Bersenam namun tak beri kesan
MASUKLAH mana-mana gimnasium pun, selalunya anda mesti jumpa ada individu yang beriya-iya bersenam sehingga memalukan diri sendiri atau mereka yang melakukan pelbagai gerakan senaman tetapi tidak memberi kesan langsung kepada tubuh.
Tambah menjengkelkan, ada yang bukan saja melakukan senaman yang boleh mencederakan diri sendiri, malah membahayakan pengguna gimnasium lain.
“Memanglah ada antara kesilapan dilakukan kecil saja tetapi boleh menjadi penghalang besar untuk mendapat kesan terbaik,” kata perunding dan jurulatih kecergasan, Mohd Hoesni Rahmat.
Untuk mempergunakan sebaiknya masa anda dan memperoleh hasil terbaik sekali gus menjadikan aktiviti anda di gimnasium berbaloi, kata Mohd Hoesni, elakkan daripada melakukan kesilapan berikut:
1. Tidak memanaskan badan
Walaupun menjimatkan masa, jika tidak memanaskan badan, anda berpotensi mengalami kecederaan ketika melakukan senaman berat terutama untuk membina otot.
Pastikan anda sentiasa lakukan aktiviti memanaskan badan yang membabitkan penggunaan berat badan contohnya senaman jongkong, kuda-kuda, tekan tubi dan lompat bintang untuk melonjakkan kadar degupan jantung sebelum memulakan latihan angkat berat.
Tidak kira berapa singkat sekalipun masa yang anda ada, jangan tinggalkan aktiviti memanaskan badan walaupun secara singkat.
Elok juga untuk anda menambah aktiviti memanaskan badan dengan mengangkat bebanan ringan sebelum memulakan senaman berat. Ia akan membantu meningkatkan aliran darah ke otot selain membiasakan tubuh sebelum mengangkat beban lebih berat.
2. Melakukan terlalu banyak senaman dalam satu sesi dan kerap
Ramai orang ingin dapat otot sasa secepat mungkin tetapi dengan melakukan terlalu banyak jenis senaman dalam satu sesi, bukan saja tidak memberi kesan seperti yang kita mahu, malah membuka ruang lebih luas untuk mengalami kecederaan. Ia juga membahayakan diri sendiri dan pengunjung gimnasium lain.
Anda sukar untuk fokus kepada sasaran terutama senaman yang terkemudian kerana keletihan.
3. Terlalu kerap melakukan latihan
Otot memerlukan masa untuk dibina. Setiap kali melakukan senaman bina badan, otot kita akan terkoyak dan memerlukan masa rehat yang cukup untuk pulih. Apabila pulih, barulah otot hasil senaman tertentu yang kita fokuskan sebelum itu timbul.
Anda juga membuatkan badan tertekan dan stres jika melakukan latihan setiap hari tanpa ada hari senggang.
Apabila terlalu kerap mengunjungi gimnasium untuk melakukan senaman berat, bukannya membuat anda bertambah sasa dan sihat tetapi boleh jadi sebaliknya.
4. Melakukan senaman berat tanpa pengawasan atau bantuan
Amat ramai yang berperangai sebegini terutama mereka yang baru berjinak-jinak dengan sukan bina badan. Ini tindakan bodoh yang bukan saja boleh mendatangkan kecederaan serius, tetapi juga mungkin membawa maut.
Pastikan minta bantuan rakan atau mereka yang lebih berpengalaman untuk membantu ketika melakukan senaman berat sebegini.
5. Menyepahkan bebanan dan peralatan gimnasium dan tidak meletaknya semula di tempat asal
Perlu bertimbang rasa dan fikirkan juga pengunjung gimnasium lain. Peralatan gimnasium bukan milik peribadi. Ramai antara pengunjung gimnasium yang seolah-olah tamak dan mengumpulkan bebanan untuk mereka seorang saja gunakan.
Lebih teruk, ada yang tidak mengemasnya semula. Ini boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain jika tidak nampak beban yang disepahkan di atas lantai.
6. Melakukan senaman kardiologi sebelum aktiviti angkat berat
Senaman kardiologi memang penting kepada kita tetapi ia juga boleh mendatangkan kesan buruk jika dilakukan pada masa tidak sepatutnya. Contohnya berjoging 30 minit memang boleh meningkatkan kadar degupan jantung dan dijadikan sebagai senaman memanaskan badan, tetapi sebaik lakukan senaman angkat berat, anda keletihan dan membuatkan prestasi jadi kurang baik atau lebih teruk, anda tercedera.
Sebaiknya, lakukan dahulu senaman angkat berat sebelum memulakan senaman kardiologi.
7. Tidak merancang rutin latihan terlebih dahulu
Masuk ke gimnasium tanpa perancangan samalah seperti anda pergi ke pasar tanpa senarai barangan yang ingin dibeli. Senaman apa yang hendak anda buat seharusnya difikirkan dahulu sebelum pergi ke gimnasium dan jika perlu, tuliskan nota mengenainya.
Lebih elok tulis atas kertas kerana telefon pintar boleh melalaikan. Langkah ini dapat menjimatkan masa melakukan yang terbaik setiap kali ke gimnasium.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/sihat/2019/09/496753/bersenam-namun-tak-beri-kesan