Rawatan herba setanding ubatan moden

Sangat tepat apa yang diramalkan oleh cendikiawan terkenal Thomas Edison iaitu doktor zaman akan datang akan merawat pesakit melalui pemakanan dan punca serta pencegahan penyakit, bukan sahaja ubat semata-mata. Ramai saintis, doktor, dan pakar-pakar perubatan sudah mula beralih kepada rawatan menggunakan herba dan tumbuhan semulajadi.

Kecanggihan teknologi zaman sekarang menjadikan formulasi rawatan herba setaraf dengan ubat moden, malah, ada juga yang lebih hebat. Sebagai contoh, menurut MIMS atau nama panjangnya Monthly Index of Medical Specialties, secara am, rawatan untuk buasir terdiri daripada penahan sakit (perubatan moden), anti keradangan (corticosteroid – perubatan moden) dan juga bioflavonoids (daripada herba) yang bertindak mengawal pendarahan buasir dan membantu mengurangkan sakit dan bengkak.

Bioflavonoids yang digunakan dalam rawatan buasir terdiri daripada diosmin dan hesperidin yang diperoleh daripada buah-buahan citrus (limau dan oren). Hesperidin banyak terdapat pada kulit dan bahagian serat buah limau dan oren. Walaupun kulit buah citrus kaya dengan bioflavonoid yang bermanfaat untuk kesihatan, kita perlu berhati-hati jika ingin mengkonsumsi kulit buah citrus kerana risiko keracunan bahan yang disembur pada kulit buah untuk menjaga buah supaya tidak rosak atau diserang serangga seperti racun haiwan perosak. Hesperidin yang ditemui pada tahun 1828, masih belum dapat digantikan dengan ubat sintetik.

Namun, dengan menggunakan teknologi terkini, para saintis berjaya mengisolasi bioflavonoid (diosmin dan hesperidin) yang bermanfaat daripada buah citrus dan menjadikannya berkualiti yang tinggi setaraf dengan ubat berserta maklumat lengkap dari segi mekanisma aktiviti (cara berfungsi), dos ikut umur dan kegunaan, toksisiti, kesan sampingan, kontraindikasi, interaksi dengan ubat lain, serta kumpulan yang perlu berjaga-jaga jika dipreskripsi (precaution) seperti ibu mengandung dan ibu menyusu. Hesperidin juga banyak terdapat pada daun pudina.

Pengamalan pemakanan yang sihat dan seimbang berserta herba dapat membantu mengekalkan kesihatan yang optimum. Nantikan perkongsian lanjut tentang maklumat terkini berkait hesperidin dan COVID 19.

#persatuanherbamalaysia