Jangan malu jika diberitahu anda bersaka

Saka merujuk kepada khadim@khadam warisan atau dikenali juga sebagai jin nasab atau saka. Ia diwarisi atau diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi dari waris atas ke bawah sehingga 7 keturunan dan boleh dilanjutkan.

Ramai orang memandang serong ke atas keluarga atau individu yang bersaka, tidak kira dari jenis saka apapun, termasuk yang ada pertalian dari keluarga agamawan, tok-tok guru dan ketua masyarakat didiagnos bersaka. Aib sangatkah mereka?.

Sebelum itu kena fahami apa tujuan mereka mendapatkan khidmat khadam terutama pada zaman dulu-dulu, zaman masyarakat belum celik betul-betul pasal aqidah dan syariat, zaman orang belum pernah dengar apa itu tibb nabawi dan pengubatan Islam. Jika betul tujuan dan betul pula caranya, maka ia diterima sebagai suatu ‘uruf yang baik dalam masyarakat dan begitulah sebaliknya.

Menerima dan memanfaatkan khadim sesuai dengan keperluan dan persekitaran ketika itu, contohnya zaman kolonial, zaman darurat dan tanah melayu sedang menghadapi pelbagai ancaman seperti konflik kaum, slogan ganyang Malaysia oleh Indonesia sehingga era ambang merdeka dan selepasnya.

Ada dua tujuan pengambilan khadim atau saka, pertama untuk tujuan kebaikan seperti saka pekerjaan, saka pengubatan dan perbidanan, saka keselamatan@bela diri dan saka urusan sosial.

Tujuan kedua adalah seperti saka perdukunan dan saka penyihiran. Saka ini dipandang serong kerana terlibat dalam kemungkaran dan kejahatan serta kezaliman ke atas manusia lain.

Adapun tujuan saka pertama tidak semestinya melalui ritual syirik dan bercanggah dengan syariah. Jin juga adalah makhluk Allah, ada yang berbuat baik dan ada sebaliknya. Tidak semua yang memiliki khadim bermakna seseorang itu menyengutukan Allah. Pergantungan tetap kepada Allah dan khadim cuma sebagai wasilah dan menerusi kudrat dan upaya yang Allah berikan, jin juga boleh melakukan kebaikan kepada manusia dengan izin Nya.

Ada yang berkata nanti jin saka akan menipu manusia dan meletak syarat dan permintaan yang bukan-bukan. Memang benar saka meminta sajian yang pelik-pelik seperti ayam panggang, pulut kuning, sireh, telor, rokok dan sebagainya. Itukan makanan dia, takkan nak beri ‘spaghetti’, ‘steaks’, burger, pizza dan stabak pulak. Ibarat beruk takkan panjat pokok kelapa untuk ambil buah kalau tak diberi makan dan minum air kelapa dulu. Upah itu biasalah sebab jin juga makhluk hidup, sesuai dengan kebiasaan dia.

Orang dulu meneroka tanah hutan, bukit bukau atau mengerjakan sawah bendang yang luas atau memiliki harta kebun dan ladang tentu memerlukan tenaga kerja yang kuat termasuk menjadi pengawal untuk menjaga keselamatan sesuai dengan tuntutan masa itu, bukan zaman ada cctv, ‘alarm system’ dan alat pengesan.

Zaman sudah banyak berubah dan saka sudah tidak menjadi keperluan, namun warisan tersebut tetap wujud. Pewaris saka yang terdiri dari anak cucu cicit sudah tidak mempedulikan saja yang pernah menjadi sebahagian dari ahli keluarga mereka dulu, kini berada terpinggir dan disisihkan. Dalam masa sama ahli waris tidak pula berikhtiar membatalkan, memutuskan atau meleraikan segala perjanjian yang pernah terikat sejak puluhan bahkan ratusan tahun dahulu, Agar dengan itu, jin saka akan bebas, lepas dan kembali ke tempat asalnya.

Pewaris yang bersaka tidak perlu merasa aib dan malu kerana tidak semua pengambilan saka dilakukan dengan secara salah dan untuk tujuan yang salah walaupun kebiasaannya yang salah.

Anggap sahaja mereka pernah berkhidmat sepertimana bibik-bibik memberi khidmat kepada tuannya. Tidak semua bibik jahat sepertimana tidak semua saka jahat. Kalau saka protes dan meragam, itu biasa namun jangan sampai melakukan ritual syirik dan tidak syarie. Tidak sedikit saka yang memeluk Islam dan menjadi makhluk yang beriman malah ibadah mereka lebih baik dari manusia biasa.

Jadi apa peranan perawat sekarang?. Takkan hendak berserah dengan prinsip bahawa perselisihan dan permusuhan antara manusia dan jin adalah perseteruan paling epik dalam sejarah peradaban dunia. Ingatlah bahawa Allah s.w.t berfirman;

 وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون 
(Al-Dhaariat 51:56).

Semoga persepsi yang negatif harus diperbetulkan dan pewaris bersaka tidak perlu diaibkan apatah lagi jika ada kesilapan yang tiada kena mengena dengan mereka.

Maka hentikan prasangka yang merugikan diri, keluarga dan keturunan, tidak juga saya mendakwa saka adalah sesuatu yang baik mahupun sebaliknya, coretan ini adalah untuk kita sama-sama merenung dan berfikir betapa hebatnya Allah s.w.t yang maha menciptakan sekalian makhluk dan betapa berat dan besar tugas sekalian perawat Islam mengajak manusia dan jin kembali mentauhidkan Allah s.w.t. yang akhirnya tubuh pesakit kembali kepada fitrah kejadian sihat seperti sediakala, sekian.

Dr Abdy
13.2.24