LGBT dari sudut pandangan Islam dan sains kesihatan

A) MUQADDIMAH

Artikel ini ditulis bertujuan untuk memberi suatu pencerahan berhubung golongan LGBT iaitu satu akronim yang merujuk kelompok Lesbian, Gay, Biseksual, Dan Transgender serta lingkungan aktiviti seksual mereka yang dianggap menyimpang dari kenormalan. Tandatanya mungkin timbul kenapa golongan Transeksual tidak menyertai akronim LGBT. Selanjutnya akan disentuh senario yang berlaku, kupasan dari sudut Isslam dan sains perubatan, hukum dan dalil berkaitan, punca atau faktor berlakunya dan bagaimana langkah atau solusi yang boleh dicadangkan untuk membendung kesan pengamalan kehidupan mereka dalam masyarakat. Namun demikian perbincangan ini tidaklah lengkap jika tidak menyentuh golongan mukhannath dan khuntha. Berdasarkan pengalaman teman-teman dan pengalaman sendiri, saya percaya pendekatan dan solusi yang sedia ada boleh ditambahbaik untuk mengajak mereka kembali kepada fitrah kejadian dan bagaimana untuk meredai ketentuan Allah swt melalui terapi psikospiritual dan perawatan Islam. Beginilah al-kisahnya.

SENARIO LGBT

Perjuangan manusia menuntut hak kesaksamaan dan agenda memperjuangkan hak asasi mereka termasuk oleh golongan LGBT sudah menjadi pengetahuan umum, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia terutama di negara-negara Barat. Mereka cuba menggunakan pertubuhan sosial atau NGO tertentu termasuk pertubuhan politik dan disokong pula oleh sebahagian para pemimpin dan pengamal undang-undang yang berpengaruh, sehingga mencetuskan kebimbangan umat Islam seluruhnya termasuk di negara ini. Di dalam Islam, jelas mengatakan hak asasi manusia tetap dijamin bahkan Islamlah yang memperjuangkan jaminan hak asasi manusia namun ianya diikat dengan syarat tidak melanggar hukum syarak yang merupakan hak-hak Allah.

Antara perjuangan golongan ini ialah memujuk masyarakat Islam di negara ini untuk menerima kewujudan LGBT. Berdasarkan ciri-ciri, tabiat kebiasaan dan kenderungan golongan ini ke arah pelanggaran hukum syarak secara terang-terangan dan berlebihan, walaupun sesama mereka sendiri, maka masyarakat Islam dilanda kebimbingan tentang penularan gejala tersebut sehingga boleh mempengaruhi kanak-kanak dan generasi muda Islam. Islam secara jelas mengharamkan semua perbuatan mungkar, terlarang dan bercanggah dengan hukum syarak berdasarkan al-Qur’an dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W.

Ahli psikologi dan pakar perubatan psikiatri mengklasifikasikan golongan ini sebagai mereka yang menghidapi ‘Gender Identity Disoder’ dan yang lebih ekstrem adalah golongan ini mempunyai keinginan yang tinggi dan berterusan untuk menjadi seorang yang bertentangan dengan jantina sebenarnya dan menganggap dirinya mempunyai jantina yang bertentangan. Golongan seumpama ini sering dirujuk kepada golongan mak nyah, pondan, tomboi dan sebagainya dengan hanya melihat penampilan mereka sahaja. Seperti golongan normal lain mereka tidak semestinya terlibat dalam gejala maksiat namun mereka dianggap sebagai parasit dalam masyarakat dan kewujudan mereka tidak boleh dibiarkan.

Mereka dianggap mempunyai masalah berkaitan kesihatan mental atau kejiwaan namun terdapat ahli psikologi dan kaunselor yang tidak bersetuju dengan pendapat tersebut. Pemeriksaan dan penyiasatan lanjut seperti ujian darah , ‘scan’ dan sebagainya tidak menunjukkan individu ini mempunyai masalah kesihatan lain. Menurut statistik pada tahun 1998, seramai 10,000 orang termasuk dalam golongan ini di Malaysia dan 70 peratus – 80 peratus adalah berbangsa Melayu.

C) SUDUT PANDANG ISLAM

Berkaitan dengan ini, terdapat laporan kes-kes menukar jantina dalam kalangan mereka baik LGBT, khuntha mahupun mukhannath Justeru itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ugama Islam Malaysia kali ke 25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah mengambil maklum laporan urus setia bahawa Malis Raja-raja dalam mesyuaratnya kali ke 126 pada 24 Februari 1983 dan telah mempersetujui fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia seperti berikut:

“Pertukaran jantina dari lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram di sisi syarak. Seseorang yang dilahirkan lelaki hukumnya tetap lelaki walaupun berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan. Seseorang yang dilahirkan perempuan hukumnya tetap perempuan walaupun berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan.”

Sebenarnya golongan mukhannath adalah berbeza dengan golongan khuntha di dalam Islam. Islam mengiktiraf kewujudan golongan yang dipanggil sebagai khuntha (HERMAEPHRODITES) iaitu orang yang mempunyai dua alat kelamin; lelaki dan perempuan atau lubang khusus yang terdapat pada tempat kemaluan untuk membuang air kecil. Dalam hal, ia tidak berkaitan dengan alat pembungan air besar. Khuntha disentuh dalam tulisan ini kerana adakalanya mereka terjebak dalam aktiviti golongan LGBT.

Golongan mukhannath (cth: pondan) adalah jelas bertentangan dengan syarak sedangkan kewujudan khuntha adalah diakui oleh Islam. Khuntha ini dibahagikan oleh ulamak fiqh kepada dua jenis iaitu khuntha wadih dan khuntha musykil.

a) Kategori khuntha wadih ialah khuntha yang nyata memiliki tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan dan dapat dibezakan samaada dia lelaki ataupun perempuan semasa masih bayi oleh warisnya. Ini dikesan melalui pemerhatian sifat dan ciri alat kelamin tersebut atau berdasarkan dari alat yang mana satu keluar air kencing terlebih dahulu ketika berkencing. Jantina dapat dikenalpasti dengan jelas berdasarkan alat yang mana lebih dominan atau lebih berfungsi berbanding dengan yang satu lagi.

b) Khuntha musykil @ ketidaktentuan pula adalah individu yang mempunyai dua alat kelamin dan air kencingnya keluar serentak dari kedua-dua alat berkenaan dan identiti jantinanya sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan setelah baligh.

Status musykil ini hilang apabila dapat ditentukan dari mana tempat mula keluar air kencing atau sekiranya keluar dari kedua-dua saluran, kuantiti air kencing dari saluran mana yang paling banyak keluar atau dikira yang paling akhir berhenti. Hal ini hendaklah dipastikan secara konsisten. Selain itu, jantina mereka juga boleh ditentukan setelah baligh dengan tanda-tanda yang dikenal pasti sama ada memiliki ciri-ciri kewanitaan (seperti datang haid) atau kelelakian seperti tumbuh janggut dan misai.

Dalam kes ketidaktentuan jantina seperti ini, syarak memberi pengecualian kepada golongan khuntha musykil untuk menentukan jantina melalui pembedahan dengan syarat disokong oleh keterangan pakar perubatan bidang tersebut. Kelonggaran adalah khusus sebagai ‘maslahah’ atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu menjalani kehidupan secara normal dan melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam dengan lebih sempurna.

Ulamak pada umumnya berpandangan bahawa membuat pembedahan jantina bagi khuntha musykil adalah dibenarkan. Adapun pembedahan untuk menukar jantina daripada lelaki kepada wanita atau sebaliknya adalah jelas haram hukumnya iaitu bagi golongan mukhannath (pondan).

Ketua Lujnah Fatwa al Azhar, Syeikh Atiyyah Saqr menyatakan bahawa bagi seseorang lelaki, ada beberapa organ yang dianggap paling penting iaitu zakar, testis dan yang berkaitan dengan kelelakian seperti saluran mani dan prostate serta menunjukkan kelelakian apabila baligh begitu juga dengan perempuan. Beliau membenarkan penukaran jantina bagi khuntha sebaliknya mengharamkan pertukaran jantina bagi mereka yang dilahirkan asalnya sebagai lelaki atau wanita tulen. Ini dinyatakan di dalam Majmaal-Fiqh al-Islamiy, Rabitah al-Alamiy- Fatwa 26 Februari 1989. Berhubung perbezaan antara khuntha dan transgender, Menurut sumber Wikipedia, transgender didefinisikan sebagai:

Transgender people are people who have a gender identity or gender expression that differs from their assigned sex. Transgender people are sometimes called transsexual if they desire medical assistance to transition from one sex to another.

Melalui definisi di atas, perbuatan mengubah jantina asal kepada jantina yang berlawanan dinamakan sebagai transsexual. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, transeksual adalah: (transéksual) seseorang (lelaki atau perempuan) yang berperasaan dan berpenampilan sebagai anggota jantina yang satu lagi, dan kadang-kadang menukar organ jantinanya melalui pembedahan.

Berdasarkan definisi dan ciri-ciri khunsa musykil yang telah dinyatakan tadi, jelas terdapat perbezaan di antara khuntha dan juga transeksual. Khuntha adalah Asl al-Khilqah (penciptaan asal sejak dia dilahirkan) manakala transeksual pula adalah Taghyir al-Khilqah (mengubah ciptaan Tuhan). Perbuatan mengubah ciptaan Tuhan ini jelas dilarang di dalam Islam berdasarkan beberapa nas daripada al-Qur’an dan juga hadith. (Lihat firman Allah S.W.T: Surah Al-Nisa’ (119).

Jelas dari perbincangan di atas, pergerakan dan tuntutan LGBT tidak termasuk di dalam perbahasan ulamak kerana ia sangat jelas bertentangan dengan syarak. Masyarakat perlu memahami perbezaan antara perjuangan LGBT yang jelas ditolak dengan keadilan Islam dalam menyelesaikan masalah khuntha musykil yang berlaku di dalam masyarakat. Namun demikian, golongan khuntha dan mukhannath sering turut digolongkan ke dalam LGBT berdasarkan penglibatan kebiasaan mereka sepertimana golongan LGBT. Maka isu-isu LBGT tidak seharus dipinggirkan dalam perbahasan ulamak.

Islam yang mengamalkan prinsip keadilan, memperuntukkan hak yang sewajarnya kepada golongan khuntha samada dari aspek sosial, ekonomi dan pendidikan. Bagaimanapun, untuk menjalani kehidupan yang lebih sempurna, penentuan jantina sama ada lelaki atau perempuan amat penting.

D) SUDUT PANDANG SAINS KESIHATAN

Setiap warganegara hendaklah memastikan kesihatan awam dalam keadaan yang baik dan terkawal. Bukan sahaja kesihatan tubuh badan individu, dipentingkan bahkan kesihatan masyarakat di sekelilingnya juga perlu dijaga dan terpelihara. Golongan LGBT bukan semuanya melakukan kerja-kerja kemungkaran dan kejahatan namun umum mengenali kebiasaan golongan ini terjebak dalam aktiviti kemungkaran tertentu sehingga boleh memberi kesan kepada golongan remaja, kanak-kanak dan sebagainya dan secara tidak langsung boleh mengganggu keharmonian masyarakat. Tiada sebarang penakrifan yang terperinci berhubung LGBT oleh para ulamak, namun dalam bidang perubatan, perbahasannya lebih kompleks berbanding perbahasan para ulama terdahulu.

Masyarakat perlu mencapai taraf kesihatan yang baik secara fizikal, mental, spiritual mahupun lingkungan sosial sehingga membolehkan setiap orang menjalani aktiviti hidup secara produktif dan positif dalam pelbagai aspek. Begitu juga kesihatan jiwa dan mental perlu dipertingkatkan sehingga setiap individu dengan keupayaan yang ada dapat pula mengatasi segala tekanan hidup, menjalankan pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara. Orang yang mempunyai masalah kejiwaan adalah juga menghadapi masalah fizikal, mental, sosial, pertumbuhan dan pengembangan kualiti hidup sehingga seseorang itu berisiko menghadapi masalah gangguan jiwa. Inilah yang sedang dihadapi oleh sebahagian besar golongan LGBT hari ini.

Sekiranya hal ini berterusan, ia akan menambahkan lagi beban gangguan fikiran, perilaku dan emosi atau perasaan yang kronik sehingga menimbulkan penderitaan dan tekanan dalam menjalankan fungsi sebagai seorang manusia dalam lingkungan sosialnya. Berdasarkan diagnosis gangguan jiwa ke atas ramai pesakit, mendeskripsikan gangguan psikoseksual atau kelainan seksual adalah sebenarnya gangguan dalam aspek seks yang disebabkan oleh faktor kejiwaan yang meliputi antara lain;

1). Difungsi seksual yang bukan disebabkan oleh gangguan atau penyakit organik, malah sindrom perilaku yang berkaitan dengan gangguan fisiologis dan faktor fizikal.

2). Gangguan Identiti Jenis Kelamin iaitu meliputi gangguan keperibadian dan perilaku masa dewasa meliputi:

a) TRANSEKSUALISME iaitu penolakan jenis kelamin anatomisnya dan merasa irihati dengannya, tidak peduli samada dia dibesarkan sebagai lelaki atau wanita. Identiti gendernya berlawanan dengan jenis kelamin biologisnya dan berhasrat untuk hidup dan diterima sebagai salah satu anggota dalam kelompok lawan jenisnya. Misalnya sekiranya dia lelaki secara biologis, namun secara psikologis dia adalah sebagai perempuan, maka dia akan tertarik pada lelaki, tetapi bukan bererti dia seorang homosex. Ini dapat disimpulkan bahawa seseorang itu memiliki kelamin fiziknya yang bertentangan dengan kelamin psikologisnya.

Dalam situasi seperti ini dia mungkin berkeinginan untuk mendapatkan Terapi Hormonal dan pembedahan untuk menjadikannya mirip dengan tubuh jenis kelamin yang diinginkan. Justeru itu dia turut mengidamkan melakukan operasi pada tubuhnya (Genitalia, buah dada, kulit, wajah dan lain-lain) agar sesuai dengan identiti gender yang diinginkannya.

b. TRANSVESTISME – iaitu perlakuan individu, bukan kelompok seperti mengenakan pakaian lawan jenisnya dengan tujuan untuk penampilan dirinya bagi menikmati atau melalui pengalaman sebagai anggota lawan jenisnya. Namun dia tidak berhasrat untuk mengubah genitalnya secara kekal menerusi pembedahan, sekadar dapat memiliki rangsangan seksual ketika mengenakan kostum lawan jenisnya.

c. GANGGUAN IDENTITI JENIS KELAMIN iaitu perasaan yang muncul sejak kanak-kanak atau pra sekolah sebelum mencapai remaja lagi. Dia keliru dan berkeinginan untuk menjadi seperti kelamin lawan jenisnya atau benar-benar yakin dia adalah begitu. Namun dia tetap menolak beraksi, berpakaian dan perilaku seperti lawan jenisnya. Dia juga tidak mengalami rangsangan seksual jika mengenakan pakaian lawan jenisnya. Kanak-kanan sebegini akan menafikan dia mengalami gangguan, walaupun tertekan dengan konflik dan keinginan ahli keluarga, rakan sebaya atau teman sekolah yang adakalanya mengejeknya agar kembali ke fitrah kejadian.

d. GANGGUAN PREFERENSI SEKSUAL iaitu gangguan arah tujuan seksual atau disebut sebagai penyimpangan. Arah kecenderungan bukan kepada orang yang berlainan jenis kelamin dan ini termasuk dalam hubungan yang dinamakan sebagai hubungan heterokseksual. Bila seseorang mengalami gangguan ini, cara utama untuk mendapatkan rangsangan dan kepuasan seksual adalah dengan memberi perhatian atau kasih sayang terhadap objek lain yang bukan hidup seperti alat mainan kanak-kanak, buah-buahan atau sayuran tertentu. Misalnya ada yang berkeinginan terhadap objek mati seperti pokok atau kenderaan lalu berkahwin dengannya bahkan ada yang berkahwin dengan jambatan sebab nalurinya yang kuat terangsang apabila melihat objek besar tersebut.

e. GANGGUAN PSIKOLOGIS DAN PERILAKU. Ini berkaitan dengan perkembangan dan orientasi seksual seperti berikut:

i. Gangguan Maturitas Seksual akibat ketidakpastian atau tiada kematangan tentang identiti jenis kelaminnya atau orientasi seksualnya sehingga dapat menimbulkan anietas atau depresi. Contohnya remaja yang tidak dapat mengenalpasti atau keliru apakah dia seorang homoseksual, heteroseksual atau biseksual dalam orientasi seksualnya.

ii. Orientasi Seksual Ego-Distonik- ciri gangguan ini ialah seseorang tidak meragukan identiti jenis kelamin atau prefensi/kecenderungan seksualnya, tetapi dia berharap terjadi orientasi lain. Hal ini disebabkan oleh gangguan psikologis dan perilaku. Ini termasuk gangguan orientasi seksual atau homoseksualiti yang egodistonik, iaitu keadaan seseorang yang menunjukkan perilaku seksual yang terarah kepada orang-orang yang sejenis. Bila dia tidak terganggu dengan situasi itu, maka disebut gangguan orientasi seksual atau homoseksualiti yang egosintonik. Bila seseorang sudah berkali-kali menunjukkan perilaku homoseksual, maka biasanya sudah terbentuk suatu pola homoseksual, biarpun hal ini tidak dianggapnya sebagai pilihan utama. Ertinya hal ini tidak konsisten pada dirinya.

Istilah homoseksualiti biasanya merujuk kepada lelaki dan lesbianisme pula untuk wanita. Bila terjadi dalam masa yang sama perilaku homoseksual dan dia juga menunjukkan perilaku heterokseksual maka dia di sebut BISEKSUAL. Dalam hal demikian maka orang itu mungkin lebih banyak homoseksual/lisbianisme atau lebih banyak heterokseksual.

iii. Gangguan Hubungan Seksual: Iaitu seseorang yang mengalami kesulitan dalam membentuk dan memelihara jalinan atau relasi seksual lantaran dia mempunyai gangguan identiti jenis kelamin atau gangguan prefensi seksual.

E) ISU PENGGUNAAN AKRONIM LGBT

Berkaitan akronim LGBT, istilah LGBT digunakan untuk semua orang yang tidak heteroseksual, bukan hanya homoseksual (gay), lesbianisme, biseksual, atau transgender. Mungkin juga akronim LHBT lebih tepat dalam hal ini. Maka dari itu, seringkali huruf Q ditambahkan agar QUEER (istilah payung untuk minoriti seksual) dan orang-orang yang masih mempertanyakan identiti seksual mereka juga diwakili. Contohnya akronim LGBTQ atau GLBTQ, sudah mula dikenali dan tercatat semenjak tahun 1996.

Istilah LGBT bagaimanapun lebih popular dan kerap digunakan untuk penonjolan diri golongan tersebut. Istilah ini juga diterapkan oleh masyarakat dan media yang berasaskan identiti seksualiti dan gender di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah lainnya. Tidak semua kelompok yang disebutkan setuju dengan akronim ini kerana terdapat beberapa orang dalam kelompok yang disebutkan merasa tidak berkaitan dengan kelompok lain dan tidak menyukai penyeragaman ini (akronim LGBT).

Ramai orang menyatakan bahawa pergerakan transgender dan transeksual itu tidak sama dengan pergerakan kaum LGB. Gagasan tersebut merupakan sebahagian dari keyakinan “SEPARATISME LESBIAN & GAY”, yang meyakini bahawa kelompok lesbian dan gay harus dipisahkan antara satu sama lain. T mungkin boleh merujuk kepada salah satu; transgender atau transeksual atau kedua-duanya sekali. Ada pula yang tidak peduli kerana mereka merasakan bahawa akronim LGBT itu sebagai keputusan politik, yang merupakan satu usaha untuk mengkategorikan berbagai kelompok sebagai satu, yang dengan penggunaan akronim ini menandakan bahawa isu, perjuangan dan prioriti kelompok yang diwakili diberikan perhatian yang setara. Pada suatu ketika, kaum interseksual ingin dimasukkan ke dalam kelompok LGBT untuk membentuk LGBTI (digunakan sejak tahun 1999). Akronim LGBTI kemudiannya digunakan secara resmi seperti dalam The Activist’s Guide of the Yogyakarta Principles in Action.

Dalam buku Pedoman Penggolongan dan Diagnosis Gangguan Jiwa di Indonesia (PPDGJ III) edisi 1993 Departemen Kesehatan RI pada halaman 288 tercantum catatan berikut: Orientasi seksual sendiri jangan dianggap sebagai suatu gangguan. Dinyatakan juga bahawa yang termasuk orientasi seksual adalah heteroseksualitas, homoseksualitas dan biseksualitas yang kesemuanya tidak boleh dianggap sebagai gangguan jiwa. Ditulis juga pada halaman yang sama bahawa meskipun bukan suatu gangguan jiwa, seseorang LGBT dapat menimbulkan penderitaan kerana ketidakpastian tentang identiti jenis kelaminnya atau orientasi seksualnya yang menimbulkan kecemasan, stres dan depresi. Dalam masa yang sama, tanpa menyinggung aspek psikologi, Menteri Agama, Lukman Hakim Saifuddin mengatakan bahawa Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transeksual (LGBT) tidak dapat diterima di bumi Indonesia sama seperti di negara kita Malaysia. Negara hanya mengakui pernikahan yang dilakukan menurut hukum agama sebagai dasar pembentukan institusi keluarga.

Justeru itu, maka isu kebebasan yang dicanang dan dituntut oleh kalangan yang menamakan diri mereka sebagai golongan LGBT tidak dapat diterima dalam masyarakat Islam di mana-mana negara-negara Islam. LGBT bukan sahaja bertentangan dengan semua agama malah boleh menghancurkan kemanusian. Namun demikian, masyarakat tidak perlu memusuhi, mengejek atau memperlakukan mereka seperti penjenayah atau tawanan perang, sebaliknya layanilah mereka dengan penuh kasih sayang secara berhemah. Anggaplah mereka sebagai pesakit yang memerlukan perhatian, bimbingan dan pedoman. Sebahagian agamawan pula asyik menyerang golongan LBGT dengan pelbagai label yang buruk di pentas-pentas ceramah dan forum yang kemudiannya ditular di media sosial seolah-olah mereka sudah terjamin masuk neraka. Alangkah elok sekiranya kita dapat menggembelingkan idea dan cadangan dengan penyertaan pakar agama, kaunselor, ahli motivasi, psikologis, psikiatris, ahli perubatan, pengamal undang-undang, pihak NGO dan sebagainya untuk mencari formula terbaik  menghadapi fenomena LGBT. Apa yang terjadi sekarang, sebahagian aktivis agama dan masyarakat mendesak agar hukuman seberat-beratnya dikenakan ke atas golongan tersebut dengan dakwaan mereka mempermainkan agama dan menghina Islam.

F) ANTARA CADANGAN SOLUSI

a) Memperkukuhkan komitmen dengan niat dan tujuan yang ikhlas untuk membantu golongan LGBT dalam aspek-aspek yang mereka perlukan selagi tidak bercanggah dengan undang-undang dan hukum agama Islam.

b) Mewujudkan kerjasama dan kolaborasi dengan pihak-pihak yang berkepakaran untuk menyusun pelan tindakan dan strategi jangka pendek dan jangka panjang dalam usaha membantu mereka dari sudut fizikal dan kerohanian.

c) Memberi khidmat nasihat dan bimbingan secara berkala dan berterusan dengan menerusi modul latihan yang efektif dan bersepadu.

d) Memberi kefahaman dan dorongan kepada waris atau ahli keluarga mereka agar menerima mereka sebagai sebahagian dari ahli keluarga yang tidak boleh dipinggirkan dan menerapkan amalan tazkiyatunnafs dalam kehidupan berkeluarga.

e) Mematuhi jadual pertemuan dengan kaunselor, psikologis atau mana-mana pembimbing kerohanian yang telah disusun.

f) Pelaksanaan program di atas hendaklah mendapat kerjasama dan sokongan baik dan berterusan dari pihak berkuasa kesihatan/perubatan, pihak berkuasa agama negeri dan persekutuan dan mana-mana pihak yang berkaitan.

g) Menubuhkan satu jawatankuasa pemandu di peringkat kementerian untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan program berkaitan serta menyediakan dana yang mencukupi untuk pelaksanannya.

Kesimpulannya, manusia dilengkapi oleh Allah swt dengan anggota jasad, ruh, akal, qalbu, nafsu dan lain-lain. Manusia bukan hanya berdiri dengan jasad yang sihat tetapi qalbu juga mesti sihat. Bukan sekadar mengukur aspek fizikal, fisiologis dan anatomis untuk penentun jantina bahkan juga kena melihat aspek rohani, emosi dan psikologisnya.

Tahap kesihatan kedua-dua aspek rohani dan jasmani hendaklah seimbang dan harmoni dan jika ini dicapai, maka akan lahirlah manusia yang sempurna, normal, berakal sihat dan dapat pula menjalani tuntutan hidup sebagai hamba Allah swt di muka bumi ini.

Ramai yang ingin kembali ke fitrah kejadian dan memperbetulkan kesilapan lalu, namun tidak ramai yang sanggup membantu dan menyantuni mereka. Ketika itulah iblis dan syaitan menjalankan strategi licik untuk menghalang niat suci mereka. Pergi umrah pun dilabel dengan pelbagai tohmahan bahkan menganggap mereka sebagai golongan yang tidak diredai Allah untuk mengunjungi rumahNya dan tidak layak bertaubat kepadaNya. Bahkan Pandemik Covid19 pun dikatakan sebagai akibat sumpahan dan bala Allah lantaran kunjungan mereka ke tanah suci.

Memang kekurangan jasmani mudah untuk diperbetulkan menerusi operasi genetalia, buah dada, kulit, wajah dan lain-lain dan juga menerusi terapi hormone sesuai dengan gender yang diinginkan, namun bagaimana pula masalah kejiwaan, rohani, emosi dan psikologisnya. Di sinilah pentingnya melihat rawatan ke atas golongan LGBT dibuat secara holistik. Cuba berfikir sejenak dan bayangkan sekiranya tiba-tiba suatu nanti muncul dalam kalangan ahli keluarga terdekat kita, orang yang memiliki kecenderungan sepertimana golongan tersebut dan meningkat ke usia remaja dan seterusnya menginjak dewasa dan membesar sebagai orang yang dilabel sebagai LGBT. Tiada sesiapa yang inginkan hal ini terjadi namun mampukah kita menepis takdir Allah swt. Maka sama-samalah kita berdoa dan memohon agar Allah mengurniakan zuriat yang selamat, sejahtera dan sihat serta dijauhi dari memiliki ciri-ciri dan sifat serta karekter seorang LGBT. Aamin.

Nukilan
Dr Abdullah Yusof,
Exco Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)
abdy@GPMM
4.6.2020 jam 8.50 am.

RUJUKAN

Ball R. (1994) Sexual Problem. In: Bloch S, Sing BS (eds) Foundations of Clinical Psychiatry. Melbourne: Melbourne University Press.

Depkes RI. (1993) Pedoman Penggolongan dan Diagnosis Gangguan Jiwa di Indonesia, III. Cetakan Pertama. Jakarta: Departemen Kesehatan RI Direktorat Jendral Pelayanan Medik.

Green R. (2005) Gender Identity Disorder in : Sandock BJ, Sandock V A(eds) Kaplan and Sandock’s Comprehensive Textbook of Psychiatry. Vol I. eight edition. Philadelphia, Baltimore : Lippincott, Williams & Wilkins.

Sadock VA. (2005) Normal Human Sexuality and Sexual Dyfuctions In: Sandock B j, Sandock V A (eds) Kaplan and Sandock’s Comprehensive Texbook of Psychiatry. Vol I. eight edition. Philadelphia, Baltimore : Lippincott, Williams & Wilkins.

Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri (2017) Hukum Pembedahan Jantina Menurut Syarak, Edaran Pejabat Musti WP, 10 Julai 2017 bersamaan 16 Syawal 1438H.

Al-Nawawi, Raudah al-Talibin (1/283), Hasyiah Ibn Abidin (1/105), Ibn Nujaim, Al-Asybah wa al-Nazhair, (384).

Imam Al-Buhuti, Syarah Muntaha Al-Iradat, (1/150).

Imam Al-Mawardi, Al-Hawi Al-Kabir, (2/340)
Al-Syafie, Al-Umm (1/191).

Al-Imam Al-Shirazi, Al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (4/152).

Al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, (3/132).

Al-Mawardi, Al-Hawi Al-Kabir (2/340)

Al-Suyuti, Al-Asybah wa al-Nazhair, (1/202).

IRSYAD AL- FATWA KE- 202: HUKUM HAKAM BERKAITAN KHUNSA yang diterbitkan pada 10 Julai 2017.

Ibn Abidin, Hasyiah (5/464), Nihayah al-Muhtaj (6/31).

Syeikh Atiyyah Saqr, Majma’ al Fiqh al Islamiy,
Rabitah al-Alamiy- Fatwa 26 Februari 1989.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ugama Islam Malaysia kali ke 25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah mengambil maklum laporan urus setia bahawa Malis Raja-raja dalam mesyuaratnya kali ke 126 pada 24 Februari 1983 dan telah mempersetujui fatwa yang dikeluarkan.

Nota peribadi dan lain-lain.

SEKIAN