Rawatan jarak jauh boleh ke?
Isu yang masih belum selesai ialah rawatan jarak jauh. Apa itu rawatan jarak jauh dan bagaimana ia dilakukan? Apa elemen yang wujud sehingga dikatakan rawatan tersebut tidak syar’i? Macamana pula jika ada rawatan jarak jauh yang syar’i, apa dia?
Masyarakat menggemari rawatan sedemikian kerana urusannya lebih mudah tanpa perlu membawa pesakit ke hadapan perawat dan prosedurnya cepat. Apatah lagi jika rawatan diadakan dalam talian. Bayaran pula lazimnya boleh dibuat secara transfer ke akaun perawat atau QR code sahaja.
Media sosial antara platfom yang dipenuhi iklan dan promosi khidmat rawatan jarak jauh. Sebahagian masyarakat tetap teruja dengan rawatan begitu sedangkan sebahagian masih ragu-ragu sementara golongan agamawan umumnya memberi persepsi yang negatif dengan melabelkan rawatan tersebut sebagai amalan sesat dan menyimpang dari syariat Islam.
Masyarakat akan menjadi semakin bingung dan keliru jika pencerahan tidak diberi secara wajar oleh para pengamal yang berpengalaman terjun dalam dunia perawatan dan memahami teknik yang dilakukan dalam rawatan jarak jauh.
Orang ramai yang mendapatkan rawatan jarak jauh terdiri dari beberapa kelompok. Kelompok utama ialah yang mempunyai masalah kesihatan dan penyakit. Kedua yang mempunyai masalah kehidupan dan alam rumahtangga yang kronik. Ketiga yang mengalami masalah kewangan, ekonomi dan kerjaya manakala kelompok keempat ialah individu yang mempunyai masalah hubungan asmara, putus cinta, angau dan penyakit rindu.
Mereka mengambil pendekatan mendapatkan khidmat rawatan atas beberapa faktor, antaranya lokasi keberadaan mereka jauh dari tempat rawatan. Ada yang terpukau dengan iklan dan promosi yang menarik dan giat dilakukan di platform media dosial seperti di tik tok, fb dan sebagainya dengan jaminan kesembuhan dan berhasil mendapat hajat yang diidamkan dalam tempoh yang cepat.
Rawatan jarak jauh bermaksud rawatan yang dilakukan ke atas pesakit atau orang yang memerlukan hajat tertentu sedangkan lokasi keberadaannya jauh dari tempat perawat. Atau pesakit berada dalam wad hospital sedangkan perawat sukar hendak ke sana kerana kesibukan atau terperangkap dalam kesesakan trafik yang teruk. Atau pesakit berada di luar negara terperangkap dalam runtuhan salji di Antartika dan berbagai lagi. Semua ini menyebabkan rawatan jarak jauh antara pilihan yang ada.
Rawatan jarak jauh dikenali juga sebagai Telepathy. Iaitu menggunakan peralatan seperti kamera dan perakam audio-visual atau telefon bimbit. Cara konservatif pula tidak menggunakan sebarang peralatan. Harus?. Boleh jadi harus dan boleh jadi tidak. Ia harus jika syar’i dan tidak harus jika non syar’i.
Tidak syar’i jika pengamal menggunakan kaedah yang dilarang seperti ritual dan jampi mantera syirik, mengundang khadam atau jin pendamping, melakukan tenung nasib dan menilik serta bahan-bahan haram turut digunakan. Ini salah, tidak kira rawatan jarak dekat mahupun jarak jauh.
Yang syar’i jika pengamalnya menggunakan kaedah yang dibenarkan syarak. Saya ingin membawa dua contoh berdasarkan konsep solat jenazah ghaib dan solat hajat. Solat adalah doa dan doa terkandung dalam ruqyah. Seorang melakukan solat jenazah ghaib yang berada di Los Angekes sedangkan dia betada di Changlun. Seorang anak solat hajat dan mendoakan kesembuhan buat ibunya yang sakit terlantar di Keningau sedangkan dia berada di Kg Air Dingin Tumpat. Kedua-dua contoh tersebut adalah permohonan jarak jauh. Allah maha Mendengar doa dan permohonan hambaNya walau di penjuru mana dunia dia berada. Salahkan meruqyah dan berdoa dari jarak jauh?
Kesimpulan
Kini muncul semakin ramai yang mendakwa sebagai perawat jarak jauh. Mungkin ada yang juga seorang scammer; kerjanya cuma mencari akal untuk menyedut duit orang ramai atas nama rawatan Islam. Kebimbangan itu terserlah apabila banyak suara mengatakan asal saja rawatan jarak jauh itu dah sah sesat dan menyeleweng menyebabkan reputasi perawat yang benar-benar syar’i turut terpalit. Apakah kita cuma mampu menggeleng kepala sahaja tanpa berbuat apa-apa? Tanyalah diri masing-masing.
Sekian.
DrAbdy 31.10.24

