Amalan Pengubatan Islam

Kaedah Pengubatan Islam merupakan satu cabang usaha seorang pesakit dalam mencari kesembuhan penyakit serta permasalahan emosi atau rohani yang sedang dihidapi. Walaubagaimanapun, ia bukanlah bertujuan untuk mengambil alih peranan rawatan alopati, tetapi merupakan pelengkap bagi rawatan yang diterima. Ia juga sebagai rawatan alternatif untuk meneruskan ikhtiar, sambil berusaha bagi pesakit yang masih juga belum sembuh setelah berusaha melalui mana-mana kaedah rawatan perubatan.

1.2. Pengubatan Islam adalah satu usaha dalam merawat penyakit yang berasaskan wahyu Ilahi yang diambil dari petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah, yang juga dikenali sebagai Pengubatan Nabi Muhammad SAW. Ia merupakan satu ibadah bagi seorang Muslim yang mencari keredhaan Allah SWT. Allah SWT menyuruh setiap hambaNya berusaha mencari penawar bagi setiap penyakit yang dihidapi.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan kami turunkan daripada Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”
(Surah Al-Isra’: 82)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Berubatlah wahai hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit melainkan (bersamanya) diturunkan ubat. Diketahui oleh orang yang berusaha mencarinya dan tidak diketahui oleh orang yang jahil (tidak berbuat apa-apa).” (Hadis riwayat Abu Daud dan Al-Tarmizi)

2. Definisi Istilah-istilah

2.1. Pengubatan Islam
Satu ikhtiar penyembuhan penyakit jasmani dan rohani, oleh seorang Islam yang mahir dalam kaedah rawatan dengan mengunakan ayat-ayat Al-Quran atau hadis, atau amalan salaf al-soleh, dan ulamak muktabar, atau kesemuanya sekali serta mengunakan kaedah-kaedah atau bahan-bahan yang dibenarkan syarak.

2.2. Ruqyah
Doa yang berasaskan ayat-ayat Al-Quran dan hadis, yang bertepatan dengan syarak bagi tujuan pengubatan dan kesejahteraan atau kebaikan.

2.3. Penyakit jasmani atau fizikal
Penyakit jasmani atau fizikal ialah jenis penyakit yang telah di kenalpasti oleh pengamal Perubatan Alopati.

2.4. Penyakit rohani
Penyakit yang tidak dapat dipastikan penyebabnya walaupun telah berjumpa dengan pengamal Perubatan Alopati seperti kemurungan yang melampau, waswas, baran yang melampau, resah, anxiety dan lain-lain.

2.5. Penyakit qolbu
Penyakit-penyakit atau sifat-sifat mazmumah yang ada dalam hati manusia seperti takabbur, hasad, dengki, riak dan sebagainya.

2.6. Gangguan makhluk halus
Satu bentuk gangguan terhadap pesakit dari segi perasaan, kesihatan, dan tingkah lakunya dengan gejala dan tanda yang mana puncanya tidak dapat dikesan oleh Perubatan Alopati.

2.7. Makhluk halus
Sebahagian daripada makhluk Allah SWT seperti jin dan syaitan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

2.8. Sihir / Santau
Satu ilmu yang menghasilkan kesan luar biasa yang tidak dapat diterangkan puncanya secara logik, yang terhasil melalui penglibatan jin, syaitan dan iblis dengan mengunakan peralatan dan kaedah yang tertentu.

2.9. Jampi
Kata-kata, seruan, mentera dan serapah yang diucapkan dan bercanggah dengan syarak untuk tujuan penyembuhan penyakit atau lain-lain (contohnya untuk memuja jin dan roh-roh jahat).

2.10. Azimat/tangkal/wafak
Bahan-bahan seperti tulisan, rajah, huruf-huruf, simbol, nombor-nombor atau bahan dari alam semula jadi seperti bahagian-bahagian daripada tumbuhan, kain, anggota haiwan, batu, logam dan lain-lain yang dipakai atau disimpan dengan berkeyakinan dapat memberi kesan kepada penggunanya.

2.11. Bedah batin
Prosedur atau amalan pembedahan yang berlawanan dengan prosedur pembedahan dalam Perubatan Alopati.

2.12. Ilmu hitam
Ilmu hitam adalah salah satu daripada ilmu sihir.

2.13. Menurun
Satu upacara pemujaan yang melibatkan penyerapan makhluk halus ke dalam tubuh bagi sebarang tujuan.

2.14. Jin
Makhluk Allah yang diciptakan daripada api yang juga dikenali sebagai khadam, qarin, syaitan, iblis, hantu, rijalul ghaib dan lain-lain.

2.15. Pengeras
Sesuatu bahan atau bayaran yang ditetapkan sebagai syarat untuk rawatan.

2.16. Sumpah/ikrar/taat setia/bai’ah
Kata-kata, lafaz, pengakuan, jaminan yang bertujuan untuk kebaikan atau
keburukan.

2.17. Penunggu
Makhluk halus yang menjaga sesuatu.

2.18. Saka
Makhluk halus yang diwarisi dari keturunan secara rela atau tidak.

2.19. Al-Ain
Sejenis gangguan syaitan yang berpunca daripada pandangan mata yang dengki dan sebagainya.

2.20. Histeria
Satu bentuk gangguan makhluk halus yang mengakibatkan gangguan emosi dan kelakuan yang tidak dapat dikawal.

2.21. Sampuk
Gangguan kesihatan akibat rasukan makhluk halus.

2.22. Pengijazahan
Satu pengiktirafan kepada perawat untuk mengamalkan ilmu yang diterima daripada guru.

2.23. Peralatan perubatan alopati
Peralatan yang telah didaftarkan sebagai alat perubatan, digunakan semasa prosedur diagnostic, klinikal atau pembedahan dan dilakukan oleh pengamal.

Perubatan Alopati

2.24. Steril (sucihama):
Keadaan peralatan yang telah dibersihkan mengikut piawaian.

2.25. Disinfeksi (nyahkuman):
Prosedur pembersihan peralatan menggunakan bahan nyahkuman antiseptik).

2.26. Scan / imbasan penyakit / bahth atau fahs:
Satu kaedah mengenalpasti punca penyakit dengan kaedah-kaedah yang tidak menyalahi syarak. Contoh kaedah yang menyalahi syarak adalah seperti menilik, meramal dan yang seumpama dengannya.

2.27. Diagnosa (diagnosis):
Proses menentukan jenis penyakit.

2.28. Tawassul:
Bermohon pertolongan dari Allah SWT dengan syafaat Nabi Muhammad SAW dan keberkatan orang-orang yang soleh.

2.29. Salaf al soleh:
Golongan ulama di kalangan para sahabat, tabii, dan tabii tabiin yang meliputi kata-kata, perbuatan dan hukum hakam yang lahir pada zaman-zaman tersebut.

2.30. Ulamak muktabar:
Ulama yang pendapatnya diterima oleh arus perdana Islam, pandangan yang tidak terpencil dan bersumberkan Al-Quran, sunnah, ijmak, qiyas, dan sumber-sumber Islam yang lain pada sesuatu zaman.

2.31. Mukjizat:
Suatu perkara luar biasa (yang mencarik atau berlawanan adat) yang dikurniakan oleh Allah SWT hanya kepada para Nabi dan RasulNya, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu yang tertentu, ia yang mesti ditunjukkan kepada umatnya sebagai bukti kenabian dan kerasulan mereka.

2.32. Karamah:
Suatu perkara luar biasa yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang soleh yang dikasihi Allah, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu tertentu secara mendadak semasa hidupnya, tetapi tidak boleh diprogramkan dan dipertontonkan kepada orang lain dan ianya khusus sebagai tanda kemuliaan yang diberikan kepada golongan yang taat kepadaNya.

2.33. Maunah:
Suatu perkara luar biasa yang berupa pertolongan yang dikurniakan oleh Allah kepada orang-orang tertentu, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu itu dengan tujuan untuk menambahkan lagi keyakinannya kepada Allah dan tidak wajar diperhebahkan.

2.34. Istidraj:
Seuatu perkara luar biasa yang dikurniakan Allah dalam keadaan murka kepada orang fasik atau orang yang selalu membuat maksiat, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi dan boleh berterusan, dengan tujuan untuk menambahkan lagi kesesatannya.

2.35. Silap mata:
Perkara luar biasa yang boleh dipelajari tetapi tidak dituntut oleh syarak, berlaku sama ada secara helah, tipu daya atau sihir dengan tujuan/niat memperdayakan orang lain.

2.36. Kasyaf/Ilham/Laduni:
Penyingkapan rahsia-rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati. Ia termasuk karamah yang mencarik adat yang dikurniakan kepada wali Allah SWT dan mestilah tidak bercanggah dengan kaedah agama dan hukum syarak yang telah disepakati.

2.37. Kahanah:
Orang yang boleh meramal perkara yang akan berlaku atau mengkhabarkan perkara-perkara ghaib dan apa yang tersirat dalam hati dengan pertolongan makhluk halus.

2.38. Arraf:
Mendakwa mengetahui perkara-perkara tertentu dengan beberapa pendahuluan atau petanda seperti mengetahui kecurian, tempat kehilangan dan tempat sesuatu benda.

2.39. Tanasukh al-Arwah:
Proses berkomunikasi dengan roh-roh si mati yang didakwa para wali bagi tujuan pengubatan.

3. Konsep Pengamalan Dalam Pengubatan Islam:

3.1 Konsep Asas:
Penyembuhan penyakit adalah daripada Allah SWT.

3.2 Ciri-ciri Pengamal Pengubatan Islam:
Seorang pengamal Pengubatan Islam perlulah mempunyai ciri-ciri berikut:

3.2.1 Beragama Islam, aqil dan baligh, serta memahami dan mengetahui ilmu asas Islam merangkumi aspek aqidah, syariat dan akhlak, dan sentiasa bertaqwa.

3.2.2 Pengamal pengubatan perlulah jelas bacaannya serta memahami dan mengetahui apa yang diucapkannya.

3.2.3 Tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik.

3.2.4 Tidak melakukan maksiat, jenayah dan apa sahaja yang bertentangan dengan undang-undang negara.

3.2.5 Ikhlas, iaitu mengerjakan sesuatu semata-mata kerana Allah SWT, bukan kerana untuk menunjuk-nunjuk, mendapat ganjaran kebendaan dan sebagainya.

3.2.6 Ketahanan jiwa dan rohani, iaitu mempunyai kepercayaan penuh dan melakukan amalan-amalan tertentu mengikut kehendak dan tuntutan rukun Iman.

3.2.7 Benteng pertahanan diri, iaitu amalan-amalan yang berupa bacaan bacaan dan doa untuk memperkuatkan ketahanan diri, mental dan fizikal.

3.2.8 Setiap pengalaman dan pengubatan yang dilakukan perlulah merujuk kepada kitab Al-Quran, Hadis, Ijmak Ulama dan Qias, iaitu pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

3.2.9 Pembayaran di atas perkhidmatan boleh diambil mengikut kos pengubatan, tetapi tidak membebankan pesakit.

3.2.10 Tidak mengambil kesempatan ke atas pesakit.

4. Kaedah Rawatan

4.1. Skop Pengubatan Islam

4.1.1. Penggunaan bacaan doa untuk jenis penyakit:
Ayat-ayat rawatan hendaklah berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah, serta doa-doa dalam bahasa yang difahami maknanya.

4.1.2. Kaedah rawatan:

4.1.2.1. Kaedah yang dibenarkan;
i. Minum
ii. Sapu
iii. Mandi
iv. Renjis
v. Tepuk
vi. Kaedah lain yang tidak memudharatkan dan tidak menzalimi pesakit, serta dilakukan secara berhikmah.

Kaedah yang tidak dibenarkan;

i. Bedah batin
ii. Perbuatan yang memudharatkan atau menzalimi pesakit
iii. Mana-mana kaedah yang bercanggah dengan hukum syarak

4.1.3. Peralatan/bahan:

4.1.3.1. Peralatan yang dibenarkan;
i. Air
ii. Herba seperti limau, daun-daun, habbatussauda’, zaitun.
iii. Madu
iv. Bekam
v. Garam
vi. Bahan yang suci dan halal menurut syarak

4.1.3.2. Peralatan yang tidak boleh digunakan;
i. Peralatan tajam seperti keris
ii. Peralatan yang memudaratkan seperti besi panas

4.2. Rawatan Umum

4.2.1. Rawatan umum merupakan kaedah-kaedah atau amalan-amalan yang boleh dilakukan oleh pengamal Pengubatan Islam atau pesakit itu sendiri.

4.2.2. Ia boleh terdiri daripada bacaan ayat-ayat Al-Quran, selawat, zikir, doadoa dan istighfar. Amalan-amalan ini bertujuan untuk membina semangat serta keyakinan di dalam diri pengamal dan juga pesakit dalam mencari penawar atau kesembuhan.

4.2.3. Kaedah rawatan umum;

4.2.3.1. Kekuatan psikologi/fikiran/mental

Pengamal perlulah memberi kekuatan mental serta semangat kepada pesakit dengan menunjukkan rasa simpati, kesungguhan dan keikhlasan ketika memberi rawatan serta layanan yang sama rata antara pesakit-pesakit yang dirawat.

4.2.3.2. Sambungan usaha perawatan oleh pesakit

Selain daripada doa-doa yang dibaca oleh pengamal, pesakit juga perlu mengamalkan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa tertentu, serta beribadat dalam usahanya untuk mengubati diri sendiri.

4.3. Rawatan Khusus

4.3.1. Rawatan khusus termasuk rawatan histeria, rawatan santau, mengeluarkan atau mematikan susuk dan rawatan resdung yang memerlukan ruang khas semasa sesi rawatan terutama yang melibatkan
batasan aurat pesakit.

4.3.2. Rawatan Bekam

4.2.2.1. Rawatan perlulah dijalankan di dalam bilik khas.

4.2.2.2. Prosedur perlu dilakukan dalam keadaan steril.

4.2.2.3. Pengamal perlulah menggunakan peralatan yang telah disucihama mengikut piawaian yang ditetapkan.

4.2.2.4. Setiap pengamal perlu memastikan sisa klinikal dibuang mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

Sumber: http://tcm.moh.gov.my/