Batuk oh batuk
PENDAHULUAN
Ramai yang menghidapi masalah batuk dan hampir tiada seorangpun yang tidak pernah mengalami gejala ini dalam hidup mereka. Baik bayi, kanak-kanak, remaja, orang dewasa sehingga yang berusia lanjut, batuk sering dialami baik batuk biasa mahupun batuk kronik sehingga memuntahkah darah atau objek tertentu termasuk kahak hijau, lendirdan bahan pepejal tertentu. Terdapat juga batuk sehingga menyebabkan seseorang itu pengsan. Dalam perubatan alopati, batuk adalah gangguan pada paru-paru yang berpunca dari faktor perubahan cuaca atau iklim, pencemaran udara, menyedut bahan beracun seperti asap rokok, mencium bau-bauan tertentu, memakan atau meminum makanan tertentu, alergik dan lain-lain yang menimbulkan ketidakselesaan di tekak, tenggorok, paru-paru dan dada.
Dalam perubatan Islam, batuk sering dikategorikan kepada dua iaitu batuk fizikal dan batuk kerana gangguan misteri. Batuk bukan sahaja menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan kepada penderitanya bahkan boleh menyebabkan gangguan bunyi kepada orangyang berada di sekitarnya khususnya jika batuk berterusan sampai ke malam. Pada era pandemik sekarang, batuk dikaitkan dengan salah satu gejala pada pesakit positif covid. Jika disyakki ia berpunca dari virus corona betina, maka segeralah dibawa ke hospital untuk membuat pemeriksaan dan rawatan lanjut. Kertas ringkas ini akan membicarakan perihal gejala yang sering dihadapi dan bagaimana metod ruqyah dan penggunaan bahan alami boleh digunakan untuk mengatasi batuk selain pengambilan ubat-ubatan sintetik.
JENIS-JENIS BATUK
Umumnya batuk terbahagi dua iaitu batuk kerana penyakit fizikal (medis) dan batuk kerana gangguan misteri. Satu lagi kategori yang sering terlepas pandang ialah berpunca dari kedua-duanya serentak. Misalnyapesakit memang terkena jangkitan kuman, bakteria atau virus di paru-paru namun pada masa sama penderita mengalami masalah gangguan misteri.
Gangguan misteri ini sering dikaitkan dengan batuk setelah pesakitdirujuk kepada pakar di klinik atau hospital dan berbagai kaedah diagnosis dilakukan. Namun ada kalanya, masih tidak dapat dikenalpasti puncanya walaupun pelbagai ubat dan pantang larang diamalkan. Kadang-kadang batuk hanya terjadi pada waktu-waktu tertentu atau ketika berada di sesuatu tempat tertentu atau ketika bertemu orang tertentu. Lebih memelikkan lagi sekiranya dia secara tiba-tiba sembuh tanpa mengambil sebarang ubat-ubatan dan kemudiannya berulang kembali beberapa minggu atau tahun kemudiannya.
Gangguan misteri boleh berpunca dari beberapa faktor seperti:
- Gangguan jin dan syaitan.
- Gangguan sihir penyakit
- Gangguan penyakit`ain
- Gaangguan susuk
- Gangguan saka
Kelima-lima faktor tersebut boleh menyebabkan pesakit mengalami gejala batuk yang kronik dan boleh membawa maut jika lewat mendapat rawatan. Kebiasaannya, pesakit gangguan misteri bukan sahaja menyebabkannya batuk bahkan disertai beberapa masalah lain seperti gatal-gatal, bengkak, lebam, susah tidur dan lain-lain sehinggalah masalah mental seperti depresi, anxiety dan panic attack. Punca gangguan misteri yang mencetuskan gejala batuk perlu didiagnos terlebih dahulu oleh perawat untuk mengenalpasti punca sebenar sebelum menentukan kaedah rawatan yang sesuai. Begitu juga pemilihan ayat-ayat ruqyah yang tepat dan sesuai mengikut jenis gangguan yang dialami.
KAEDAH RAWATAN DAN PENGGUNAAN BAHAN
Untuk rawatan batuk biasa, kaedahnya adalah seperti berikut:
- Habbatussawda’. Nama botaninya ialah nigella sativa dan black seed.Ia juga dikenali sebagai habbatul barakah, jintan hitam dan lain-lain Berdasarkan hadith Nabi saw, ia memberi petunjuk bahawa habbatussawda’ adalah ubat dan penawar penyakit. Selain diambil dengan mengunyahnya begitu sahaja, adalah lebih sesuai menggunakan minyaknya yang perlu diminum 3 kali sehari disertai ruqyah tertentu.
- Madu. Selain madu lebah, madu kelulut dikatakan memiliki khasiat tertentu yang boleh diminum 3 kali sehari sekiranya minyak habbatussawda’ atau madu lebah sukar diperolehi. Madu boleh dicampur bawang merah yang ditumbuk lumat dan boleh juga diperah sedikit asam limau nipis atau limau jebur yang dikerat lentang. Bagi pesakit santau jangan sesekali ambil apa jua jenis limau.
- Pati gamat. Ia pilihan terbaik dari sumber hidupan akuatik dan juga boleh diminum 3 kali sehari.
- Minyak ikan linang. Ia juga sebagai pilihan dari sumber air tawar dan mengambilnnya dengan cara diminum setelah dicampur sedikit air suam dan selebihnya digosok pada leher (bukan leher perawat, ya).
- Kuning telor. Ambil 3 biji telor ayam kampung yang hidup bebas dan bukan dari reban@gok dan diminum sekali gus.
- Cuka. Cuka biasa atau cuka nipah boleh diminum 1 sudu setiap hari. Awas, jangan terminum cuka getah sudahlah.
Bagi batuk kronik atau batuk yang mengeluarkan darah, rawatannya ialah:
- Asahlah kira-kira sebesar dua jari tulang ikan duyung pada pantat genok atau belakang pasu, dengan bercampur sedikit air dan diminum 3 kali sehari.
- Lemak ikan duyung juga boleh diminum bersama-sama segelas air suam yang dicampur kuning telor ayam kampung pada waktu pagi.
- Daun pokok peria juga boleh diambil kira-kira secekak, ditumbuk dengan lesung batu dan diperah airnya untuk diminum.
- Ambil getah buah betik yang masih hijau (seakan hijau PAS) dan dicampur sesudu madu lebah lalu diminum pagi dan petang.
- Pantang bagi pesakit batuk berdarah ialah memakan sebarang jenis tepong@kuih yang menggunakan pulut, lebih-lebih lagi yang bercampur santan seperti lemang dan pulut lepa, khususnya pesakit gangguan santau. (Rujuk petua DS).
Bagi penderita batuk kering atau TB (Tuberculosis) yang mengalami gejala dan tanda seperti kekeringan pada mulut dan tenggorok, penurunan berat badan yang drastik, lemah, demam, batuk berdarah, sakit ruang dada, hilang selera makan, berak berdarah, sakit ketika inzal (keluar mani) dan lain-lain, maka caranya ialah:
- Susu kambing kacang (spesis ini banyak diternak di Indonesia) segar diminum 3 kali sehari.
- Isi ketam (terbaik ketam nipah) dimakan secara merebusnya dan dimakan isinya serta dihirup air rebusan tadi (kaedah ini juga baik untuk pesakit demam denggi berdarah).
- Daging landak (bukan landak laut)dimasak samada dibuat rendang atau kari. Namun elok dipanggang sahaja dan diberi makan 2 kali sehari.
- Daging rusa liar dan caranya sama seperti daging landak.
- Pati @ ibu gamat boleh diminum 2 sudu 3 kal i sehari.
PERHATIAN
Batuk ada yang ringan dan boleh sembuh dengan meminum ubat atau sirap batuk atau menjaga pantang. Ada juga yang mengalami batuk kronik secara berpanjangan sampai bertahun-tahun lamanya. Kaedah atau petua di atas merupakan sebahagian yang sempat dikongsikan di sini. Ia merupakan hasil tajribah, pengalaman, sumber daripada herbalis dan ahli zoologi selain catatan dalam kitab-kitab, nota kuliah dan petua-petua. Hampir kesemua petua di alam Melayu diambil dari peradaban luar termasuk dari kitab-kitab perubatan Islam lama berbahasa Arab yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu@Rumi oleh para ulamak silam. Dari sumber mana sekalipun, semuanya adalah khazanah alam yang Allah kurniakan untuk manfaat manusia dan makhluk lain. Saya tidak menyenaraikan bahan-bahan berbentuk artifak, arkofak, batuan dan mineral lainnya kerana bimbang boleh menimbulkan salah faham.
Seperti yang diketahui, terdapat beberapa etika tertentu semasa pengambilan dan memperosesnya seperti membaca basmallah, istighfar, ta`awwuz, doa dan zikir lainnya. Contohnya, ketika mengambil spesis tumbuhan, hendaklah menghadap arah qiblat, basmallah dan selawat ke atas Nabi Muhammad saw dan Nabi Ilyas a.s. Bahagian yang diambil hanya sekadar diperlukan sahaja kecuali pokok yang perlu ditebang atau digunakan keseluruhan bahagian pokok untuk satu-satu rawatan. Begitu juga bacaan ruqyah tertentu ke atas pesakit tertentu yang perlu dibaca oleh peruqyah dan pesakit pula perlu dibimbing untuk membaca sendiri di rumah. Saya cuma menyentuh sebahagian metod dan bukannya teknik rawatan kerana setiap perguruan memiliki teknik masing-masing untuk rujukan.
RUMUSAN
Demikianlah tulisan ringkas berkenaan batuk yang sering dialami oleh manusia khususnya batuk kronik yang berpunca dari gangguan misteri. Bagi yang sudah mengetahui dan mengamalkan kaedah-kaedah seperti di atas, teruskanlah. Bagi sesiapa yang belum dan berhajat serta ingin mengambilnya atau mengamalkannya, silakanlah. Saya sedia mengijazahkannya asalkan ada keikhlasan di hati kerana ilmu itu milik Allah dan manusia hanya mampu menyampaikan sedikit daripadaNya, sekadar apa yang diketahuinya sahaja.
TERIMA KASIH.
Dr Abdullah Yusof
(EXCO/Ahli GPMM No: GI-0007)

