Dahsyatnya air terapi ruqyah
MUQADDIMAH
Dalam rawatan Islam, air merupakan medium utama yang digunakan untuk semua jenis rawatan, baik rawatan penyakit fizikal, penyakit ganggaun mahupun penyakit rohani dan spiritual. Air memiliki khasiat penyembuhan yang amat baik dan luarbiasa. Banyak hadith Nabi saw yang menerangkan tentang kelebihan air dan manfaatnnya dari sudut kesihatan dan penyembuhan penyakit. Berdasarkan kajian saintifik, air yang dibacakan dengan zikir, doa dan ayat-ayat ruqyah memiliki unsur penyembuhan yang menakjubkan kerana terdapat perubahan molekul air yang amat ketara dan berenergi positif berbanding air yang tidak dibacakan apa-apa. Muka bumi terdiri dari kira-kira 75 % air dan tubuh badan manusia juga mempunyai peratus kandungan air atau cecair yang hampir sama. Tanpa air semua hidupan tidak boleh berfungsi dan akan mati. Dalam Surah al-Anbiya’ (21: 30) Allah swt berfirman:
أَوَلَمۡ يَرَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَنَّ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ ڪَانَتَا رَتۡقً۬ا فَفَتَقۡنَـٰهُمَاۖ وَجَعَلۡنَا مِنَ ٱلۡمَآءِ كُلَّ شَىۡءٍ حَىٍّۖ أَفَلَا يُؤۡمِنُون
Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup, Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (30).
Air yang diruqyah digunakan samada secara diminum, dimandi, disapu, ditekap, direnjis, direndam, direbus, diruap, didemah, dicelur atau lain-lain bergantung pada jenis penyakit dan kaedah atau teknik yang digunakan. Dalam siri percerahan kali ini, saya ingin mengenengahkan beberapa jenis air yang sering digunakan dalam rawatan Islam. Air tersebut adakalanya digunakan bersama-sama bahan rawatan lain seperti campuran air rebusan herba, tumbuhan yang dikisar, jus dan sebagainya. Antara jenis air yang akan disentuh ialah air zam-zam, air biasa, air hujan, air laut, air tanah lumpur, ais (air batu) dan air dari pelbagai punca yang kesemuanya adalah dari sumber semulajadi.
Ada yang disebutkan secara langsung khasiat atau kegunaannya menerusi nas dan ada yang merupakan qiyas, ijtihad para ulamak dan selebihnya merupakan hasil tajribah dan pengalaman para perawat atau peruqyah sendiri. Selain hasil perguruan, pembacaan dan pengalaman peribadi, saya juga berterimasih di atas beberapa perkongsian dengan sahabat-sahabat peruqyah mengenai terapi air, baik yang kini sudah meninggal dunia mahupun yang masih hidup. Semoga Allah memberi ganjaran yang sebaik-baiknya kepada mereka.
1) TERAPI AIR ZAM-ZAM
Air zam-zam hanya boleh diperolehi di kota Mekah. Lokasinya terletak berjarak sekitar 38 hasta berhampiran Kaabah. Antara keunikan telaga zam-zam ialah: Air yang berasal dari telaga yang belum pernah kering sejak ribuan tahun ini, menurut para pakar terdapat 30 unsur di dalam air zam-zam, yang memiliki kualiti air yang sangat baik. Ia terlihat sangat bersih dan jernih, tanpa sebarang campuran warna. Air zam- zam sering disebut sebagai mukjizat bagi umat manusia dan alam sejagat. Antara kandungan mineral yang terdapat di dalam air zam-zam ialah kalsium, kalium, selenium, natrium, dan kromium. Selain itu terdapat zat-zat lain seperti klorida, magnesium, sulfat, nitrit, mangan, zat padat dan zat-zat organik.
Tiada air yang terbaik di atas muka bumi ini selain air zam-zam. Ibn Qayyim berkata: Setelah saya mencuba untuk berubat dengan air zamzam untuk pelbagai penyakit, akhirnya saya mendapati keajaiban yang luar biasa dan saya mendapatkan kesembuhan dengan izin Allah (Kitab Zādul Ma’ād 4/393).
Imam al-Tirmidhi juga pernah berkata: Orang yang meminum air zam-zam itu :
Jika dia minum untuk kenyang, maka Allah akan mengenyangkannya. Jika dia minum untuk minuman, maka Allah memberinya minuman.
Jika dia minum untuk sembuh dari penyakit, maka Allah akan menyembuhkannya dari penyakit. Jika dia minum kerana akhlaknya yang buruk, maka Allah akan mengelokkan akhlaknya. Jika dia minum untuk menghilangkan kegelapan hatinya, maka Allah akan menghilangkannya. Jika dia minum untuk mengkayakan hatinya, maka Allah akan mengkayakannya. Jika dia minum kerana sesuatu hajat, maka Allah akan memakbulkannya. Jika dia minum kerana sesuatu musibah yang menimpa, maka Allah melindunginya, dan jika dia minum kerana kesusahan yang menimpa, maka Allah akan menghilangkan kesusahannya.
Antara Khasiat Atau Manfaat Air Zam-zam Dari Sudut Kesihatan Ialah:
- MENGOPTIMUMKAN PROSES METABOLISME TUBUH.
Kita disarankan kerap meminum air zam-zam terutama sebelum tidur malam atau pagi selepas bangun tidur. Hal itu menurut pakar Mury Kuswari adalah kerana proses metabolisme tubuh semasa tidur tinggi. Mineral dalam air zam-zam sangat baik untuk memaksimumkan proses metabolisme, serta berfungsi untuk menggantikan dengan segera mineral yang digunakan ketika metabolisme.
- MENGHILANGKAN LAPAR DAN MENGENYANGKAN
Berdasarkan kajian sains, air zamzam juga bebas dari mikro-organisme, yang mana kewujudan mikro-organisme boleh mengurangi kesegaran air. Air zam-zam mengandung dua jenis mineral penting iaitu kalsium dan magnesium. Kandungan mineral tersebut membuat air zam-zam bermanfaat untuk menyegarkan tubuh, mengenyangkan dan memberikan. Terdapa banyak dalil berdasarkan sabda Nabi saw, antaranya: , إِنَّهَا طَعَامُ طُعْم إِنَّهَا مُبَارَكَةٌ
Maksudnya: Air zam-zam itu air yang diberkati. Makanan yang mengenyangkan. (HR. Muslim 6513 dan Ibn Hibban 7133).
Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi saw bersabda:
خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمْ ، وَفِيْهِ طَعَامُ مِنَ الطَّعْمِ ، وَشِفَاءُ مِنَ السَّقَم
Air terbaik yang ada di muka bumi adalah air zam-zam. Boleh menjadi makanan yang mengenyangkan dan ubat dari penyakit. (HR. Tabrani dalam Mu`jam al-Ausat, 8129).
Syaikh Abd al-Rasyid Ibrahim (1364 H) berkata: Aku bertahan beberapa minggu dengan air zam-zam untuk menghilangkan rasa laparku. Ini adalah pengalaman nyata yang tidak diragukan padanya.” (Lihat Fadlu Mā`a Zam-zam hlm. 105-106 oleh Sa’id Bakdasy).
- TERAPI BERGANTUNG PADA NIAT TERMASUK UNTUK MENYEMBUHKAN PENYAKIT
Riwayat lain yang masyhur mengenai mukjizat air zam-zam ialah:
عَنْ جَابِرٍ وَابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ-: مَاءُ زَمْزَمَ لمِاَ شُرِبَ لَهُ
Dari Jabir dan Ibnu ‘Abbas, Rasulullah saw bersabda: Air Zam- Zam, tergantung niat orang yang meminumnya. (Hadith sahih. Lihat Irwa-al Ghalil, al-Albani, 1/218).
Ibn Abbas r.a meriwayatkan bahawa:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قاَلَ قَالَ رَسُوْلُ الله ِصَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَاءُ زَمْزَمَ لمِاَ شُرِبَ لَهُ إِنْ شَرِبْتَهُ تَسْتَشْفِي شَفاَكَ الله ُوَإِنْ شَرِبْتَهُ لِشَبْعِكَ أَشْبَعَكَ الله ُوَإِنْ شَرِبْتَهُ لِقَطْعِ ظَمْئِكَ قَطَعَهُ اللهُ وَهِيَ هَزْمَةُ جِبْرَائِيلَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ وَسُقْيَا اللهِ إسْمَاعِيْلَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ
رواه الدارقطني والحاكم وقال صحيح الإسناد
Dari Ibnu ‘Abbas r.a, Rasulullah saw bersabda : Air Zam-Zam sesuai dengan niat ketika meminumnya. Bila engkau meminumnya untuk ubat, semoga Allah menyembuhkanmu. Bila engkau meminumnya untuk menghilangkan dahaga, semoga Allah menghilangkannya. Air Zam-Zam adalah galian Jibril, dan curahan minum dari Allah kepada Ismail. [Hadith hasan li ghairihi. (HR al-Tabrani, kitab Sahih Targhib wa Tarhib, al-Albani, 2/19.)
Ramai yang berpendapat tidak perlu lagi didoakan atau diruqyah ke atas air zam-zam, namun ini jawapannya. Ibnu Taimiyyah berkata:
Seseorang disunnahkan untuk meminum air Zam-Zam sampai benar-benar kenyang, dan berdoa ketika meminumnya dengan doa-doa yang dikehendakinya (bebas). Namun tidak disunnahkan mandi dengannya (air Zam-Zam). (Lihat kitab Hajjatun Nabi, al-Albani, 1/117).
Berikut adalah dalil boleh berwuduk dengan air zam-zam iaitu riwayat Usamah yang berkata:
رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله ُعَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَا بِسِجِلٍّ مِنْ مَاءِ زَمْزَمَ فَشَرِبَ مِنْهُ وَتَوَضَّأَ إِنَّ
Bahwasanya Rasulullah saw meminta untuk didatangkan segantang air Zam-Zam, lalu beliau meminumnya dan berwuduk dengannya. (HR Ahmad. Lihat kitab Mukhtasar Irwa al-Ghalil, al-Albani, 1/3).
Dari Hammam, dari Abi Jamrah ad-Duba`i, ia berkata:
كُنْتُ أُجَالِسُ ابْنَ عَبَّاسٍ بِمَكَّةَ فَأَخَذَتْنِيْ الحْمُىَ فَقَالَ أَبْرِدْهَا عَنْكَ بِمَاءِ زَمْزَمَ فإَِنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى الله ُعَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ( الْحُمَى مِنْ فيَحْ ِجَهَنَّمَ فَأَبْرِدُوهَا بِالْمَاءِ أَوْ قاَلَ بِمَاءِ زَمْزَمَ
Aku duduk bersama Ibn ‘Abbas di Mekkah, tatkala demam menyerangku. Ibn ‘Abbas mengatakan, dinginkanlah dengan air Zam-Zam, kerana Rasulullah mengatakan, sesungguhnya demam adalah dari panas Neraka Jahannam, maka dinginkanlah dengan air atau air Zam-Zam. (Lihat kitab Sahih al-Bukhari, juga kitab Musnad Ahmad).
- MEMAKSIMUMKAN PROSES PENGGANTIAN SEL KULIT MATI
Selain untuk kesihatan, air zam-zam juga memiliki manfaat dalam menjaga penampilan kulit tubuh. Dengan meminum air zam-zam, maka manfaatnya boleh membantu menggantikan sel-sel kulit mati dengan kemunculan sel-sel kulit baharu. Caranya dengan meminum air zam-zam atau membasuh wajah dan kulit menggunakan air zam-zam. Dalam rawatan ruqyah, pesakit digalakkan menyapu atau membasuh kulit badannya yang sakir dengan air zam-zam beserta doa atau ruqyah mengikut jenis penyakit yang dialami.
- MELANCARKAN PEREDARAN DARAH
Manfaat dari minum air zam-zam ini juga boleh melancarkan peredaran darah. Antara punca masalah peredaran darah di dalam tubuh adalah kerana terjadinya pengumpulan/penumpukan lemak dalam salur darah akibat tabiat pola pemakanan yang buruk, seperti sering mengambil makanan berlemak, makanan segera, makanan tinggi kolesterol, makanan berminyak atau berlemak dan sebagainya. Tanpa bertujuan menyekat kekebasan selera anda, dinasihatkan agar anda minum air zam-zam kerana ia sangat menyihatkan dan tubuh boleh terhindar dari penyakit berbahaya dengan izin Allah.
- TERAPI EMOSI DAN JIWA
Terapi air zam-zam juga boleh dilakukan ke atas orang yang mengalami masalah emosi yang kronik, jiwa yang tidak tenteram dan fikiran yang bercelaru. Meminum air zam-zam boleh mendatangkan rasa bahagia, tenang dan harmoni kerana ia berupaya menyihatkan hati dan jiwa jika diminum dengan kerap di samping membaca doa-doa penenang hati dan penghindar dari masalah rumit dalam kehidupan. Selain itu, sentiasalah memohon kepada Allah saw kerana air zam-zam adalah mukjizat yang tiada tolok bandingnya di segi kesihatan. Bukan sahaja meminumnya boleh mendatangkan rasa bahagia, bahkan dapat menjauhkan diri dari penyakit hati seperti sombong, iri, dengki, riak, panas baran dan lain-lain. Sambil meminum, berniatlah kepada Allah agar menghilangkan segala penyakit dan memasukkan cahaya kebahagiaan dan ketenangan ke dalam hati dan sanubari.
- MENYIHATKAN TULANG DAN GIGI
Setiap orang memerlukan bekalan kalsium yang mencukupi setiap hari bagi memastikan tulang dan gigi sentiasa sihat dan kuat. Selain minum susu yang kaya dengan kandungan kalsium, kita disarankan agar sentiasa meminum air zam-zam yang mengandungi kalsium semulajadi bagi kesihatan tulang dan gigi. Ini kerana amalan kerap minum air zam-zam boleh mencegah terjadinya masalah pereputan tulang dan gigi sebelum waktunya.
- MENGUBATI PELBAGAI PENYAKIT KRONIK
Air zam-zam turut dijadikan terapi untuk penyembuhan penyakit-penyakit yang tiada harapan untuk sembuh seperti kanser, lumpuh dan koma. Dikisahkan oleh al-Azraqi bahawa ada seorang yang ketika sedang makan, didapati ada jarumnya (pada makanannya) sehingga jarum tersebut tersendat atau tersangkut di tenggorokannya. Dia merasakan dirinya seakan-akan hampir mati, lalu dia minum air zam-zam (dengan memohon pertolongan kepada Allah), akhirnya rasa sakit yang dialaminya hilang, dan masalah pun selesai (Lihat kitab Akhbār Makkah 2/35).
Bahkan al-Qazwaini berkata: Air zamzam berkhasiat untuk semua penyakit apa pun, bahkan seandainya semua orang yang disembuhkan oleh para doktor dikumpulkan, nescaya tidak sampai melebihi separuh orang yang disembuhkan oleh Allah melalui zam-zam (Lihat kitab ’Ajāibul Makhlūqāt hlm. 93). Ini menandakan betapa hebat dan dahsyatnya penyembuhan dengan terapi air zam-zam.
- MEMBERIKAN TENAGA BAGI IBU HAMIL
Sepertimana yang suda difahami, keadaan tubuh ibu yang sedang hamil sering mengalami kelelahan, keletihan, mual dan emosi tergangga kerana perubahan horman dalam dirinya. Amalan meminum air zam-zam boleh membantu untuk mengatasi masalah seperti yang disebutkan itu bahkan mempermudahkan proses kelahiran. Adalah sesuatu yang tidak asing lagi bahawa air zam-zam diruqyah sebagai air selusuh untuk menggantikan minyak kelapa yang digunakan secara tradisional. Bakal ibu dinasihatkan sentiasa meminum air zam-zam di samping menyapu di luar kandungannya sehingga menjelang waktu kelahiran. Ia boleh memberi tenaga tambahan dan memperkuatkan sistem urat saraf dan sendi-sendi bagi membantu mempermudahkan proses kelahiran. Selain itu, meminum air zam-zam juga akan menyegarkan tubuh dan boleh memberi semangat dalam diri ibu hamil. Seterusnya air zam-zam turut digunakan semasa tahnik bayi (belah mulut) dalam majlis aqiqah nanti.
- MEMBEKALKAN NUTRISI KEPADA JANIN DI DALAM KANDUNGAN
Janin di dalam kandungan ibu hamil sangat memerlukan nutrisi yang mencukupi. Justeru itu, ibu yang sedang hamil sangat digalakkan untuk mengambil makanan bergizi yang cukup, bukan sahaja untuk dirinya, malah untuk kebaikan janin atau bayi dalam kandungannya. kandungan. Kandungan di dalam air zam-zam memiliki nutrisi lebih tinggi berbanding air biasa. Ini penting untuk menutrisikan janin di dalam kandungannya agar pertumbuhan janin berlaku secara baik dan optimum.
- MENGUATKAN RAHIM SAAT HAMIL
Dalam sistem reproduksi, rahim merupakan tempat tumbuh dan membesarnya janin. Maka harus diikhtiarkan agar rahim sentiasa berada dalam kondisi yang sihat, baik dan kuat. Sepanjang tempoh proses kehamilan sehingga 9 bulan adalah sangat penting agar ianya berjalan dengan baik tanpa sebarang komplikasi yang boleh membahayakan bakal ibu dan bayi yang dikandungnya.
Selain aktiviti untuk menguatkan rahim seperti senaman tertentu, amalan meminum air zam-zam boleh menguatkan rahim bahkan mengelakkan penyakit tertentu seperti cyst dan fibroid yang biasa dialami oleh ibu-ibu hamil bahkan sebelum kehamilan lagi. Ibu yang hamil juga tidak digalakkan melakukan pekerjaan yang memerlukan tenaga yang kuat seperti mengangkat beban yang berat. Ibu hamil hanya dibenarkan mengangkat beban tidak melebihi berat janinnya kerana jika kerap melakukan aktiviti berat atau lasak, dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya keguguran. Jelaslah, amalan meminum air zam-zam amat bermanfaat untuk menyihatkan dan menguatkan rahim dan ibu yang hamil, bahkan janinnya juga akan tumbuh dan membesar secara sihat.
- MEMILIKI ZAT BERSIFAT ANTI-BAKTERIA ATAU ANTI-KUMAN
Penelitian dan penyelidikan yang dilakukan di banyak negara termasuk oleh saintis di Arab Saudi, menemukan bahawa di dalam air zam-zam terkandung zat flourida yang manfaatnya adalah sebagai zat anti-kuman. Ia amat berfungsi untuk menghilangkan atau membunuh kuman atau bakteria. Selain itu, zat di dalam air zam-zam tersebut juga bersifat alami dan semulajadi. Tanpa dicampur dengan sebarang bahan kimia lain, maka manfaat yang maksimum dari penggunaannya adalah boleh dicapai. Telaga zam-zam sendiri yang menjadi punca mata air zam-zam, lokasinya sama sekali tidak ditumbuhi oleh lumut dan mikro-organisme. Itulah sebabnya air zam-zam memberi kesegaran semulajadi dan diakui sebagai air yang terbaik di dunia. Hal ni bukan sahaja diinyatakan menerusi dalil-dalil, bahkan disahkan pula berdasarkan hasil penemuan saintis.
- MENCEGAH OSTEOPOROSIS
Minum air zam-zam secara kerap boleh membantu untuk mencegah risiko penyakit osteoporosis. Penelitian tentang manfaat air zam-zam ini dilakukan oleh pengkali dari Fakultas Kedoktoran, Universiti Lampung. Penyakit osteoporosis terjadi akibat tubuh kekurangan kalsium dan menyebabkan masalah kesihatan terutama seseorang yang berusia dewasa dan lanjut. Pengkaji menyebut bahawa air zam-zam boleh dijadikan sebagai alternatif untuk pencegahan osteoporosis kerana kandungan kalsium di dalam air zam-zam antara 300 mg/L sampai 340 mg/L, sedangkan air mineral biasa (umumnya) hanya memiliki kandungan kalsium sebanyak 28 mg/L sampai 32 mg/L. Kalsiumnya yang tinggi akan memberi banyak manfaat untuk menjaga kekuatan tulang.
- PENJELASAN MANFAAT AIR ZAM-ZAM
Saya akan mengemukan antaranya empat orang saintis yang memberi penjelasan tentang manfaat air zam-zam. Mereka adalah Dr Yahya Koshak dari Arab Saudi, Dr. Knut Pfeiffer dari Jerman, Mury Kuswari dari Indonesia dan Dr Massaru Emoto dari Jepun.
Menurut Dr. Yahya Koshak, air zam-zam sangat bersih dari kuman dan bakteria. Peneliti melakukan pengujian pada air zam-zam menggunakan sinar ultraviolet, hasilnya diketahui bahawa pada air zam-zam tidak ditemukan adanya sebarang kuman dan bakteria. Dari aspek kimia, berdasarkan Saudi Geological Survey, air zam-zam mempunyai kandungan alkali sebesar pH 7.9-8.0, sehingga air zam-zam termasuk dalam air alkali yang tidak memiliki warna (terlihat sangat jernih) dan tidak memiliki bau, bahkan mempunyai rasa yang berbeza dengan air lainnya. Air alkali memiliki kandungan mineral penting seperti kalsium, magnesium, silika, potassium dan bikarbonat (kandungan bikarbonat di dalam air zam-zam adalah tinggi iaitu 366mg/l berbanding air dari pegunungan Alpen yang memiliki kadar kandungan bikarbonat ialah 357mg/l). Selain itu, di dalam air zam-zam ditemui kandungan klorida, fluoride, nitrate dan sulfate. Antara manfaatnya ialah berupaya menurunkan kadar gula darah untuk mengatasi diabetes, mencegah alzeimer, dan mencegah penyakit-penyakit hati.
Dr. Knut Pfeiffer, yang merupakan ketua pusat perubatan terbesar di Munich, Jerman, mengungkapkan bahawa air zamzam secara luar biasa boleh meningkatkan tenaga tubuh. Begitu juga Mury Kuswari, Pengurus Pakar Gizi Pangan Indonesia, menyebutkan tentang manfaat dan kehebatan dari minum air zam-zam, iaitu: Menjadikan tubuh lebih segar kerana air zam-zam tinggi kandungan mineral, mengubati gangguan pada usus, menyeimbangkan cairan tubuh kerana air zam-zam mengandung kalium dan natrium, menyihatkan dan menguatkan tulang kerana air zam-zam tinggi kalsium Prof. Dr. Massaru Emoto dari Hado Institute, Tokyo memberi penjelasaan tentang air zam-zam di dalam bukunya: Al-Qur’an VS Modern Science. Sains Modern. Penelitian yang dilakukan beliau sejak tahun 2003 menemukan adanya keajaiban pada air zam-zam. Penelitian dilakukan dengan menambil lebih dari dua ribu sampel foto kristal air dari seluruh penjuru dunia. Beliau mengatakan bahawa air boleh merakam mesej (ucapan). Ucapan yang disampaikan akan dirakam oleh molekul air, yang kemudian ketika air diminum maka akan merambat atau melarut ke dalam tubuh dan boleh memberikan pengaruh molekul air di dalam tubuh secara keseluruhan. Menurutnya, hal ini memberi petunjuk, mengapa air yang dibacakan doa atau ucapan yang baik-baik boleh memberikan manfaat, seperti menyembuhkan dan sebagainya. Dr Masaru Emoto juga di dalam bukunya yang berjodl The True Power of Water mengatakan bahawa dari sejumlah molekul yang diteliti, diketahui bahawa cuma molekul pada air zam-zam sahaja yang bentuknya teratur, cantik dan tersusun rapi dengan enam dimensi. Beliau menemukan bahawa air zamzam mempunyai struktur molekul yang unik dan berbentuk heksagonal (segi enam). Sekiranya ucapan yang negatif dibacakan pada air, maka kristal molekul air akan berpecah, berselerak tidak lagi cantik. Dr. Massaru Emoto telah menjalankan ujian menggunakan kaedah Magnetic Resonance Technology untuk melihat bentuk molekul air zam-zam. Sampel zam-zam telah dibekukan selama sehari dan disimpan pada paras 10 darjah celcius. Kemudian air zam-zam yang telah menjadi ketulan ais dilihat menerusi mikroskop khas.
Jadi, tidak hairanlah jika Nabi saw juga sewaktu Jibril a.s turun membelah dadanya, ianya dicuci dengan menggunakan air zam-zam sebagaimana hadith saw berikut:
Daripada Abu Dhar r.a beliau berkata bahawa Nabi saw bersabda :
فَنَزَلَ جِبْرِيْلُ عَلَيْهِ السَّلَام فَفَرَّجَ صَدْرِيْ، ثُمَّ غَسَلَهُ بِمَاءٍ زَمْزَمَ
Maksudnya: “Maka Jibril a.s turun lalu membelah dadaku, kemudian dia (Jibril) mencucinya dengan air zam-zam”. (Riwayat al-Bukhari 1636).
Zam-zam mempunyai lebih dari lima puluh nama. Antaranya ialah Zam-zam, Barakah, Mubarakah, Barrah, Busyra, Tuktam, Maktumah, Haramiyah, Hafirah Abdul Mutallib, Rakdhah Jibrail, al-Rawa’, Sabiq, Salimah, Siqayah al-Haj, Sayyidah, Shabba’ah, Syarab al-Abrar, Syifa’ Suqmin, Sofiyah, Thahirah, Tha’am Thu’min dan lain-lain lagi.
Kesimpulannya, dalam bahagian pertama ini, saya cuba mengenengahkan air zam-zam sebagai air yang paling baik, paling unggul dan paling menyembuhkan berbanding air-air lain berdasarkan dalil dari al-Qur’an dan hadith Nabi saw di samping pandangan ulamak mujtahid mengenainya. Dalam terapi ruqyah, air zam-zam digunakan secara meluas untuk kesihatan dan penyembuhan penyakit selain mengatasi masalah-masalah fizikal, kerohanian dan gangguan termasuk sihir dan sebagainya. Namun demikian, kini air zam-zam sukar diperolehi di negara ini berbanding sebelumnya. Memandangkan ada pihak yang cuba memanipulasikan pengedarannya di Arab Saudi dan di Malaysia sendiri di mana Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah Selangor mematahkan cubaan seludup air zam-zam bernilai RM2.53 juta seperti yang dilaporkan Harian Metro pada 24 Disember 2019. Sebelum itupun keputusan telah diambil oleh pihak berkuasa kerajaan Malaysia (dengan pengesahan pihak JAKIM) seperti berikut:
Kenyataan rasmi Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh 13 Mei 2015 mengatakan adalah satu kesalahan menjual air zam-zam di Malaysia dan diulang semula kenyataan rasmi ini pada 9 Disember 2017.
Namun demikian, umat Islam masih boleh memilikinya secara sah samada pergi sendiri ke Mekah untuk membawanya pulang atau menerusi cara-cara yang dibenarkan oleh undang-undang. Adalah lebih bermakna sekiranya pihak JAKIM, Menteri Hal Ehwal Agama dan para mufti di Malaysia dapat mencari formula terbaik sebagai alternatif agar umat Islam di negara ini masih berpeluang mendapatkan air zam-zam dan menggunakannya dalam kehidupan mereka sehari-hari khususnya untuk tujuan kesihatan dan penyembuhan. Nampaknya kerana nila setitik, rusak susu sebelanga, semua orang sukar mendapatkannya sekarang.
InsyaAllah, dalam bahagian 2 nanti, saya akan teruskan pencerahan tentang terapi ruqyah menggunakan air biasa, air hujan, air laut, air tanah lumpur, ais (air batu) dan air dari pelbagai punca yang kesemuanya adalah dari sumber alam semulajadi ciptaan Allah swt.
SEKIAN.
Nukilan,
Dr Abdullah Yusof (abdy@GPMM)
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)
24.6.2020 jam 3.00 pm.

