Kontroversi — isu Pak Su Mid: dari sudut pandangan membina
Bukankah banyak ayat al-Quran dan hadis menceritakan perkara ghaib? Beriman kepada perkara ghaib tercatat dalam surah al-Baqarah, ayat 3 – 4. Jadi, hendak disanggah di mana lagi?
Majoriti bunian juga adalah Muslim dan mengamalkan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Bezanya, kita tidak nampak mereka kecuali manusia yang dipilih oleh Allah. Manusia masuk ke alam ghaib berlaku pada zaman Nabi, sahabat, tabiin, sehinggalah ke hari ini. Perkara ini tidak mustahil dan tidak pelik. Lihat hadis tentang Khurafah RA yang menceritakan pengalamannya berada beberapa ketika bersama para jin di alam ghaib. Setelah kembali ke rumah, dia menceritakannya kepada orang ramai dan mereka menuduhnya berbohong. Lalu, Nabi SAW datang mengesahkan bahawa cerita Khurafah tadi adalah benar belaka.
Masalahnya, ramai yang mengatakan cerita Pak Su Mid bohong seperti kisah di atas. Itulah, disuruh belajar mendalam tidak mahu, lepas itu mengecam dalam kejahilan. Adakah al-Quran sebuah kitab tahyul kerana banyak menceritakan perkara ghaib? Cuma bagi saya, kisah tersebut tidak wajar diceritakan kepada umum sebab boleh menjadi bola tanggung kepada puak-puak yang jahil tentang alam ghaib, sedangkan percaya kepada alam ghaib adalah wajib. Lihat surah al-Baqarah (ayat 3 – 4). Lihat syarah hadis berkenaan dan tafsir ayat di atas untuk perincian.
Ramai tokoh terkenal dan masyhur dalam dunia Islam mengalaminya, seperti Hassan al-Basri, Wahb bin Munabbih, Sahwan bin al-Mihriz, dan ramai lagi. Rujuk juga riwayat Imam al-Bazzar dan Ibn al-Hayy yang menceritakan jin juga turut bersolat bersama-sama orang beriman.
Masalahnya, agak ramai umat Islam menolak secara total bahawa perkara tersebut adalah mengarut dan tahyul. Padahal, banyak kisah dan athar sahabat menunjukkan jin juga boleh solat berjemaah bersama para wali dan solihin dengan izin Allah, di samping mengikuti kelas-kelas agama di masjid dan surau. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Jika jin pun boleh bersolat bersama-sama manusia, tidak mungkin bunian tidak boleh berbuat demikian. Jadi, apa yang terjadi pada Pak Su Mid bukanlah mustahil, cuma tiada bukti fizikal seperti foto, video, dan audio untuk mengesahkan keberadaannya bersama para bunian dan bersolat tarawih atau solat Jumaat bersama mereka. Jika tidak mahu percaya, tidak mengapa, terpulang. Namun, bagi pengamal pengubatan Islam, hal sedemikian bukanlah asing dan sering diceritakan.
Wallahu a’lam.
Dr. Abdy,
Ahli berdaftar, GPMM

