab, sayang tak tahu la abang”

” Suami pun balas (perbualan wasap dari tempat kerja), bantal diperlukan apabila kita mengantuk, tapi sayang sentiasa diperlukan dalam hidup abang dalam semua keadaan baik dalam keadaan mengantuk atau tidak”

Sang isteri tersenyum lebar dan buat printscreen dan share dalam media sosial untuk menyatakan bahawa bahagianya dia bersama suami yang memahami hatinya.

  1. Setelah beberapa waktu berlalu, apabila duduk satu bumbung setiap hari barulah pasangan ini dapat melihat perkara yang belum dilihat oleh mereka sebelum ini. Baik perkara yang baik mahupun kelemahan diri masing-masing. Pujian suami terhadap isteri semakin berkurang, komunikasi mesra juga berkurangan dan masa duduk di rumah suami pula sibuk dengan ‘online’ dan bermain games tanpa mengira waktu.

Bila di tempat tidur, Isteri ajak bersembang si suami pula membalasnya dengan mengatakan, “saya dah penat, esok nak kerja”. Isteri termenung mendengar jawapan si suaminya yang tidak lagi memanggilnya sayang kecuali masa nak pinjam duit isteri baru panggil sayang, sedangkan sepanjang hari dialah yang membuat kerja rumah, masak dan sebagainya. Manakala suami pula hanya baring dan duduk bersama smartphone dan laptopnya untuk bermain games online serta ada masa melayan Live Facebook Bid jam G-Shock.

  1. Memiliki zuriat adalah keinginan setiap pasangan yang berkahwin. Dan inilah juga antara tujuan perkahwinan iaitu memilhara keturunan. Isteri yang mengandung pasti mengalami perubahan baik perubahan pada fizikal mahupun emosi. Bagi isteri yang mengalami alahan awal kehamilan pasti melalui masa yang sukar dan memerlukan sokongan fizikal dan emosi dari si suami.

“Eh saya tengok si Mira tu elok je mengandung, tiada alahan pun. Suami dia pun senang hati tak perlu susah-susah jaga isterinya”.

“Si Jannah tu dah tiga kali beranak, saya tengok kulitnya cantik dan bertambah cerah lagi”.

“Orang lain pun mengandung juga, tapi masak buat kerja rumah boleh je. Cuba tengok dalam Fb ni, sarat mengandung pun elok je masak untuk suami dia, duk kat rumah pun bukan main cantik lagi berhias”

Dialog sebegini adalah permulaan dalam membunuh perasaan kasih sayang bersama pasangan. Rumahtangga masing-masing tidak sama dengan keadaan rumahtangga orang lain.

Tidak perlu kita melihat keadaan rumahtangga orang lain lebih-lebih lagi hanya melihat keadaan luarannya sahaja. Yang paling penting ialah ilmu dalam menguruskan rumahtangga kita dalam mengharungi situasi-situasi yang pelbagai dalam perkahwinan.

Pandangan mata, jika tidak dipelihara boleh meracuni fikiran kita dan mampu merosakkan hubungan mesra dalam rumahtangga.

  1. Komitmen keluarga bertambah dengan datangnya cahaya mata dalam kehidupan pasangan suami isteri. Isteri bertambah sibuk, sudahla bekerja, balik rumah kena buat kerja-kerja rumah dan dalam masa yang sama kena jaga dan menyusukan anak. Nak bersihkan diri sendiri pun kadang-kadang tak sempat. Waktu tidur pula terjejas, anak sering menangis tersedar lewat malam nak susu. Si suami berdengkur seolah-olah tidak mendengar tangisan anak sekatil dengannya.

“Abang, pagi ni abang jaga anak sekejap boleh tak sebab sayang nak ke saloon sekejap. Lepas mengandung dan bersalin sayang belum pergi lagi ke saloon nak cantikkan diri sayang ni, untuk abang juga”.

“Alah, abang sibuk la. Ada kerja ni nak buat. Mata memandang pada smartphone yang tengah terbuka dengan tiktok”. (terdengar perlahan lirik,…aku pilih mama muda, biar janda tidak masalah).

Selang beberapa waktu si suami menegur isterinya.

“Awak ni baru anak seorang, tapi nampak macam anak dah lima orang”. Cuba awak tengok janda dalam tiktok ni, anak dah tiga orang pun nampak macam anak dara lagi”.

Ya, semua wanita yang membaca dialog ini akan berasa marah dan mungkin ada yang teringin nak maki si suami sebegini. Namun, inilah hakikatnya akan berlaku seandainya si suami tidak memilhara pandangan matanya.Dari mata turun ke hati dan hati pula meracuni fikiran seseorang.

  1. Apa yang suami perlu buat ialah peliharalah matamu. Tundukkanlah pandangan mata terhadap wanita lain sama ada wanita itu anak dara, isteri orang mahupun janda. Fokuslah pandangan mata itu pada isterimu. Lihat apa keperluan isterimu itu. Lihatlah yang patut suami lakukan untuk memimpin keluarga agar sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.

Jangan biarkan pandangan mata kita terhadap perkara lain menipu dan melalaikan kita sehinggakan kita lupa siapa kita dalam keluarga. Kita adalah pemimpin keluarga. Isteri pula adalah amanah kita. Gunalah mata untuk melihat pengorbanan isterimu itu. Gunalah mata untuk melihat jalan-jalan yang boleh mempertingkatkan kualiti keluargamu agar sentiasa mendapat rahmat dari Allah SWT.

  1. Amanah memimpin akan ditanya oleh Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud : “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita dengan apa yang Allah lebihkan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain dan dengan apa yang dinafkahkan dari harta kamu”. (Surah An-Nisaa’ : Ayat 34)

Rasulullah SAW mengingatkan : ” Suami adalah pemimpin bagi keluarganya dan kelak ia akan ditanya tentang amanahnya ini”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Wahai suami, pelihara matamu agar selamat engkau memilhara amanahmu sebagai ketua keluarga.

Penulis : Mohd Zul Amirul Izwan Bin Mat Deraseh
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)