Hakikat toyol dan angkaranya
Ramai orang pernah mendengar nama toyol yang digambarkan seperti berperawakan bagai anak kecil atau budak. Dengan susuk tubuh agak montel dan berkepala botak seiras upin ipin, rata-ratanya memiliki ketinggian di antara 40-50 sentimeter sahaja. Kulitnya digambarkan kemerah-merahan dan berwajah bundar dengan biji mata agak tertonjol keluar sedikit. Dahinya menonjol dengan mulut lebar dan bibir agak menebal dengan saiz kepala agak besar berbanding saiz tubuhnya tanpa rambut. Watak dan kegemarannya hampir sama dengan kanak-kanak iaitu sentiasa ingin bermain, dibelai, dimanjai dan dituruti apa jua kehendaknya. Sikapnya agak nakal dan suka mengomel namun agak licik dan pintar mencari helah dan sentiasa memperdayai manusia agar menuruti kehendaknya.
Toyol hidup berkumpulan dan bekerjasama di antara satu sama lain. Mereka dikawal dan diberi arahan oleh penguasa bangsa jin kafir yang bertaraf, berdarjat dan memiliki kekuatan yang tinggi dalam kalangan mereka. Setiap penguasa biasanya mengawal dan memelihara kumpulan toyol yang boleh mencapai angka ribuan ramainya. Tempat tinggal atau pemukiman mereka biasanya di lokasi yang sunyi, gelap, jauh dari aktiviti keagamaan manusia atau di tempat yang dianggap keramat oleh menusia sehingga dijadikan sebagai markaz pemujaan. Ini termasuk di kawasan hutan belantara, di lembah sungai bahkan terdapat di padang pasir.
Dalam kitab-kitab perubatan tradisional Melayu ada menyebut perihal toyol ini dan cara-cara mendapatkannya pun tidaklah terlalu rumit. Namun saya tidak bersedia menghuraikannya di sini atas sebab-sebab tertentu. Jika dihajati, toyol sangat mudah didekati, didampingi sehingga dia sanggup bekerjasama dengan manusia asalkan manusia sanggup menuruti syarat-syarat yang diberikan. Urusan tersebut diuruskan menerusi perantara, iaitu seseorang pengamal ilmu hitam dengan mengenakan syarat-syarat tertentu yang mesti dipenuhi dan tidak boleh diingkari sama sekali.
Syarat-syarat memiliki toyol.
Lazimnya terdapat beberapa syarat yang kesemuanya adalah bertentangan dengan hukum Allah swt. Pelanggaran hukum Allah baik dari sudut aqidah mahupun syariah amat digemari oleh bangsa dan suku sakat jin kafir dan iblis. Sesiapa yang ingin memilihara toyol maka dia hendaklah memenuhi beberapa syarat, antaranya:
- Tidak boleh mengamalkan ajaran agama Islam yang sebenar.
- Tidak boleh melakukan hal-hal kebajikan atau kebaikan dalam kalangan manusia.
- Bersedia untuk menyerahkan isteri untuk disetubuhi toyol atau menghisap susunya apabila diperlukan.
- Bersikap suka dan tamak kepada harta benda tanpa bekerja keras.
- Menyediakan sajian untuk makanan dan minuman toyol seperti yang dipersetujui.
- Rumah kediaman pemilik hendaklah terletak jauh dari orang ramai dan terhindar dari kegiatan agama.
- Suasana rumah harus redup, sunyi dan sepi.
- Menyediakan ruang atau bilik khusus yang berbau atau diasapkan dengan kemenyan sebagai tempat tinggal toyol (toyol menggemari bau kemenyan).
- Mesti bersikap lemah lembut dan sopan santun terhadap toyol kerana toyol itu seperti anak kecil, tidak boleh dimarahi, ditengking atau diherdik sesuka hati.
- Hendaklah kerap membawa toyol bersiar-siar dan melayani kehendak toyol terutama di kawasan kediaman atau perkampungan manusia.
Berdasarkan pengamatan dan maklumat dari orang yang pernah berurusan dengan toyol, terdapat beberapa ciri untuk mengenal seseorang yang menjadi pemilik atau pemelihara toyol (ini berdasarkan pengalaman dan tidak semestinya begitu kerana boleh menimbulkan fitnah). Antara ciri-ciri pemilik toyol ialah:
- Pemilik toyol memiliki isteri yang gemuk dengan payudara yang besar.
- Berjalan dengan tangan di belakang seperti menggendong sesuatu.
- Pasangan suami isteri pemilik toyol memiliki sifat peribadi yang berbeza dengan masyarakat umum seperti pendiam namun menonjolkan kebatilan secara tiba-tiba.
- Rumahnya yang dahulunya ramai penghuni tetapi sunyi secara mendadak.
- Sering mendiamkan diri dalam masa yang lama bila berada di rumah orang kaya atau hartawan.
Setelah bersedia memenuhi persyaratan, maka langkah seterusnya akan dimulakan. Perantara (pengamal ilmu hitam) akan berkomunikasi dengan penguasa toyol dari bangsa jin menerusi mantera tertentu untuk menghadirkan toyol di hadapan bakal tuannya. Toyol dihadirkan dengan memunculkan diri terus di hadapan bakal tuannya untuk dibawa pulang. Di sini terdapat nilai caj atau kos yang mungkin berbeza bagi mendapatkan toyol. Kos bagi memiliki toyol kelas rendah antara RM100 – RM1000, bagi toyol kelas pertengahan antara RM1000 – RM2000 sedangkan toyol peringkat tinggi antara RM2000 – RM5000. Gred toyol ditentukan berdasarkan keupayaan dan kemampuannya melakukan tugas dan arahan yang akan diberikan oleh tuannya.
Setelah urusan pembayaran dibuat tanpa hutang, pemiliknya tidak boleh terus membawa toyol pulang kerana toyol harus dilatih untuk mengenal matawang. Hal ini terjadi jika seseorang itu membeli toyol dari luar negara termasuk yang dibeli di Arab Saudi. Namun di Malaysia, toyol sudah mengenali nilai mata wang Ringgit. Cuma ianya dilatih untuk mengambil jumlah wang tertentu dengan keadaan baik tanpa diketahui atau disedari oleh pemilik wang tadi. Toyol hanya akan mencuri jumlah wang yang telah diberitahu atau dilatih oleh pemiliknya sahaja. Jika diarahkan mengambil not bernilai RM50 maka not itu sahaja diambil walaupun terdapat not bernilai RM100. Ertinya toyol akan pulang dengan tangan kosong jika tiada not RM50.
Khidmat toyol perlu dibalas dengan layanan tertentu dan memuaskan bergantung pada gred dan kesesuaian kelas toyol. Toyol kelas rendah hanya memerlukan sesajian yang sederhana ringan dengan menyediakan tempat tinggal yang biasa sahaja. Sedangkan toyol kelas pertengahan dan tinggi memerlukan penyajian yang cukup mewah dan berkualiti serta tempat tinggal yang bagus.
Melayan dan menjaga toyol tidak jauh bezanya dengan menjaga kanak-kanak kecil. Ianya harus dimanjakan dan dituruti apa yang menjadi keinginannya seperti menyediakan bunga tujuh jenis berlainan warna yang segar. Makanan kegemarannya seperti bubur harus panas dan bilik yang diduduki mesti ada bau kemenyan dan sentiasa lembab dan redup. Pemiliknya harus sentiasa bersiap sedia bila-bila masa sahaja untuk melayani toyolnya terutama memberi makan dan menyusuinya. Permintaan itu kadang-kadang dibuat secara sepontan.
Penjagaan yang betul, layanan yang memuaskan serta pelayanan yang baik diberikan oleh tuannya akan membawa kelangsungan kepada perkhidmatan toyol atau kerja-kerja mencuri wang. Walau bagaimanapun, memandangkan toyol ini adalah jin kafir, kerap berperangai buruk, paling cerewet selain bersifat manja dan suka merengek serta mengomel. Jika dia tidak berpuas hati dengan layanan pemiliknya, dia akan merajuk, protes dan berhenti dari mencari wang untuk tuannya. Lebih buruk lagi, toyol sendiri akan membocorkan rahsia pemiliknya dengan menjelma di sekitar rumah pemiliknya atau mencuri hanya di kawasan sekitar jiran-jiran pemiliknya sehingga jiran-jirannya menyangka tuannya yang punya angkara. Begitu juga reaksi toyol kelas pertengahan dan tinggi bila diabaikan dia akan berlagak kurang ajar dengan memaksa pemiliknya membenarkan isterinya disetubuhi oleh toyol pada setiap malam. Akhirnya, tujuan untuk menjadi kaya dengan pantas terbantut malahan isterinya pula terpaksa menggadai maruahnya kepada sang toyol yang sentiasa menggatal. Persoalannya adakah toyol ini semuanya jantan dan tiada yang betina?. Akan saya huraikan dalam tulisan lain.
Pemaparan perihal toyol ini diharap dapat menjadi iktibar kepada mana-mana orang yang berhajat menjadi pemilik toyol. Bukan sahaja itu perbuatan yang sangat besar dosanya bahkan kehidupan di dunia pun akan sentiasa diselubungi kedurjanaan demi mendapat sedikit laba dari kerja pencurian harta orang secara ghaib.
Langkah membentengi angkara toyol.
Kita sering mendengar kes-kes kehilangan wang, secara kerap, berulang-ulang dan dalam tempoh yang singkat baik berlaku di rumah kediaman, pejabat, warung dan kedai makan, bahkan yang disimpan di dalam peti besi pun turut hilang. Punca kehilangan atau kecurian ada berbagai dan yang lebih mirip dengan kerja mencuri oleh toyol ialah pukauan. Pukauan melibatkan kerja penyihiran yang dilakukan oleh manusia dengan bantuan jin penyihir, sedangkan kes melibatkan toyol, toyol itu sendiri datang mengambil tanpa disedari oleh pemilik atau tuan punya wang. Pemukau bila didapati pemilik atau penghuni sesebuah kediaman terkena kesan pukauan seperti tertidur atau berkeadaan seperti separuh sedar namun tiada kudrat untuk bertindak apa-apa, maka ketika itulah dia akan masuk menyamun atau merompak apa sahaja yang dikehendaki dan sempat diambil tanpa memilih harta tertentu. Sebaliknya, toyol akan mengambil barang yang telah diarahkan dan jenis barang yang ditentukan termasuk barang kemas.
Pengamal perubatan Islam dan pengamal perubatan etnik umumnya bersetuju mengatakan toyol memang wujud. Di nusantara, penampilan toyol adalah serupa baik di Malaysia, Indonesia dan lain-lain. Berdasarkan ciri-ciri toyol, ia lebih dekat kepada bangsa jin kafir dan syaitan yang mengganggu manusia dengan menguasai aktiviti hidup manusia.
Firman Allah SWT: Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa dari mengingat Allah; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah yang merugi. (QS. Al-Mujadilah: 19). Mengenai berbagai metode atau pendekatan yang mereka lakukan untuk menyesatkan manusia, Allah berfirman: “Iblis menjawab: Kerana Engkau menghukum saya tersesat, saya akan benar-benar menghalangi mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari kanan dan dari kiri mereka dan Engkau tidak akan mendapati mereka bersyukur (ta’at).”
Justeru itu saya ingin berkongsi cara atau kaedah untuk menghalang premis atau kediaman dari dimasuki toyol untuk mencuri harta benda terutamanya wang.
Tips Menghalang Toyol Memasuki Premis dan membakarnya:
- al-Fatihah
- al-Baqarah (2:255)
- al-Baqarah (2:285-286)
- al-Dukhhan (44:48-49
- al-Haqqah (69:30-33)
- Zalzalah (99:1-8)
- Ibrahim (14:19-20)
- al-A`raf (7:13)
- al-Ahzab (33:25)
- al-Buruj (85:10-22)
- al-Saaffat (37:1-10)
- al-Hasyr (59: 21-24)
Nota: Sediakan air mineral secukupnya dan setelah membaca keseluruhan ayat ruqyah tersebut di atas, tiup pada air dan renjis ke setiap ruang premis mengikut arah lawan pusingan jam. Lakukan 3 hari berturut-turut. Sekiranya kecurian masih lagi berlaku, bolehlah sambung dengan ayat-ayat ruqyah pulang balik kerja-kerja khianat atau sihir yang dilakukan kembali kepada tuannya dan mohon agar Allah musnahkan markaz penguasa toyol, biiznillah. (rujuk peruqyah berhampiran anda).
Sekian,
drABDY@GPMM (Ahli No. GI-0007) 21/3/2022