Wujud ke istilah saka baik?

Sebenarnya tidak ada saka yang baik. Jin-jin saka biasanya mengaku saka yang baik bagi tujuan rawatan, perbidanan, urut-mengurut, membantu dalam kerja perladangan dan menjaga kebun. Ini semua adalah penipuan jin-jin jahat yang berpura-pura membantu manusia tetapi hakikatnya pada akhirnya menuntut balasan kepada pemilik asalnya dengan menyebabkan sakit, nyanyuk ataupun dikuasai oleh jin ketika umur tuanya.

Jin-jin saka yang baik, mereka mengaku kononya bergama Islam dan atas dasar itu, mereka berlaku baik kononnya demi menolong manusia ataupun mengajar manusia. Hakikat yang sebenarnya, jin-jin saka adalah jin-jin kafir tetapi mengaku Islam dan menipu orang Islam. Penipuan mereka demi menyesatkan serta menimbulkan elemen syirik dalam amalan seperti memohon bantuan daripada jin-jin.

Petunjuk Al-Quran sememangnya melarang manusia meminta pertolongan daripada jin-jin bagi melaksanakan tugas-tugas harian ataupun perawatan. Allah Taala berfirman:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

Maksudnya:”`Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.” (Surah al-Jin : 6)

Jin-jin kafir yang mengaku Islam ini selalunya berselindung di sebalik gelaran ‘khadam’, ‘khadam ayat’, ‘rijalul ghaib’, ‘wali-wali Allah’, ‘syeikh-syeikh’ dan ‘malaikat penjaga’. Semua itu mampu merosakkan akidah seseorang kerana penipuan halus ini dapat memperdaya manusia termasuk orang alim dalam agama. Bukankah Allah Taala memerintahkan supaya orang-orang beriman meminta dan berdoa terus kepadaNya tanpa apa-apa perantara / perantaraan?Sekiranya individu itu bersetuju dengan konsep perantara bagi merapatkan hubungan dengan Allah Taala, apakah pula bezanya orang itu dengan penyembah berhala yang meyakini berhala itu bukan tuhan dan hanya sebagai medium mendekatkan diri dengan Tuhan?

Jin-jin yang menyamar sebagai penganut agama Islam dan jin-jin saka yang kononnya baik ini memastikan hidup pemilik-pemiliknya susah ketika tua. Tujuan terakhir mereka sama seperti tujuan asal permusuhan iblis dan manusia, iaitu menghalang manusia daripada beriman kepada Allah Taala dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Pada ketika itu, apabila pemiliknya berada dalam keadaan nazak, jin-jin ini akan menyusahkan dan menghalang habis-habisan pemilik-pemilik asal mereka mengucap dua kalimah syahadah.

Sebenarnya, jin-jin Islam tidak bercampur dengan orang Islam. Sekiranya ada perhubungan sekalipun, ia adalah bersifat minimum dan bukan disengajakan. Jin-jin Islam haram memasuki rumah orang Islam apatah lagi masuk ke tubuh badan mereka. Sekiranya ada jin yang mengaku Islam masuk ke dalam tubuh, rumah, membuat kekacauan ataupun mendatangkan penyakit ke atas manusia, sebenarnya mereka adalah golongan jin kafir yang mengaku beragama Islam.

Firman Allah SWT :

وَيَوۡمَ يَحۡشُرُهُمۡ جَمِيعً۬ا يَـٰمَعۡشَرَ ٱلۡجِنِّ قَدِ ٱسۡتَكۡثَرۡتُم مِّنَ ٱلۡإِنسِ‌ۖ وَقَالَ أَوۡلِيَآؤُهُم مِّنَ ٱلۡإِنسِ رَبَّنَا ٱسۡتَمۡتَعَ بَعۡضُنَا بِبَعۡضٍ۬ وَبَلَغۡنَآ أَجَلَنَا ٱلَّذِىٓ أَجَّلۡتَ لَنَا‌ۚ قَالَ ٱلنَّارُ مَثۡوَٮٰكُمۡ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُ‌ۗ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ۬

Dan [ingatlah] hari di waktu Allah menghimpunkan mereka semuanya, [dan Allah berfirman]: “Hai golongan jin [syaitan], sesungguhnya kamu telah banyak [menyesatkan] manusia”, lalu berkatalah kawan-kawan mereka dari golongan manusia: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian daripada kami telah dapat kesenangan dari sebahagian [yang lain] dan kami telah sampai kepada waktu yang telah Engkau tentukan bagi kami”. Allah berfirman: “Neraka itulah tempat diam kamu, sedang kamu kekal di dalamnya, kecuali kalau Allah menghendaki [yang lain]”. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. (Surah al-An’aam : 128).

Kesimpulannya, tidak ada saka yang baik kerana mereka semua hakikatnya jin kafir yang menunggu masa menyesatkan manusia sepenuhnya, iaitu ketika tibanya ajal atau dalam keadaan sakaratulmaut.

Wallahua’laam.
Ust Asmad – N9
Ahli Berdaftar GPMM