Bedah batin: Adakah toleransi Islam atas nama ikhtiar?
(Siri Pencerahan) Sejak beberapa tahun dahulu sehinggalah sekarang orang ramai teruja dengan perkhidmatan bedah batin. Setelah puas berubat dengan doktor spesialis atau pakar bedah perubatan modern dan menemui jalan buntu maka pilihan mereka beralih kepada khidmat bedah batin. Pemberi khidmat bedah batin baik pengamal tradisional mahupun yang digelar sebagai ustaz atau pengamal perubatan Islam, lazimnya mendakwa menggunakan cara-cara yang dibenarkah oleh Islam dan ada yang menggunakan jin Islam. Orang ramai berpegang pada konsep ikhtiar‟ sebagai tiket untuk melakukan apa sahaja usaha bagi mendapatkan kesembuhan asalkan sembuh. Apatah lagi yang datang menemui tukang-tukang bedah batin tersebut bukan sembarangan orang. Mereka terdiri dari semua peringkat; orang kaya, orang miskin, orang biasa, orang terhormat, orang jahil, para cendekiawan, para pemimpin masyarakat, malah ilmuan Islam sendiri sehingga ada mufti di sebuah negeri yang pernah mendapatkan khidmat ini (maaf, saya terpaksa merahsiakan namanya). Pengamal bedah batin pula sering membuat promosi menerusi iklan berbayar mahupun tidak berbayar termasuk menerusi aplikasi media sosial.
Orang ramai masih keliru tentang konsep ikhtiar dan kesembuhan menurut perubatan Islam sebenar. Islam memang menggalakkan kita berikhtiar untuk mendapatkan kesembuhan oleh Allah swt. Namun bukan kesemua kesembuhan yang diperolehi itu (atas izin Allah) adalah sesuatu yang diredai-Nya. Tok Cha dan sami Hindu juga mengubati orang dan ramai yang sembuh setelah menggunakan cara dan jampi mentera yang menyalahi syariataqidah danIslam. Jangan asalkan sembuh sahaja maka itu dikira Allah swt reda. Justeru itu isu ini perlu diberi pencerahan kembali kerana dalam dunia medsos (media sosial) masih ramai yang menawarkan perkhidmatan tersebut dan ramai pula yang teruja dengannya meskipun sudah ada fatwa, garis panduan dan pendapat ulamak2 ruqyah mengenainya.
Istilah bedah batin merujuk kepada beberapa penakrifan. Definisi batin dari sudut bahasa dan istilah saya tidak memperincikan kerana melibatkan banyak perbincangan. Cukupkan seperti yang kita faham sebagai sesuatu yang bersifat dalam diri atau dalam hati dan tidak kelihatan pada zahir/lahiriah. Seperti juga ucapan hari raya yang disertai maaf zahir dan batin, ertinya selain yang lahir@zahir adalah batin. Istilah lain seperti Tok Batin juga terkeluar dari perbincangan ini. Begitu juga rawatan tenaga batin yang ada perawat yang mendakwa boleh diikhtiarkan secara batin. Rawatan batin secara umumnya bukan bedah batin yang dimaksudkan dalam tulisan ini. Begitu juga jika perawat Islam yang meruqyah pesakit batu karang dan selepas discan atau x-ray atau dibuat ujian radiologi, pesakit didapati sembuh. Itu bukan bedah batin namanya. Kerana itulah perawat sentiasa digalakkan memperkuatkan batinnya dan memperkukuhkan amalan kerohaniannya dengan amalan zikir dan doa-doa tertentu.
Bedah (kata terbitan: pembedahan) itu sendiri asalnya dikaitkan dengan amalan operasi (pembedahan dan surgery) yang dilakukan oleh doktor perubatan atau pakar bedah untuk menyelesaikan masalah berkaitan kesihatan dan penyakit seseorang. Bedah batin dalam perbincangan ini merujuk kepada pengamal yang menjalankan operasi (bedah) tanpa menggunakan peralatan modern dan menyembuhkan penyakit seseorang secara unik, pelik dan misteri yang sukar diterangkan dari sudut sains. Pengamal bedah batin biasanya mendakwa boleh menyembuhkan penyakit-penyakit kronik yang sebelumnya telah gagal dirawat di hospital seperti penyakit-penyakit batu karang, jantung, buah pinggang, hati, hempedu dan lain-lain masalah berkaitan organ-organ penting dalam tubuh badan manusia. Bedah batin ini dimulakan dengan ritual tertentu termasuk doa/ruqyah atau jampi/mentera/serapah tertentu dan pengamal melakukan aksi-aksi tertentu persis seorang doktor yang menjalankan operasi di bilik/dewan pembedahan. Ada kalanya terlihat kesan darah dan organ berkenaan diseluk dan dikeluarkan dari tubuh pesakit dan setelah dirawat akan dimasukkan kembali ke positi asal serta ditutup secara simbolik atau menerusai isyarat tangan atau jari sahaja. Selepas bedah batin dilakukan, tiada kelihatan parut atau kesan pembedahan kelihatan dan pesakit merasa lega serta sihat kembali sekelip mata.
Selain pengamal tradisional, terdapat juga yang mendakwa sebagai ustaz atau pengamal perubatan Islam. Dia akan membaca doa dan ruqyah tertentu dan mengakui mendapatkan bantuan jin Islam sewaktu bedah batin dilakukan. Terdapat juga yang hanya membaca ruqyah tertentu disertai bahan rawatan tertentu tanpa aksi sepertimana doktor di hospital dan pesakit ada yang pulih. Perawat mendakwa dia memiliki kasyyaf dan dianugerahi ma`unah serta menggunakan energi batin hasil amalan kerohanian dan kesufian. Dengan menggunakan kemampuan batin inilah perawat menarik punca-punca penyakit itu keluar dari badan pesakit. Terdapat juga yang mendakwa memperolehi ilmu bedah batin menerusi mimpi namun hal ini saya akan sentuh dalam tulisan lain. Orang ramai akan tertanya-tanya, jika bedah batin ini salah apa dalilnya dan jika benar, apa pula penjelasannya. Adakah Islam boleh bertoransi dalam hal ini atas dasar masyaqqah kerana sangat sulit untuk mendapatkan kesembuhan dan banyak usaha dan wang wang telah dihabiskan akibat caj hospital yang tinggi. Dr Jahid Haji Sidek dari Pusat Perubatan Manarah menyifatkan bedah batin sebagai satu sihir khayalan dan beliau telah memperincikan ciri-ciri bedah batin termasuk hukum berubat menerusi pembedahan batin serta kesannya. (Majalah aI-Islam, Edisi Tahun ke 37 Bil. 471, 1434 H/April 2013). Begitu juga risalah resmi yang dikeluarkan oleh PTK KKM melalui semakan JAKIM bertajuk : “Perkara Haram Dalam Amalan Perubatan Tradisional” mencatat bahawa bedah batin perlu dielakkan (Lihat Lampiran yang disertakan).
Rujuk juga al-Kafi #391 terbitan pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang mengupas mengenai bedah batin, sebagai kaedah perubatan yang diragui. Lihat juga satu Garis Panduan Amalan Pengubatan Dan Perbomohan Menurut Islam terbitan Pejabat Mufti Kerajaan negeri Melaka yang menyatakan bahawa amalan bedah batin ini adalah dilarang dan tidak dibenarkan beramal dengannya kerana melibatkan pertolongan jin, dan fitnah.
Dalam satu headline akhbar Harian Metro, dicatat bahawa perubatan Islam menolak sama sekali kaedah pembedahan batin kerana ia tiada dalil dalam hadith mahupun al-Quran serta tidak diiktiraf oleh imam muktabar. Akhbar tersebut memetik pandangan Presiden Gabungan Persatuan Pengamal Pengubatan Islam Malaysia atau GAPPIMA (kini GPMM) iaitu Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa sebagai berkata, pembedahan kaedah itu didapati menggunakan khidmad makhluk lain seperti jin dan ia jelas bertentangan dengan Islam. Katanya, “Mungkin ada pengamal pembedahan batin ini yang memberi hujah kononnya pembedahan cara itu digunakan oleh Malaikat Jibrail ketika „menyucikan‟ hati Nabi Muhammad SAW sedangkan ia adalah mukjizat dan tidak boleh dikiaskan dengan makhluk lain. Para imam terdahulu antaranya Imam Syafie, Imam Hanafi, Imam Ahmad dan beberapa imam muktabar lain turut menolak perbuatan ini dan ia tidak dinyatakan di dalam mana-mana kitab perubatan Islam,” katanya kepada Harian Metro.
Pada 4 sept 2011 M/18 Ramadan 1432 Hm satu pendirian LIQA‟ ASATIZAH berkenaan pembedahan batin telah merumuskan 8 perkara antaranya pembedahan batin adalah suatu hakikat yang kabur kerana tidak boleh dibuktikan dengan naql, aql dan sains. Pembedahan batin tidak mempunyai sandaran hukum daripada Kitab dan Sunnah Nabi SAW mahupun amalan salafussoleh. Hujah mengaitkan pembedahan batin dengan pembelahan dada Nabi SAW ketika Isra‟ adalah batil kerana perkara tersebut adalah irhas/mujizatyang tidak boleh dikiaskan kepada bukan nabi. Pembedahan batin diyakini menggunakan khidmat jin @ qarin yang dikhuatiri boleh membawa kepada syirik berdasarkan nas-nas al-Qur‟an dalam surah al-Jin ayat 6 dan surah al-Zukhruf ayat 36. Pembedahan batin termasuk perkara mencarik adat yang mampu dipelajari dan boleh dilakukan secara berterusan. Ini menunjukkan ia bukan karamah atau ma’unah sebaliknya lebih dekat kepada unsur-unsur sihir dan sya’wazah. Justeru itu masyarakat Islam dinasihatkan meninggalkan rawatan syubhah seperti pembedahan batin dan kembali kepada al-Tibb al-Nabawi seperti menggunakan ayat-ayat syifa‟, doa ma`thur dan lain-lain yang tidak bercanggah dengan hukum syara‟. Antara yang menghadiri LIQA tersebut ialah YB (Senator) Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (bekas mufti Wilayah dan kini menteri agama) dan bekas YB Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik.
Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 25 Muharram 1438 bersamaan 26 Oktober 2016 telah membahaskan dengan penuh teliti berhubung amalan bedah batin serta mengambil keputusan berdasarkan 4 perkara yang tidak bersetuju amalan tersebut kerana menyalahi hukum syara` dan boleh menimbulkan fitnah. Begitu juga hasil Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke 5/2013 yang bersidang pada 10 Oktober 2013/ 5 Zullhijjah 1434 H telah mengeluarkan kertas makluman mengenai penyelewengan pembedahan batin dan ianya menjadi edaran resmikerajaan negeri Selangor.
Hukum Menggunakan Khidmat Jin
Jika pengamal bedah batin menggunakan khidmat jin maka itu adalah haram dan orang ramai yang memanfaatkan perkhidmatan mereka juga akan dihukum di dalam neraka pada Hari Akhirat kelak. Allah swt menerangkan hukum ini dengan firman-Nya (al-An`am: 6: 128):
Dan (ingatlah) Hari (Kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah memiliki banyak pengikut- pengikut dari golongan manusia.”
Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat perkhidmatan) dengan sebahagian yang lain (jin-jin), dan kami telah sampai kepada masa kami (Hari Kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami.”
(Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya kecuali apa yang dikehendaki Allah.” Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui. [al-An‟aam 6:128]
Hukum Menggunakan Khidmat Jin Muslim
Bagaimana pula jika dia menggunakan khidmat jin Islam ? Jawapannya diterangkan sendiri oleh para jin muslim menerusi firman Allah swt: Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka (manusia tersebut) dosa dan kesalahan. [al-Jin 72:06]
Jin adalah makhluk ghaib dan kita tidak tahu dengan pasti adakah dia muslim atau tidak, beriman atau tidak, soleh atau tidak. Jin Islam yang benar-benar beriman dan soleh tidak akan terlibat dalam urusan tersebut apatah lagi pengamal itu manusia biasa. Hanya jin muslim yang tidak soleh, musyrik dan kafir sahaja yang sedia menawarkan khidmat itupun dengan syarat-syarat yang boleh mengundang kesyirirkan. Jelas di sini bahawa seorang pengamal yang muslim, beriman dan bertaqwa tidak akan terlibat akan menawarkah khidmat bedah batin, bahkan menasihati pula pesakit agar mendapatkan rawatan perubatan Islam yang sahih atau ke hospital selain sentiasa berdoa mengharapkan kesembuhan daripada Allah swt.
Kongres Perubatan Islam Nusantara yang berlangsung di Univerisiti Malaya pada tahun 2012 telah mendedahkan beberapa kes di dalam kertas kerja berkaitan pembedahan batin yang boleh dirumuskan bahawa pembedahan batin termasuk perkara yang mencarik adat, namun bukan karamah atau ma’unah bahkan terdapat unsur-unsur sihir, menggunakan khidmat jin atau qarin .
Pengamal perubatan Islam , Ustaz Dato‟ Sharhan Safie, berkata mengikut Islam tiada istilah pembedahan batin bahkan ia adalah amalan yang dilarang agama. “Dalam perubatan Islam, rawatan membuang penyakit menerusi pembedahan perlu menggunakan peralatan termasuk pisau bedah, bukannya hanya dengan membaca jampi serapah dan kononnya penyakit itu dikeluarkan serta dijelmakan dalam air atau telur. Katanya, “Dalam perubatan Islam tiada yang diistilahkan dengan bedah batin melainkan menggunakan bantuan jin,” katanya yang turut menegaskan bahawa amalan itu dimurkai Allah kerana menggunakan perantaraan jin. Beliau berkata, mengikut sejarah Islam pembedahan batin hanya berlaku dua kali terhadap Nabi Muhammad SAW iaitu ketika dadanya dibelah oleh malaikat Jibril pada zaman kanak-kanak serta dibasuh dengan air zam zam dan sebelum Baginda diangkat ke langit dalam peristiwa Israk Mikraj.
Katanya lagi, Pengamal perubatan menggunakan telur yang kononnya boleh menyedut penyakit dalam badan pesakit. Hakikatnya, sebelum merawat pesakit, telur itu sudah dimasukkan jarum, benang, darah dan lubang halus yang dibuat pada telur ditampal lilin dengan tujuan menipu pesakit. Mungkin ada yang mendakwa mustahil untuk perawat menipu dengan meletakkan benda-benda pelik jika telur itu dibawa dari rumah sedangkan semua itu boleh dilakukan dengan menggunakan pertolongan jin. Katanya, sama juga kes pengamal perubatan menipu pesakit dengan mengatakan penyakit telah keluar dan buktinya boleh dilihat dalam air di depan pesakit.
Pembedahan batin juga dikatakan dipelopori golongan “ustaz jadian‟ yang tidak ada pendidikan agama dan semata-mata berniat untuk mendapatkan kemewahan dunia dan membuat duit menerusi platform perubatan alternatif.
Ustaz Abdul Majid Hassan dari Akademi Rawatan Nur Ehsan (Akrine) melalui postingan dalam laman web resmi Akrine pada 18 Januari 2008 mengulas pertanyaan bolehkah meminta pertolongan jin dalam berubat. Beliau mengemukakan pendapat Abu Mundhir Khalil yang mengulas sebahagian ulama yang mengharuskan perkara-perkara yang memberi kebaikan dan larangan keras bagi tujuan-tujuan syirik, fasad dan mungkar.
Jin adalah makhluk alam ghaib, maka dapatkah kita sentiasa memastikan pada bila-bla masa dia berdusta atau tidak, menipu atau tidak, temberang atau tidak, amanah atau khianat, Islam atau kafir, dan sebagainya. Maka sekiranya kita terlibat dalam menggunakan khidmat jin maka kita terdedah dengan pelbagai kemudaratan terutama ketika berurusan dengan pesakit yang memerlukan khidmat kita. Para sahabat sendiri tidak meminta pertolongan jin apatah menjadikannya sebagai khadam atau sahabat. Jika ini berlaku, maka perawat Islam telah menyamai tukang-tukang sihir dan ini menyebabkan orang ramai ragu, terkeliru dan sukar membezakan antara peruqyah syar`ii dengan peruqyah syirki.
Kesimpulannya, pencerahan di atas tidaklah bertujuan mengulangi apa yang telah diulas berdasarkan nas al-Quran dan hadith. Alhamrhum Tuan Guru Haron Din (ATGHD) berkali-kali mempertingatkan agar umat Islam berhati-hati tentang bedah batin dan ini senada dengan pandangan tokoh-tokoh perubatan Islam yang saya sebutkan di atas (Saya tidak mampu menyenaraikan kesemuanya di sini dengan pendapat masing-masing). Namun dalam konteks hari ini masih ramai yang terus mendapatkan khidmat bedan batin. Ramai yang masih tidak memahami tentang bedah batin dan kesannya sebagai orang Islam. Banyak penyakit yang masih tiada vaksin dan ubat untuk rawatan. Pergi hospital kena buat temujanji dan kena beratur panjang, deposit tinggi dan caj rawatan ada kalanya di luar kemampuan dan tidak boleh tawar menawar. Untuk mengambil jalan pintas dan nama ikhtiar mereka menemui tukang-tukang bedah batin. Kepada yang pernah mengamalkan bedah batin atau masih mengamalkannya, terpulanglah kepada keputusan masing-masing. Begitu juga kepada yang pernah mendapatkan khidmat tersebut atau pernah membawa seseorang, atau pernah mengesyorkan seseorang atau pernah atau masih mempromosilkan rawatan bedah batin maka buatlah keputusan apa yang patut dilakukan selepas ini. Ingatlah bahawa sembuh tidak semestinya Allah swt reda. Kita mencari kesembuhan beserta keredaan-Nya.
Sekian.
Oleh Dr Abdullah Yusof (Exco GPMM)
31.5.2020, jam 5.10 pm
LAMPIRAN
- Cth , klik link berikut:https://www.youtube.com/watch?v=TuPA6Y8X3GQ
- Perkara Haram Dalam Amalan Perubatan Tradisional, PTK, Kementerian Kesihatan Malaysia.
- Seperti rajah di bawah:
