Bagaimana merawat ketagihan dadah
MUQADDIMAH
Pada siri ke 8, E-Buletin GPMM musim baharu yang dilancarkan sejak awal ramadan tahun ini, saya akan membicarakan mengenai dadah@drug yang dianggap sebagai salah satu musuh nombor wahid negara. Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk menangani masalah dadah termasuk membendung kegiatan penyeludupan dan pengedaran, penagihan, penguatkuasaan, pusat pemulihan dan tahanan dan banyak lagi. Dadah bukan sahaja menghancurkan institusi kekeluargaan malah boleh memusnahkan masa depan dan kerjaya seseorang. Ramai penagih terutama penagih tegar yang cuba mendapatkan rawatan namun mereka tewas kerana beberapa foktor di antaranya tiada sokongan berterusan ahli keluarga atau orang terdekat. Mereka pula sebahagiannya adalah berpenyakit termasuk mengidap AIDS atau pembawa HIV selain penyakit berjangkit. Ramai mengelak dari menghampiri golongan penagih kerana bimbang risiko yang mungkin terjadi.
PENGGUNAAN DADAH DALAM MASYARAKAT
Dadah tidak mengenal mangsanya seperti covid-19 juga. Perawat juga mesti mengetahui aspek berkaitan dadah, jenisnya, kesannya dan kaedah rawatan terbaik yang boleh diaplikasikan. Dadah merupakan bahan penyebab perubahan dalam fisiologi atau psikologi ornagisme dan ia bukanlah sumber nutrisi sebenar. Antara kaedah penggunaannya ialah secara menyedut, menyuntik, menghisap, menghidu, menerap pada kulit, dibakar dan diasapkan atau melarutkan di bawah lidah. Terdapat juga dadah psikoaktif seperti kafein termasuk bahan dalam minuman kopi (Kopi pernah diharamkan di Mekah) yang digunakan secara meluas dalam kalangan penduduk dunia.
Dari sudut farmakologi, dadah adalah bahan kimia yang apabila diberikan kepada organisme hidup akan memberi kesa psikologi. Mulanya ia digunakan sebagai ubat untuk merawat, mencegah atau mendiagnos penyakit. Namun penyalahgunaan tidak terkawal menyebabkan keburukannya menjadi lebih besar berbanding manfaat yang boleh diperolehi darinya.
Menurut kaedah tradisional, dadah boleh dihasilkan menerusi kaedah pengekstrakan tumbuhan perubatan tertentu bahkan melalui proses sintesis organik. Dalam farmaseutikal, bahan tersebut diklasifikasikan sebagai dadah. Ini termasuk dadah psikoaktif yang akan mempengaruhi fungsi sistem saraf pusat, mengubah persepsi, mood atau kesedaran. Namun dadah jenis ini turut diguna untuk merawat banyak penyakit termasuk gangguan mental. Laporan menyebut, dadah yang paling banyak diguna di seluruh dunia antaranya ialah kafein, nikotin dan alkohol walaupun ia dianggap sebagai dadah rekreasi atau untuk keseronokan (enjoyement) atau perangsang semata-mata. Walau bagaimanapun, penyalahgunaan atau pengunaan berlebihan tetap boleh memberi kesan pada psikologi dan fizikal seseorang.
Di negara ini, kebanyakan dadah diperolehi melalui kegiatan penyeludupan atau kegiatan pemalsuan di pintu masuk negara. Antara dadah yangpopular di Malaysia masakini ialah ganja atau kanabis, pil kuda (sangat rare di utara semenanjung), Syabu(paling banyak disalahguna), pil ecstacy, pil erimin 5, ubat kepak atau GHB (sering digunakan oleh perogol), ubat batuk, gam basikal cap senapang, pil methadone (untuk merawat penagih dadah), ketamin, sally-D, rophynol, shroom, cactus, durabolin, kokain, morphin, heroin dan syabu atau methamphetamine (ini menjuarai senarai yang paling diminati). Nama-nama dadah tersebut adalah antara yang paling kerapdisebut oleh penagih dadah yang mendapatkan rawatan. Bagaimanapun terdapat nama lain atau istilah tertentu digunakan untuk mengabui mata pihak berkuasa.
Dadah digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor atau kehidupan masyarakat seperti:
- Ketenteraan seperti peperangan Amerika Syarikat – Vietnam 1957 dan 1975 M dan Perang Candu di China 1836-1860 M.
- Industri hiburan: Ramai bintang popular dunia mati kerana dadah.
- Sukan dan rekreasi: Ramai atlet dan jaguh sukan mengambil steroid dan gagal ujian doping.
- Ekonomi dan perdagangan: Penanaman bunga poppy secara besar-besaran di kawasan Segitia Emas (Golden Triangle).
- Kegiatan gangsterism: Seperti Mafia yang menguasai aktiviti dadah.
- Pertanian dan penternakan: Penggunaan campuran bahan dadah sebagai baja dan makanan ternakan.
- Industri kesihatan dan kosmetik: Menggunakan bahan terlarang termasuk dadah dalam ubatan atau produk berkaitan.
- Industri penyediaan makanan: Mencampur atau memasukkan dadah semasa memproses atau menyediakan makanan kepada pelanggan.
KAEDAH RAWATAN
Selain pusat-pusat pemulihan dadah, terdapat banyak pusat rawatan swasta yang menempatkan penagih di situ untuk suatu tempoh bagi mendapatkan rawatan sehingga sembuh. Saya tidak bercadang untuk membincangkan modul yang digunakan di situ untuk merawat penagih. Saya ingin menyarankan agar rawatan perlu dibuat dari aspek fizikal dan kerohanian. Bukan sekadar memulihkan fizikal bahkan elemen kerohanian perlu diterapkan bersama. Bukan sahaja menghentikan mereka dari tabiat menagih bahkan yang lebih mencabar ialah menghilangkan ingatan yang sangat kuat kepada dadah. Ramai yang sudah beberapa tahun sembuh namun kembali menagih walaupun mereka berikrar untuk tidak menyentuh lagi najis dadah. Usaha pertama ialah membersihkan kesan dadah di dalam tubuh. Dalam amalan perubatan komplementari Islam, selain ruqyah yang biasa dilakukan, ada beberapa bahan yang boleh digunakan seperti:
1. Pisang setawan. Bahagian yang diambil ialah pelepahnya dan sedikit umbinya yang dikisar dengan memasukkan sedikit air. Kesemua bahan tadi hendaklah ditapis dan diruqyahkan terlebih dahulu sebelum diminum sebanyak secawan 3 kali sehari selama 3 hari.
2. Kelapa tua atau kelapa jantan: Ambil airnya dan dikisar bersama sebiji buah epal@topoh hijau kemudian diminum sekaligus tanpa sebarang campuran pemanis.
3. Cuka nipah: Minum 1 sudu sebelum tidur malam selama 3 hari berturut-turut.
4. Madu lebah: Madu dipanaskan bersama campuran air bunga mawar. Untuk memberi kesan yang lebih baik agar penagih tegar tadi tidak mengulangi tabiat lama sertakan menghilangkan ingatannya pada dadah mak ayat-ayat ruqyah adalah seperti berikut:
1. Menyebut nama-nama Allah iaitu Ya Allah (3 kali), Ya Salam (3 kali),
Ya Syaafii (3 kali) Ya Qayyum (3 kali) kemudian disusuli dengan membaca aurah al-Nur ayat 34: Allahhu Nuuru al-samawat al-Ard (lihat teks asal).
2. Membaca surah al-Syu`ara’ ayat 30: wa idha batasytum…dst (lihat teks).
3. Melanjutkan dengan membaca surah al-Kahfi ayat 57 dan surah Taha ayat 115 dan diikuti surah al-Jaathiyah ayat 34 (lihat teks). Setelah selesai bolehlah diteruskan dengan doa-doa menghentikan tabiat buruk (rujuk DS) dan diakhiri dengan lafaz Fa aridan hadha (maka hentikanlah dari (dadah) ini.
Selain itu, ada satu lagi tambahan kaedah penggunaan bahan yang saya selalu gunakan kepada pesakit yang ketagihan baik dadah, arak atau apa-apa jenis benda yang menjadi ketagihannya iaitu dengan membakar kelapa muda dengan api sederhana (bukan kelapa gading atau kelapa kuning) yang dimasukkan 7 biji ketumbar biji dan 3 biji gula batu sebesar kelingking. Setelah menggelegak sekejap, sejukkan dan perah sedikit air limau jebor atau limau purut kerat lentang dan tambah 3 biji garam bukit atau garam himalaya. Setelah itu beri minum kepada penagih sebiji sehari selama 3 hari berturut-turut. Kelapa dipetik di pokok sebaik-baiknya diambil jangan sampai jatuh ke tanah. Isi kelapa muda pula boleh dimakan dan jika nak beri perawat makan pun boleh.
Selain itu untuk memperkukuhkan jiwa dan spiritual, amalan kerohanian seperti tazkiyatunnafsi mesti beriringan dan bimbinglah dia sepanjang tempoh rawatan dan dipantau berterusan sehingga dia pulih spenuhnya. Ingatlah, para syaitan akan sentiasa menghalang usaha untuk kembali ke jalan yang benar, maka bermohonlah agar Allah swt terus memberi petunjuk dan menjaganya agar dihindari dari bisikan dan pujuk rayu syaitan untuk kembali menagih. Ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat hendaklah sentiasa memberi sokongan dan janganlah biarkan dia menghidu najis dadah lagi untuk selama-lamanya.
RUMUSAN
Demikianlah secebis catatan mengenai rawatan ke atas penagih dadah yang berhasrat untuk berhenti namun kesan pengambilan dadah masih ada dan ingatan pada dadah terus kuat. Ruqyah dan penggunaan bahan perlu dilakukan serentak. Penagih itu pula hendaklah sentiasa istiqamah kerana usaha berhenti dan melupai dadah adalah sebuah jihad. Apa yang dikongsi di sini adalah sebahagian besarnya adalah pengalaman sendiri dan pengalaman rakan-rakan perawat selain bimbingan guru-guru yang pernah saya temui. Semoga kaedah yang dikongsi dalam tulisan yang ringkas ini dapat dimanfaati atas izin dan kehendak Allah jua.
SEKIAN, TERIMA KASIH.
Dr Abdullah Yusof
(EXCO/Ahli GPMM No: GI-0007)

