Mistik makhluk ghaib dan alam ghaib
Berdasarkan persoalan makhluk ghaib, alam ghaib dan alam nyata atau alam hakiki, berikut adalah sedikit pencerahan mengenai persoalan tersebut:
- Siapa dia makhluk ghaib yang hidup di alam hakiki?
- Berapa buah alam ghaib yang wujud?
- Adakah makhluk ghaib seperti malaikat, jin dan qarin berkongsi alam ghaib yang satu atau mereka hidup di alam ghaib masing-masing?.
Tulisan ini berdasarkan pengalaman sendiri dan pengalaman rakan perawat Islam, penulisan dan sumber dari alam ghaib. Terlebih dahulu saya memohon maaf sekiranya kandungan tulisan ini tidak tepat sepertimana pengalaman orang lain berinteraksi dengan makhluk ghaib. Segala sesuatu yang ghaib itu sesungguhnya hanya Allah SWT yang mengetahui. Manusia cuma mengetahui hanya sedikit di balik tabir alam hakiki dengan izinNya jua.
Sebagai perawat kita kena berikhtiar memahami seluk beluk kehidupan mereka dan bagaimana interaksi berlaku dengan manusia, iaitu dua bangsa yang sama sama diperintahkan Allah swt beribadat kepadaNya.
Bukankah sebahagian kes yang dibawa kepada perawat berkaitan dengan makhluk halus terutama golongan jin dan syaitan serta pecahan bangsa mereka.
Berkaitan persoalan pertama kita maklumi bahawa bahawa jin dan syaitan ada alam mereka sendiri seperti tercatat dalam kitab-kitab tibb nabawi iaitu
عالم الجن والشياطين
Namun ada dua contoh kelompok yang hidup berkonggsi di alam manusia biarpun dalam dimensi yang berlainan iaitu bunian dan rijalul ghaib.
Bunian bukanlah jin berdasarkan beberapa kriteria yang pernah disebut dalam artikel lain sebelum ini. Bunian adalah makhluk ghaib yang hidup di alam hakiki. Ertinya mereka ghaib dari pandangan manusia namun manusia bukan ghaib di sisi pandangan bunian. Mereka memiliki rupa paras, ciri fizikal dan karekter yang tidak jauh berbeza dengan manusia. Keistimewaanya bunian boleh melihat jin dan ada ketikanya boleh menerobos ke alam jin.
Dalam pengubatan, bunian tidak mencampuri secara langsung urusan perawat. Bunian tidak memasuki jasad manusia apatah lagi hendak berdialog menerusi lidah manusia. Kehadiran mereka ketika rawatan lebih kepada pemantauan dan membantu menangkis serangan jin syaitan yang jahat yang ingin menzalimi manusia. Mungkin ada yang bertanya bunian ni ada disebut dalam Quran dan hadith kah?. Cuba tanya balik hantu raya dan pontianak tu disebut jugakah dalam Quran dan hadith.
Golongan kedua ialah yang dinamakan sebagai rijalul ghaib (رجال الغيب). Rijalul ghaib ini hidup di alam hakiki namun dalam kebiasaannya mereka ghaib dari pandangan manusia lain. Pelbagai kisah yang dikaitkan dengan rijalul ghaib seperti Nabi Khaidir a.s, Syeikh Abdul Qadir Jilani, guru pondok bertaraf wali , panglima hitam dan lain-lain. Mereka bukanlah jin dan penampilan mereka pun seperti orang alim yang warak, zuhud dan tawadduk. Ada ketikanya mereka boleh berada di dua tempat berlainan dalam waktu yang sangat singkat sedangkan lokasi kedua-dua tempat tersebut sangat jauh. Kadang-kadang mereka dikatakan tiba-tiba muncul di khalayak dan tiba-tiba menghilangkan diri.
Mengenai pengubatan adakalanya rijalul ghaib tampil dalam bentuk arahan-arahan batin atau mengiringi pesakit tertentu ketika menerima rawatan. Rijalul ghaib tidak boleh memasuki jasad manusia khususnya pesakit gangguan namun mereka tetap boleh berkomunikasi dengan jin yang menumpang dalam jasad pesakit, bukannya bercakap menerusi lidah pesakit. Jika mereka memunculkan diri berilah salam dan santunilah dia dengan baik dan ramah. Rijalul ghaib sering tampil dengan sosok orang alim, warak, zuhud dengan pakaian persis seorang wali. Namun demikian, berhati-hatilah kerana syaitan gemar melakukan penyamaran sebagai rijalul ghaib atau bunian bertujuan untuk menipudaya manusia.
Rijalul ghaib dan bunian bukanlah jin seperti sangkaan ramai orang namun kehadiran mereka sebagai makhluk ghaib di alam ini menjadi sebuah misteri yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Persoalan kedua mengenai berapa buah adanya alam ghaib, Hal ini hanya Allah yang mengetahuinya. Berdasarkan banyak penulisan mengenainya, selain alam jin dan syaitan, ada juga alam malaikat. Kisah jin yang mencuri dengar berita langit iaitu rahsia Allah yang dijaga oleh malaikat menunjukkan malaikat memiliki alam sendiri. Begitu juga Qarin yang memiliki ciri yang hampir sama dengan malaikat iaitu tidak berkahwin dan berzuriat, tidak makan dan tidur serta qarin boleh melihat jin-jin lain sedangkan jin tidak boleh melihat qarin. Kemungkinan qarin juga memiliki alam sendiri. Jin ada yang terbang, yang berumah di daratan dan ada yang bertahta di lautan samudera. Kemungkinan makhluk ghaib yang pelbagai tersebut mendiami alam yang pelbagai berdasarkaan peranan mereka yang tidak sama. Berapa banyak alam ghaib, terserahlah kepada Allah kerana hanya Dia yang mengetahui hakikat sebenar.
Persoalan ketiga ialah mengenai kemungkinan makhluk ghaib yang pelbagai itu berkongsi alam ghaib yang sama. Saya berpendirian mereka memiliki alam ghaib tersendiri. Malaikat misalnya adalah makhluk langit dan menerima arahan dari Allah dan turun ke bumi untuk melaksanakan segala arahan Allah. Begitu juga bunian yang asal penciptaannya dari cahaya, sama seperti malaijat dan bunian juga sebenarnya makhluk langit. Itulah sebabnya bunian dilengkapi dengan sayap untuk memudahkan pergerakannya. Bunian bukanlah makhluk yang menghuni hutan rimba seperti sangkaan ramai orang, bahkan mereka adalah antara makhluk ghaib yang memiliki peradaban dan kemajuan yang tinggi kerana juga ada kerajaan dan rakyat jelata di seluruh pelusuk dunia.
Bangsa jin juga kebanyakannya berkerajaan sendiri baik di udara, di daratan mahupun di lautan bahkan terdapat puak jin yang menetap di dalam tanah.
Walau di mana jua alam yang mereka duduki, mereka adalah makhluk Allah yang diciptakan dengan pelbagai peranan dan tujuan. Semuanya adalah penduduk bumi termasuk manusia sendiri, Kehadiran mereka ke alam dunia adalah untuk memakmurkan umat manusia mengajak manusia ke arah kemenangan dengan pedoman. Sebaliknya ada yang mengajak ke arah keburukan dan kemungkaran. Semua itu adalah ujian untuk manusia menghadapi dan melepasinya kerana kehidupan hakiki ialah di sana. Dunia hanyalah transit, yang kita sebenarnya tidak punya banyak waktu untuk enjoy dan leka dengan keseronokan dunia, tiada masa lagi untuk terus bersengketa dan mencipta perselisihan berganda setiap hari dan ketika. Kiamat sudah dekat.
Saya memohon kemaafan sekiranya ada yang tidak bersetuju dengan tulisan ini kerana saya adalah manusia lemah yang tentunya ada kekurangan. Namun saya kena gagahkan diri menulis dan menyampaikan walaupun satu ayat. Saya juga memohon kemaafan lebih-lebih lagi kepada Allah, pencipta alam ini dan segala isinya jika terdapat salah info, salah fakta dan silap maklumat yang tidak seperti seharusnya dalam memahami alam misteri dan makhluk ghaib. Itu adalah kelemahan diri saya. Jika ada yang ingin mengambil manfaat dari tulisan ini, ambillah. Manusialah sebenarnya makhluk misteri.
Sekian,
Dr Abdy
19.2.2024.

