Ikhtiar menemukan orang hilang
a) MUQADDIMAH
Ramai orang yang dilaporkan hilang dalam tempoh yang lama tiba-tiba muncul atau kembali ke pangkuan keluarga. Ada yang terpisah dari keluarga asal dan dipelihara oleh orang lain dan kemudian dipertemukan kembali. Ada juga kes pemerdagangan orang, dijual atau diserahkan kepada individu lain sejak masih bayi atau masih kanak-kanak yang kemudiannya dipertemukan dengan ibubapa kandung. Ada juga orang yang hilang entah di mana akibat tahanan seperti kes tenaga buruh yang dipaksa bekerja membina landasan keretapi di Burma sewaktu pendudukan Jepun dahulu. Sebahagian yang hilang itu dijumpai semula dan sebahagian lagi tidak diketahui samada masih hidup atau telah meninggal dunia. Selain kes kehilangan pesawat MH370, antara kes terbaharu yang berprofil tinggi di negara ini ialah kehilangan seorang peserta larian yang mengambil bahagian dalam satu acara di Gopeng, Perak dan sehingga kini (semasa artikel ini ditaip) usaha mencarinya masih menemui jalan buntu. Iktiar di sini ialah agar orang hilang itu diketemukan kembali dan soal dia sudi kembali atau balik ke pangkuan keluarga hendaklah disusuli dengan usaha lain secara berterusan.
Kertas ini akan mengulas beberapa perkara berkaitan iaitu;
a) Apa yang hilang.
b) Punca hilang.
c) Bagaimana seseorang boleh hilang, dan
d) Ikhtiar menemukan orang hilang.
Selanjutnya penjelasan berhubung asas ikhtiar bagaimana untuk memohon seseorang yang hilang itu dikembalikan oleh Allah swt kepada tuan atau pemiliknya. Bagaimanapun usaha atau ikhtiar ini boleh diperluaskan kepada apa jua jenis kehilangan setakat mana ianya berkaitan.
Saya suka menyentuh tentang usaha dan ikhtiar yang boleh dilakukan oleh pengamal perubatan Islam, itupun setelah khidmat mereka diminta atau diperlukan. Boleh atau tidak seseorang pengamal menawarkan perkhidmatan?.
Berdasarkan etika, seseorang pengamal tidak sepatutnya menawarkan perkhidmatan atau mengiklankan atau mempromosikan perkhidmatan kepada orang ramai secara berlebih-lebihan kerana dibimbangi terdapat unsur-unsur kepentingan peribadi berbanding usaha membantu orang yang dalam kesusahan atau kesulitan.
Tidak mengapa jika sekadar memberitahu tentang wujudnya perkhidmatan tersebut. Namun sekiranya terdapat unsur-unsur perniagaan dan memberi pula keyakinan kepada masyarakat bahawa perkhidmatannya adalah berkesan dengan jaminan kejayaan tertentu sepertimana kebiasaan promoter produk pengguna, maka hal seperti itu wajar dielakkan. Sekiranya terjadi sedemikian, ianya boleh menimbulkan fitnah dalam masyarakat, apatah lagi sekiranya perkhidmatan yang diberikan itu menemui jalan buntu sedangkan orang ramai telah mengeluarkan wang yang banyak untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan Islam. Berikut adalah ringkasan berhubung kehilangan, iaitu:
b) APA YANG HILANG
- Kehilangan ahli keluarga atau orang yang disayangi.
- Kehilangan bayi ketika mamsih dalam kandungan.
- Kehilangan memori atau ingatan secara tiba-tiba.
- Kehilangan haiwan peliharaan atau ternakan atau hasil pertanian.
- Kehilangan kenderaan termasuk pesawat atau jentera.
- Kehilangan barang kemas atau aksesori.
- Kehilangan barang dagangan atau perniagaan.
- Kehilangan barangan atau dokumen peribadi.
- Kehilangan perkakas rumah, peralatan kerja dan lain-lain.
c) PUNCA HILANG
- Terlupa, nyanyuk atau hilang ingatan.
- Salah letak atau kecuaian sendiri.
- Perbuatan atau angkara jahat manusia.
- Perbuatan sihir yang melibatkan jin dan syaitan.
- Angkara makhluk halus.
- Mangsa kecurian, samun, rompak, ragut dan sebagainya.
- Perbuatan penjenayah siber.
D) BAGAIMANA SESEORANG BOLEH HILANG
- Lari dari rumah dengan sengaja.
- Dilarikan atau diculik.
- Hilang dari sesebuah tempat tanpa disedari.
- Hilang dalam perjalanan ke sesuatu lokasi.
- Hilang ketika melakukan aktiviti luar.
- Hilang secara tiba-tiba dari pandangan.
- Hilang dari tahanan/penjara.
- Tersesat.
- Dimakan atau dibaham binatang buas.
- Malapetaka atau bencana alam.
- Kemalangan tanpa diketahui lokasinya.
- Akibat merajuk atau persengketaan dengan individu lain.
- Ingin melarikan diri dari kehidupan normal.
- Melakukan amalan dan ritual untuk memasuki alam ghaib.
e) IKHTIAR MENEMUKAN ORANG HILANG
Orang hilang yang dimaksudkan di sini ialah tidak kira samada dia sengaja menghilangkan diri, dilarikan oleh pihak tertentu, disembunyikan atau kehilangannya itu berpunca dari permainan makhluk halus. Mungkin juga dia terlantar di sesuatu tempat dan tidak menemui jalan pulang. Tidak kiralah dia masih berada di alam realiti mahupun telah berada dalam dimensi alam ghaib. Persoalan timbul, adakah ikhtiar ini hanya untuk orang Islam yang hilang atau tidak kira dia penganut agama apa termasuk atheis. Suka saya menyatakan di sini bahawa dalam usaha rawatan Islam kita hendaklah membantu sesiapa sahaja tidak kira dia muslim atau sebaliknya kerana semua mereka adalah makhluk Allah swt dan usaha merawat juga sebenarnya adalah salah satu bentuk dakwah.
Kita hendaklah mempastikan khidmat yang diberikan itu adalah selari dengan tuntutan aqidah dan syariat Islam, ertinya yang diredai oleh Allah swt. Jangan semata-mata atas nama ikhtiar, maka semuanya boleh. Terdapat beberapa jenis kaedah atau cara dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk menemui atau mengembalikan orang hilang ke pangkuan keluarganya. Antara ikhtiar yang terdapat dalam masyarakat ialah:
1) Menerusi tilikan bomoh/dukun/kahin/arraf semata-semata.
2) Menerusi khidmat jin khadam seperti hala/hantu raya.
3) Menerusi khidmat guru spiritual agama-agama selain Islam.
4) Menerusi pencarian secara tradisi melibatkan orang kampung.
5) Menerusi bantuan anggota pencari dan penyelamat atau pasukan keselamatan.
6) Menerusi bantuan atau khidmat pengamal perubatan Islam.
Tulisan ini tidak sesekali bermaksud untuk menyinggung atau mengkiritik sebarang kaedah dan teknik termasuk prosedur yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang mencari dan menyelamat orang hilang. Saya percaya sebahagian mereka juga turut memohon dan berdoa termasuk solat hajat kepada Allah swt agar misi pencarian mereka berjaya dan Allah menunjuki mereka jalan. Antara pendekatan atau langkah yang boleh dilakukan menurut perspektif perubatan Islam ialah:
- Bacaan Surah Yasin (7 mubin).
- Zikir dan doa selamat.
- Solat sunat hajat khas.
- Doa kembalikan orang hilang.
- Doa pembuka hijab.
- Doa penghindar gangguan manusia dan makhluk halus.
- Doa keselamatan.
- Amalan teknik ittiham dan istilham (di lokasi kejadian).
Bacaan zikir, doa dan teknik yang disenaraikan di atas hendaklah dirujuk kepada para perawat yang berpengalaman atau mengunjungi pusat-pusat pengubatan Islam berhampiran anda untuk mendapatkan bantuan, tunjuk ajar atau bimbingan sebelum sebarang langkah diambil.
Kesimpulannya, kes orang hilang adalah sesuatu yang memilukan, menyedihkan dan mendatangkan situasi panik sehingga menimbulkan tekanan emosi dan psikologi kepada ahli keluarga mangsa. Sekiranya insiden tersebut terjadi, maka buatlah laporan polis terlebih dahulu dengan segera untuk diambil tindakan selanjutnya. Pada masa yang sama, ahli keluarga mangsa hendaklah sentiasa berdoa dan berikhtiar dengan memohon pertolongan Allah swt. Di samping itu dapatkan bantuan daripada mana-mana pihak yang berpengalaman dan mengetahui kaedah untuk menanganinya sesuai dengan Islam. Yakinlah bahawa Allah swt akan mendengar dan memakbulkan permohonan kita dengan syarat kita meletakkan sepenuh-penuh pengharapan terhadapNya.
SEKIAN.
Nukilan,
Dr Abdullah Yusof (abdy@GPMM)
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)
21.6.2020 jam 6.30 pm.