Kepentingan kaunseling dalam terapi ruqyah

Dunia peruqyahan turut melibatkan komunikasi dan pengucapan antara pengamal perubatan dan pesakit, bahkan melibatkan juga anggota keluarga pesakit atau mana-mana individu yang berkaitan. Dalam menyampaikan risalah, Baginda Nabi saw bertindak sebagai muallim, murabbi. muballigh, mursyid dan sebagainya, yang kesemuanya tercantum dalam perutusannya sebagai Nabi dan Rasul. Aspek yang perlu dilihat ialah cara dan teknik baginda berkomukasi dan berbicara dengan orang ramai. Tulisan ini akan menyingkap betapa pentingnya kaunseling Islam dalam amalan ruqyah dan setiap peruqyah tidak sepatutnya mengabaikan aspek ini.

Petunjuk dari Qur’an dan hadith menjadi asas kepada perkembangan ilmu kaunseling dan juga psikologi yang kedua-dua disiplin tersebut saling melengkapi. Sedar atau tidak, kejayaan seseorang pendakwah, penceramah, penasihat, pembimbing, ahli motivasi dan sebagainya berkait-rapat dengan kemahiran mereka mengaplikasikan ilmu kaunseling dengan berkesan. Setiap profesyen yg melibatkan komunikasi dengan individu lain memerlukan ilmu bantu dan disiplin yang mantap.

Mereka mengaplikasikn panduan dari Qur’an dan hadith yang tercantum di dalamnya ilmu kaunseling. Meskipun ilmu ini dianggap berasal dari Barat, namun sebenarnya konsep dan prinsip-prinsipnya sudah terdapat di dalam Islam. Barat cuma membangunkan disiplin ilmu kaunseling secara tersusun menjadi suatu ilmu tersendiri mengikut acuan Barat, sedangkan mereka sebenarnya menceduknya dari karya sumbangan sarjana muslim terdahulu.

Menurut Mohamed Fadzil (2000) kaunselor ialah seseorang yang mengamalkan kaunseling, berdaftar dan mengenakan apa-apa bayaran mengikut Akta Kaunselor 1998. Namun demikian Prof Suradi Salim menegaskan setiap orang boleh menggunakan pendekatan kaunseling dalam apa-apa bidang kerjaya yang memerlukan komunikasi dengan orang ramai yang bermasalah.

Sejak beberapa dekad lalu, subjek kaunseling dirangka dan diperkenalkan sebagai ilmu yang lebih tersusun. Ilmu ini dikembangkan secara meluas dan diaplikasikan dalam pelbagai bidang kerjaya yang berhubungan dengan orang ramai. Perawat berdepan pesakit yang bukan sahaja mempunyai masalah penyakit fizikal, bahkan ramai yang mengalami masalah emosi, spiritual, psikologi dan masalah kejiwaan atau mental yang rumit.

Perawat juga berhubungan dan berinteraksi dengan orang ramai khususnya pesakit dan kadang-kadang dengan jin dalam sesi dialog. Justeru itulah Almarhum Tuan Guru Haron Din (TGHD) memasukkan subjek kaunseling Islam sebagai subjek wajib dalam silibus pengajian pengubatan Islam Darussyifa’ bersama-sama subjek lain seperti anatomi manusia, teknik CPR, bekam, urutan dan lain-lain sebagai nilai tambah (added value). Dengan itu sekurang-kurangnya perawat mengetahui asas ilmu kaunseling dan mengamalkannya dalam menjalankan rawatan ke atas pesakit. Samada ilmu kaunseling dipelajari secara formal mahupun tidak, sebenarnya peruqyah yang berketrampilan perlu mengaplikasikan ilmu ini dalam sesi rawatan.

Seorang ahli psikologis, psikiatris, ahli motivasi dan lain-lain bahkan pakar rujuk perkahwinan dan kekeluargaan tetap mengaplikasikan pendekatan kaunseling dalam kerjaya mereka. Justeru itu ilmu ini sangat signifikan dan penting bagi seseorang perawat. Apa sebenarnya kaunseling Islam dan perbezaannya dengan kaunseling Barat ?. Pada prinsip asas, kedua-duanya adalah sama namun terdapat beberapa perbezaan tertentu.

Sarjana Barat sudah lama memperdebatkan dan menolak peranan agama dan spiritual dalam lapangan kaunseling sepertimana dinyatakan oleh Richard dan Bergin (2004). Namun akhirnya sarjana bidang psikologi dan kaunseling peringkat antarabangsa menerima aspek spiritual dan agama memandangkan pendekatan yang lebih holistik yang merangkumi iaitu elemen agama dan spiritual adalah penting.

Penerimaan aspek spiritual dan agama dalam kalangan sarjana bidang psikologi kaunseling di peringkat antarabangsa memberi kesan positif kepada perkembangan kaunseling berbentuk agama termasuk kaunseling Islam, khasnya di Malaysia.

Hal ini telah diperkukuhkan lagi apabila American Psychiatric Association telah memberikan pengiktirafan terhadap aspek spiritual dan agama dengan memasukkan kategori spiritual dan agama dalam Diagnostic and Statistic Manual of Mental Disorders (DSM IV) (La Torrre 2002); dalam Nurul Ain, 2006). Langkah ini telah memberikan impak berganda terhadap perkembangan kaunseling agama khususnya Islam. Ini kerana DSM IV menjadi rujukan wajib bagi hampir semua pakar dan pengamal dalam bidang psikologi, psikoterapi dan kaunseling seluruh dunia.

Memandangkan kehidupan manusia semakin kompleks dengan pertambahan pesakit yang mengalami pelbagai masalah mental, para sarjana mula mencari pendekatan lain yang lebih holistik khususnya amalan beragama dan spiritual (Asmah Bee, 2004;262-263). Ini menunjukkan fungsi agama (Islam) adlam penting dalam mewujudkan kesejahteraan diri manusia (Zakiah Darajat (1995).

Konsep kaunseling Islam bukan sekadar melibatkan hubungan antara seorang kaunselor yang terlatih dengan klien yang mempunyai masalah psikologi seperti kemurungan, kecelaruan mental dan kecelaruan personaliti (pesakit kategori ini sering dirujuk kepada pengamal perubatan Islam), bahkan kaunseling Islam melihat bahawa keputusan dan pemilihan klien hendaklah berdasarkan sumber Qur’an, hadith, sunnah Nabi dan ijmak ulama.

Perawat bukan sahaja merupakan pemberi nasihat, bimbingan, bantuan atau pertolongan kepada pesakit untuk sembuh, malah menunjukinya jalan ke arah mencapai kesejahteraan di akhirat. Perawat perlu menggunakan pendekatan kaunseling Islam kerana dia bukan sahaja seorang peruqyah, bahkan menjadi ialah tempat rujukan, rol model dan contoh yang terbaik sebagaimana sabda Rasullah SAW;

‘Sebaik-baik manusia ialah yang bermanfaat kepadamanusia’. (Hadith Riwayat al-Tabrani).
Perinsip asas kaunseling Islam ialah berpaksikan syariat Islam. Dr.Hasan Langgulung (1990) menegaskan bahawa bimbingan dan kaunseling Islam adalah bertujuan mencari keredaan Allah swt sesuai dengan hukum syariat dan memelihara ciri-ciri sistem masyarakat Islam. Beliau turut mencadangkan beberapa intervensi melalui amalan penjernihan jiwa (Hassan Langgulung (1995) dan di antaranya ialah berusaha mengetahui jalan-jalan masuk syaitan ke dalam jiwa dan menghalangnya. Begitu juga mengetahui penyakit-penyakit hati dan menghindarinya.

Sepertimana juga seorang kaunselor Islam terlatih, perawat juga harus memiliki dan mengamalkan sifat-sifat mahmudah (sifat terpuji) dan menghindari sifat-sifat mazmumah (sifat buruk) kerana ia penting untuk kejayaan sesuatu sesi rawatan. Perawat hendaklah berwibawa dan menampilkan sahsiah yang anggun, di samping latar belakang ilmu perubatan Islam yang baik sehingga mampu menjalani terapi ruqyah secara efektif.

Oleh itu seorang perawat yang menggunakan pendekatan kaunseling perlu menguasai ilmu yang berkaitan dengan perkhidmatannya di samping ilmu bimbingan dan kaunseling termasuk berpegang pada etikanya. Seseorang perawat tidak semestinya belajar secara khusus dan memiliki kelayakan akademik bidang kaunseling, dan lulus ujian serta peperiksaan ikhtisas sehingga melayakkan dia bertindak sebagai kaunselor berdaftar. Namun demikian, sesiapa sahaja boleh menggunakan pendekatan kaunseling yang berhubungan dengan bidang kerjayanya. Sekurang-kurang dia mengetahui ilmu asas kaunseling. Topik Kaunseling Islam dalam silibus kursus perubatan Islam Universiti Malaya juga turut dimasukkan, agar ianya kempeten dengan kehendak semasa. Dalam konteks perubatan Islam, adalah disyorkan agar subjek kaunseling turut diajar dalam kursus-kursus rawatan Islam.

Semoga dengan ini, dapat membuktikan bahawa pengamal perubatan Islam berupaya memberi perkhidmatan secara profesional dan berketrampilan. Bukan sahaja bacaan ruqyahnya baik dan lancar, malah tutur bicara dan komunikasinya dengan para pesakit juga berlangsung dalam suasana yang kondusif. Dengan itu, aduan kes-kes pesakit, perawat dan sesama perawat yang bertindak kasar dan tidak sopan dalam berbicara dapat dikurangkan.

SEKIAN.

Nukilan,
Dr Abdullah Yusof
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)

Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Terapi Psikospritual Malaysia (PTPM)
Tanggal 13.6.2020 jam 10.30 am.