Fenomena produk sunnah bacaan Al-Quran 30 Juzu’
(Siri Pencerahan)
Pelbagai produk sunnah kini popular dan boleh diperolehi di mana-mana sahaja apatah lagi tarikan terdapat pada labelnya yang dinyatakan ia sudah siap dibaca dengan doa-doa syifa’ (penyembuhan) dan bacaan al-Qur’an 30 juzu’. Orang ramai akan teruja dengan produk-produk tersebut termasuk air zam zam, air mineral, madu, habbatussawda’, kismis, minyak zaitun dan lain-lain dengan menyenaraikan pelbagai khasiat perubatan dan kesihatan.
Isu timbul apabila terdapat aduan oleh sesetengah pihak agar pihak berkuasa membuat siasatan dan mengambil tindakan atas dakwaan ianya menipu orang ramai serta dianggap menunggang agama demi melariskan produk. Hal ini boleh menimbulkan salah tanggapan terhadap amalan perubatan Islam serta boleh mencemarkan reputasi para peruqyah, apatah lagi kebanyakan orang yang terlibat dalam industri pengeluaran dan pemasaran produk berkenaan terdiri daripada kalangan agamawan, pusat rawatan Islam, pusat tahfiz atau individu pengamal perubatan Islam.
Dalam amalan pengubatan Islam, terdapat kaedah dan tatacara tertentu berhubung bacaan doa dan ruqyah ke atas bahan rawatan berdasarkan petunjuk Nabi saw dan amalan para sahabat r.a . Meruqyah pesakit misalnya hendaklah disertai dengan air dan daun bidaya bagi pesakit gangguan, sihir dan `ain (Boleh rujuk hadith-hadith berkaitan dan Tafsir Ibn Kathir dan lain-lain).
Antara prosedur dan tatacara penggunaan bahan rawatan Islam ialah:
- Perawat telah mengenalpasti pesakit tertentu, jenis penyakit yang dialami serta bahan rawatan yang perlu digunakan, kemudian barulah disertai doa dan ruqyah dengan niat khusus dan ke atas pesakat tertentu.
- Membaca doa dan meruqyah ke atas bahan samada pepejal mahupun cecair untuk digunakan oleh pesakit dengan niat tertentu dan doa atau ayat al-Qur`an tertentu yang sesuai dan bertepatan dengan penyakit yang dialami. Pesakit pula disyorkan mengulangi sendiri bacaan setiap kali hendak menggunakan bahan-bahan tersebut di rumah samada secara minum, sapu, tekap, mandi dan sebagainya.
- Perawat hendaklah memberi panduan yang tepat berhubung cara penggunaan bahan yang didoakan atau diruqyah berkaitan, kekerapan, bila hendak digunakan, pantang larang (jika ada) dan sebagainya.
Berhubung produk siap doa dan ruqyah yang dipasarkan untuk kegunaan awam, baik produk perubatan mahupun produk kesihatan tanpa kelulusan pihak berkuasa, saya berpandangan berikut: - Boleh menimbulkan fitnah dan tohmahan dengan tuduhan menunggang atau menjual agama untuk kepentingan dunia dalam mencari wang.
- Tiada kepastian sebenar tentang kaedah dan niat serta fokus pembaca doa atau al-Qur’an 30 juzu’ ke atas produk ketika bacaan dibuat.
- Produk yang dikeluarkan kebiasaannya hanya dinyatakan khasiat atau kegunaannya secara umum pada label dan tiada perincian tengan cara guna dan pantang larang tertentu (jika ada).
- Sering terdapat kekeliruan berhubung alamat sebenar atau nombor perhubungan, tidak dinyatakan tarikh luput dan tiada logo halal atau label kelulusan KKM.
Berdasarkan pencerahan di atas, diharap pihak pengeluar produk agar berhati-hati dan berhemah dalam mengeluarkan produk agar orang ramai tidak keliru. Mereka perlu mendapatkan kelulusan Bahagian Pengawalan Farmaseutikal (BPFK) Kementerian Kesihatan Malaysia dan JAKIM (Bahagian Halal JAKIM terlebih dahulu untuk mengelak kekeliruan orang ramai. Bukan tidak boleh dibaca doa atau meruqyah bahan namun ada tatacaranya dalam amalan perubatan Islam, apatah lagi bila mengaitkannya sebagai produk sunnah Nabi saw. Saya ingin menasihati agar orang ramai yang ingin mendapatkan bahan-bahan rawatan agar berhati-hati dan selidikilah terlebih dahulu terutama jika ianya dikeluarkan secara besar-besaran dalam volume yang besar kerana dikhuatiri ianya semata-mata bertujuan untuk bisnes, bukannya membantu orang ramai yang bermasalah dan amat memerlukan. Adalah lebih baik jika mengunjungi pusat-pusat rawatan yang berdaftar dan diiktiraf oleh pihak berkuasa agama untuk mendapatkan produk atau bahan rawatan Islam tersebut. Perawat atau peruqyah sendiripun hendaklah mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang cukup sebelum menggunakan sebarang bahan rawatan. Tersilap pilih pesakit yang akan merana. Jika merana jangan salahkan orang lain, salahkan diri pesakit atau perawat sendiri. Sekian.
Nukilan,
Dr Abdullah Yusof,
Exco GPMM (Gabungan Perawat Muslim Malaysia)
2.6.2020 12.32 pm