Perbetulkan naratif Nabi Yusuf dan Zulaikha dalam doa resepsi
Salah doa dan doa salah dua perkara berbeza namun kesannya sama. Jika perawat dipanggil untuk membaca doa, pilihlah yang tepat dan bacalah secara betul. Sekarang musim cuti sekolah dan banyak majlis diadakan termasuk majlis resepsi perkahwinan.
Saya dapati dihampir semua majlis, baik di hotel mahupun di khemah-khemah kampung, jurubaca doa dijemput dan isi kandungan doa adalah hampir sama.
Antaranya mendoakan agar pasangan pengantin… bla bla bla, kemudian disatukan mereka dengan kebahagiaan sampai ke anak cucu dan sebagainya., (Disebut nama Nabi dan pasangan masing-masing termasuk Nabi Yusuf A.S dan isterinya Zulaikha). Saya hanya mampu geleng kepala.
Rupanya ramai yang belum tahu kisah Nabi Yusuf A.S dan Zulaikha tiada dalam sirah yang disebut sebagai pasangan (suami isteri) kerana Baginda Yusuf A.S tiada rekod berkahwin dengannya, juga Zulaikha sama sekali tidak sesuai dijadikan ikon seorang isteri. Beliau adalah penggoda Nabi Yusuf A.S dalam istilah netizen hari ini sebagai ‘penggoda’, sewaktu masih lagi menjadi isteri kepada salah seorang pembesar negara bernama Al-‘Aziz. Kisah selanjutnya boleh dibaca dalam kitab-kitab tafsir.
Teks doa tersebut diulang baca setiap kali majlis resepsi diadakan agar mempelai bahagia seperti Yusuf dan Zulaikha. Jadi tidak hairan kemungkinan doa itu menjadi asbab pasangan kini berdepan dengan isu yang mencemar institusi keluarga hari ini.
Di sini para perawat GPMM disarankan dengan penuh hikmah memainkan peranan masing-masing memperbetulkan naratif masyarakat melalui medium ceramah, tazkirah dan sosmed. Nasihatilah pesakit dan ahli keluarga mereka sekiranya mereka ingin mengadakan majlis perkahwinan dan nasihat saya juga kepada perancang perkahwinan kaji dahulu keabsahan teks doa jika ia dipetik dari ustaz google untuk dibacakan dalam resepsi kalian nanti.
Agak-agaknya siapa yang salah? kita semua!. Baru sebentar tadi saya hadiri sebuah lagi resepsi dan doa itulah juga yang dibaca, dah tak larat nak geleng kepala. Nak angguk, mana boleh. Sekian,
Dr Abdy
10.2.24

