Petua orang dulu kalau jumpa hantu buka seluar

Menutup aurat asalnya adalah antara manusia dengan manusia, bukan antara manusia dengan makhluk ghaib, haiwan, pokok dan sebagainya. Ada pendapat mengatakan jin juga boleh tergoda bila melihat aurat manusia khasnya kaum wanita. Jin juga dikatakan boleh menyukai manusia baik lelaki mahupun perempuan iaitu yang dinamakan jin asyik. Benarkah demikian?.

Selain isu aurat, timbul pertanyaan betulkan jin memperkosai manusia, dan jika berlaku apa sebabnya?. Isu perkahwinan antara jin dan manusia mungkin boleh diseret dalam perbincangan ini, namun biarlah kita kongsi pada ketika lain.

Betulkah jin juga ada keinginan syahwat atau bernafsu ke atas golongan manusia baik lelaki mahupun wanita?. Adakah jin asyik itu kerjanya menggoda lalu kononnya jatuh cinta pada manusia tadi.

Apa tujuan jin berbuat demikian sedangkan dari segi fitrah, kaum jin perempuan juga ramai dan mereka juga tertarik dan berkahwin dan berzuriat bersama kaum mereka dan pasangan mereka sendiri. Kenapa dikaitkan dengan aurat wanita dan bukan aurat lelaki juga. Kenapa jin sendiri tidak menutup aurat kecuali sebilangan kecil jin Islam.

Jika berlaku perkahwinan kenapa jin perempuan sahaja dikaitkan berkahwin dengan manusia lelaki, bukan sebaliknya. Beberapa tahun lepas saya diberitahu seorang bomoh wanita dikatakan berkahwin dengan jin lelaki. Soal hukum perkahwinan tersebut saya tidak sentuh di sini kerana panjang perbahasannya.

Apa yang menyebabkan jin lelaki tertarik pada manusia perempuan tadi sehingga berlaku perkahwinan, yang sebenarnya adalah pemerkosaan baik secara rela mahupun paksa.

Adakah mereka tergoda kerana manusia perempuan itu lebih cantik dari jin perempuan. Allah SWT menjadika makhluk itu berpasang-pasangan dan tertarik sesama bangsa sendiri. Jika berlaku sebaliknya itu di luar fitrah, luar tabie namanya. Yang luar tabie ini biasanya adalah jelmaan syaitan.

Bagaimana pula aurat jin dan manusia?. Adakah manusia membuka aurat di hadapan makhluk ghaib itu dikira haram? Sedangkan manusia tidak nampak mereka. Seperti juga manusia tidak nampak malaikat dan qarin sedangkan mereka sentiasa ada bersama manusia.

Hukum asal dilarang memperlihat aurat di hadapan manusia sahaja, dari dilihat oleh ajnabi atau bukan mahram. Bukankah jika dilapisi pakaian setebal mana sekalipun jin tetap boleh melihat aurat manusia. Di balik dinding besi dan konkrit tebal pun jin boleh melihat.

Aurat adalah antara manusia sesama manusia kecuali membuka aurat khasnya aurat mughallazah di hadapan jin yang sedang melakukan penyamaran atau penampakan, ulamak melarang kerana ketika itu dia bukan ghaib lagi, dia sudah jadi makhluk kasar, hakiki, Begitu juga membuka aurat di hadapan haiwan seperti kembu, kucing dan lipas, itu tidak mengapa bahkan telanjang sekalipun boleh jika tiada sorang pun manusia lain di situ.

Apa yang ingin disebut di sini, aurat itu bukan sekadar aurat tetapi adab. Contohnya ketika berada di rumah dan tiada sesiapapun kecuali dia seorang, maka mereka dia boleh bertelanjang, tetapi adab bukan begitu.

Begitu juga jika hanya suami isteri berada di rumah, nak buka aurat mughallazah pun harus. Namun manusia masih terikat dengan adab yang harus dijaga. Manusia tetap diperhatikan Allah SWT dan malaikat walau di mana mereka berada.

Ada orang beri petua, jika hantu muncul di depan kita, cepat-cepat buka seluar nescaya hantu akan lari-lintang pukang. Yang beri petua pun itu tak pernah buat kot, kalau berlaku dia yang lari dulu. Kalau betullah petua tu, cubalah, jangan pula kena prank oleh kawan sudah.

Akhir kalam, walaupun tiada aurat antara manusia dengan makhluk ghaib, namun manusia kena beradab. Apatah lagi jika ada pengamal ilmu sihir yang boleh menghijab diri dari dilihat oleh manusia lain, masuk ke rumah dan melakukan sesuatu sebagai ‘invisible man’, maka kita yang rugi terutama kaum wanita sebagai mangsa. Maka berhati-hatilah di samping selalu istiqamah dengan ruqyah tahsin rumah, diri dan keluarga. Sekian,

Dr Abdy
23.2.24.