Hukum ritual pemutus ubat

Antara isu yang dibangkitkan dalam dunia perawatan adalah pemutus ubat. Dengan bersandarkan hujah tiada dalil yang menyuruh upacara pemutus ubat dilakukan, ada yang menganggapnya  sebagai menyeleweng dari ajaran Islam sebenar. Benarkah sedemikian?.

Apakah itu pemutus ubat?. Dalam kalangan pengamal perubatan, pemutus ubat adalah sebagai satu simbol kepuasan dan kesyukuran terhadap nikmat kesihatan yang kembali sembuh setelah melalui bermacam ikhtiar dalam mendapatkan kesembuhan daripada Allah swt. Terdapat pelbagai bentuk pemutus ubat dilakukan yang penuh simbolik. 

Ada yang menyediakan makanan tertentu seperti memakan pulut setelah sembuh dari penyakit santau. Ada yang mengadakan kenduri kesyukuran. Ada yang menghadiahi perawat dengan pemberian tertentu sebagai tanda terima kasih. Ada yang menyediakan pulut kuning (pulut semangat) untuk diberikan kepada jiran tetangga dan ada yang memberi barang keperluan kepada rumah anak yatim, pusat jagaan orang tua, maahad tahfiz dan sebagainya.

Seperti juga pengeras, pemutus ubat hendaklah tidak dicemari oleh ritual syirik dan barangan yang tidak halalan tayyiba. Islam tidak sesekali menentang sebarang bentuk amalan budaya termasuk adat istiadat yang baik dan tidak terseleweng dari ajaran Islam. 

Hal ini perlu diberikan pencerahan yang betul dan tepat.  Saya ingin memberi 2 contoh pemutus ubat.

Contoh 1: Pemutus ubat bagi pesakit santau ialah pulut bersantan. Seperti yang diketahui, pulut bersantan adalah antara makanan yang menjadi pantang besar bagi pesakit santau. Setelah dirawat dan terdapat tanda dia sudah sembuh, maka perawat akan memberinya makan pulut sebagai pemutus ubat. Ini untuk mengesahkan pesakit benar-benar sudah sembuh sepenuhnya kerana kesan buruk santau tidah lagi berulang setelah mengambil pemutus ubat.

Contoh ke 2: Pesakit sihir dan gangguan jin. Setelah perawat berpuashati dan pesakit merasakan dirinya telah bebas dari pengaruh sihir dan gangguan, maka pemutus ubatnya ialah limau nipis ( boleh juga guna limau purut atau limau jebor). Sebelum tidur pesakit akan mengambil sehiris limau lalu disapu dibibir dan dihisap sedikit lalu dibawa tidur. Jika malam itu tidurnya terganggu atau didatangi mimpi yang pelik, maka itu petunjuk gangguan masih ada dan sekiranya tidurnya aman dan tenang, jenero molek tanpa sebarang gangguan maka sahlah dia dah bebas dari pengaruh sihir dan gangguan.

Begitulah juga untuk jenis-jenis penyakit lain, ada pemutus ubatnya yang tersendiri. Saya akan merasa capek jika menyebutnya satu persatu di sini. Ringkasnya pemutus ubat hanyalah mekanisma untuk mengetes atau menguji serta mengesahkan seseorang itu sudah sembuh dari penyakit yang ditanggungnya atau rawatan perlu diteruskan.

Kini yang sering memberi pandangan berhubung amalan rawatan Islam ialah orang-orang yang berada di luar dari bidang perawatan Islam. Justeru itu para pengamal senior yang berada dalam komuniti perawat Islam perlu pro aktif, bertindak segera memberi reaksi yang sepatutnya berhubung isu-isu rawatan yang masih berlegar dalam masyarakat. 

Zaman kini bukan lagi masanya untuk terus berpeluk tubuh dan mengunci mulut dari berkata yang benar. Ramai yang cuma mengeluh tanpa melakukan sebarang tindakan susulan. 

Kesimpulannya pemutus ubat bukanlah wajib. Ia adalah simbol semangat untuk mensyukuri nikmat pemberian Allah swt khususnya dalam bab kesihatan. Dalam amalan lain, biarpun tidak dinamakan pemutus ubat, namun seakan mempunyai maksud yang serupa. Kanak-kanak yang yang tamat atau khatam Al-Quran akan menyediakan pulut kuning untuk guru mengajinya dan juga untuk dimakan bersama rakan-rakan sekelas. Penuntut seni beladiri setelah tamat berguru dan akan meninggalkan gelanggang biasanya menyediakan satu pemberian istimewa buat gurunya. Pelajar pengubatan DS apabila naik ke pentas dalam upacara pengijazahan akan turut membawa dua hadiah untuk disampaikan sendiri kepada Tuan Guru. Satu berupa barangan apa sahaja dan satu lagi berupa senjata tajam dan keras seperti pedang, keris, badik, sendeng, lawi ayam dan sebagainya. Semua itu ada makna yang simbolik sebagai pengakhiran sama juga dengan pemutus ubat. 

Jadi, jangan terlalu boros mengeluarkan kata-kata dan tuduhan bahawa pemutus ubat adalah mengarut dan tidak islamik. Tulisan ini sepertimana tulisan-tulisan saya sebelum ini saya dedikasikan buat ahli GPMM yang sudi dan setia membaca.

Sekian.

-DrAbdy 30.10.24