ALLAH akan meninggikan darjat mereka yang maafkan orang lain

“TIADA maaf bagimu.”

Ayat itu begitu ringkas dan padat. Namun, sudah cukup untuk mencengkam sanubari bagi sesiapa yang menantikan balasan kata-kata pemberian maaf selepas membuat permohonan ampun tersebut.

Andai kata, ayat tersebut yang terdetik dalam hati, pastinya golongan berkenaan terlupa bahawa tiada manusia di dunia yang tidak berbuat kesalahan. Sudah tentu ada kekhilafan di mana-mana.

Benar, bukan mudah sebenarnya untuk memaafkan seseorang. Ia tidak semudah mengungkapkannya hanya pada bibir. Namun, perlu lahir dari lubuk hati yang paling dalam.

Ketahuilah bahawa apabila memaafkan orang lain, ia bukan sahaja membuatkan hati si pesalah tadi berasa tenang, tetapi ALLAH turut akan menurunkan ketenangan itu kepada kita. Bahkan, ALLAH juga begitu memuliakan mereka yang memaafkan orang lain. Justeru, apakah kelebihan apabila kita belajar memaafkan? Kenapa sifat itu begitu dipandang mulia di sisi Islam?

Tuntutan Islam

Membutirkan lanjut tentang topik itu, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustaz Fauzi Mustafa.

Ujar Ustaz Fauzi, memaafkan kesalahan orang lain adalah dituntut dalam agama Islam. Islam adalah agama perdamaian dan kemaafan.

Beliau turut mengajak kita mengingati kembali kisah Nabi Yusuf AS yang mana baginda telah dibuang ke dalam sebuah telaga buta ketika masih kecil. Perbuatan itu dilakukan oleh adik-beradiknya akibat rasa cemburu mereka terhadap baginda AS.

“Apabila Nabi Yusuf sudah menjadi orang yang berkuasa di Mesir, baginda AS tidak berdendam. Malah, baginda memaafkan adik-beradiknya.

“Benar, memaafkan kesalahan orang lain merupakan sifat orang mulia. Dalam al-Quran pun disebut banyak kali supaya kita memaafkan orang lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Firman ALLAH SWT: “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta jangan mempedulikan orang-orang yang jahil.” (Surah al-A’raf, ayat 199)

Dalam pada itu, jelas Ustaz Fauzi, agak mustahil untuk kita melupakan suatu perkara apatah lagi jika ia pahit untuk dikenang.

“Itu memang fitrah manusia. Ingatlah bahawa melupakan itu bukan kerja kita. Itu adalah kerja ALLAH SWT. ALLAH tidak menyuruh kita melupakan, tetapi memaafkan.

“Nabi Muhammad SAW sendiri pun masih ingat lagi apa yang Abu Jahal dan musuh-musuh Islam lain lakukan terhadap baginda. Bahkan, apabila kita melupakannya, kita boleh terjebak kembali ke ‘lubang’ yang sama,” jelas beliau.

Sifat ALLAH, para anbiya

Ustaz Fauzi meneruskan perkongsian ilmunya. Kali ini, beliau menyentuh tentang kehebatan dan kemuliaan orang yang memaafkan kesalahan orang lain.

Agamawan itu menjelaskan, ALLAH SWT akan mengampunkan kesalahan orang yang memaafkan orang lain.

“Semua sifat ALLAH, kita boleh tiru kecuali satu sahaja iaitu takabbur (membesarkan dirinya). Ingatlah bahawa kita tidak boleh membesarkan diri kita.

“Namun, apabila ia melibatkan sifat ALLAH yang lain seperti ar-Rahman (pengasih), ar-Rahim (penyayang), al-Adlu (adil) dan al-‘Afuwwu (pemaaf), kita boleh lakukan. Ia merupakan satu perbuatan mulia apabila kita meniru sifat-sifat ALLAH itu. Apabila kita memaafkan orang, ALLAH akan mengampunkan dosa kita. Malah, kita akan dekat dengan keampunan-NYA,” ujar beliau.

Tambahan pula, tidak akan hilang maruah, jadi hina atau jatuh harga diri seandainya kita memaafkan orang lain. Justeru, maafkanlah orang dan jangan berdendam, ujar beliau.

“Sifat memaafkan telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa pembukaan Kota Makkah. Baginda telah memaafkan penduduk Makkah yang pernah menghalau baginda sebelum ini.

“Peristiwa itu menggambarkan bahawa dalam Islam, sifat memaafkan orang lain telah ditunjukkan oleh para anbiya terdahulu. Apabila para nabi buat, itu adalah perintah ALLAH SWT,” jelasnya lagi.

Ujar beliau, betapa hebatnya ungkapan kemaafan itu kerana ALLAH akan meninggikan darjat orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Tambahnya lagi, perbuatan itu juga adalah sifat para rasul, nabi dan wali-wali ALLAH yang berjiwa hebat!

Sabda Rasulullah SAW: “Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan ALLAH tidak menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain), melainkan kemuliaan dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan ALLAH akan mengangkatkan darjatnya.” (Riwayat Muslim)

Kepada satu soalan, Ustaz Fauzi menjelaskan: “Orang yang mulia suka memaafkan orang lain. Dia bukan orang biasa-biasa. Sebab itulah andai kata, ada orang berbuat salah dengan kita dan dia tidak meminta maaf serta kita juga tidak memaafkannya, nanti di akhirat kelak, orang yang berbuat salah dengan kita akan mencari kita semula.

“Kemudian, dia kena ‘bayar’ segala kesalahannya kepada kita. Bayaran kesalahan itu adalah dengan pahala. Jika pahalanya habis, tetapi dosanya ada lagi, maka akan diambil dosa daripada orang yang dia pernah berbuat salah dulu, lantas dimasukkan ke dalam ‘akaun’ dia. Maka, itulah orang yang rugi,” jelas beliau.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/67146/LIFESTYLE/Sinar-Islam/ALLAH-akan-meninggikan-darjat-mereka-yang-maafkan-orang-lain