Konflik perkahwinan: punca dan solusinya
Dalam kehidupan yang serba mencabar hari ini, pasangan suami isteri sering berhadapan dengan pelbagai ujian yang sukar diatasi. Baik pasangan yang baru berkahwin mahupun yang sudah bercucu cicit, tidak terlepas dari ujian yang melanda dan menggoncangkan dengan badai yang sungguh menyakitkan. Ada yang berakhir dengan percersian dan ada yang sempat diselamatkan kerana jodoh masih panjang.
Ada konflik yang melibatkan hanya mereka berdua dan ada yang mengheret sama orang lain seperti ibubapa, mertua, adik beradik, ipar duai bahkan jiran tetangga. Masalah yang meruncing ditambah pula denfan adu domba, hasutan dan fitnah oleh pelbagai pihak. Akhirnya bahtera kehidupan suami isteri berantakan dan bergelora sehingga mengganggu kehidupan seharian mereka sekeluarga. Antara bibit-bibit pergolakan dan tanda kehancuran sesebuah perkahwinan yang dikesan ialah:
- Pasangan sering bertengkar atas sebab yang kecil.
- Pasangan bermasam muka dan tidak bertegur sapa untuk tempuh yang lama.
- Pasangan merasa kepanasan bila bersama dan rindu bila berjauhan.
- Pasangan tidak mempedulijan antara satu sama lain dan mengelak dari tidur bersama.
- Salah seorang atau kedua2nya mempunyai skandal dengan orang ketiga.
- Sering memukul dan melakukan keganasan ke atas pasangan.
- Cemburu buta, suka mengungkit dan curiga ke atas pasangan.
- dan lain-lain.
Antara puncanya ialah:
- Pasangan tidak mengamalkan ajaran Islam dengan baik dan sempurna.
- Pasangan tidak mempunyai ilmu pengurusan rumahtangga yang cukup.
- Pasangan terkena perbuatan sihir seperti sihir tafriq, sihir ta’til atau ‘ain.
- Pasangan mengamalkan ilmu hitam, memakai susuk, membela pelesit, toyol dsb.
- Pasangan mendapat gangguan jin syaitan atau dipengaruhi elemen saka nasab.
- Dah jodohnya ditaqdirkan sampai di situ.
Jika pasangan menghadapi konflik sedemikian maka antara langkah yang boleh diambil ialah:
- Minta khidmat nasihat daripada kaunselor perkahwinan bertauliah.
- Minta pandangan ahli psikologi atau pakar motivasi perkahwinan terlatih.
- Menemui perawat Islam yang berpengalaman dalam sesi terapi psiko-ruqyah dan menangani kes sihir dan ‘ain (jika berkenaan).
- Mendapatkan khidmat peguam syarie jika konflik agak serius dan perlu diselesaikan menerusi saluran perundangan.
- Paling penting, kembalilah kepada Allah swt untuk memohon pertolonganNya agar segala kemelut dapat diselesaikan tanpa sengketa yang berpanjangan.
- Sentiasa bermuhasabah diri, mengamalkan zikir dan beristighfarbkepadaNya.
Rumusan
Perkahwinan adalah sebuah bahtera yang dilayari bersama suami isteri. Jika tersilap laluan cepat-cepatlah kembali ke haluan. Jika ombak dan badai mengganas, sama-samalah harungi menuju ke destinasi dengan penuh kegigihan dan kesabaran. Perkahwinan adalan ujian Allah ke atas hambaNya. Yang berjaya akan mengecap bahagia, yang gagal perlu bangkit dengan tekad dan azam yang lebih membara dalam memburu kebahagiaan sejati. Semoga setiap pasangan akan bersua kembali di jannah setelah hayat mereka berakhir di dunia yang fana ini, pada suatu ketika nanti yang entah bila, namun pasti.
Tulisan DrAbdy, perunding perkahwinan dan kekeluargaan MHCS
11.10.24

