Perawat menyembuhkan penyakit?
Dalam konsep pengubatan Islam, perawat cuma berikhtiar dan kesembuhan itu adalah milik Allah swt. Samada Dia hendak menyembuhkan atau tidak. Samada segera sembuh atau tertangguh sembuh. Atau Allah menyembuh penyakit lain pada seseorang yang dia tak sedari. Atau Allah menggantikan dengan penghapusan dosa seseorang pesakit yang tetap reda dan bersabar dengan ujian Allah.
Berdasarkan pemerhatian dan pengakuan perawat sendiri termasuk sorotan dalam media sosial, didapati ramai yang mendakwa dia berjaya mengubat ramai orang itu orang ini, pesakit itu pesakit ini, bermacam-macam penyakit kronik berjaya sembuh. Sakit yang doktor pakar pun gagal menyembuhkan pesakit. Dah pi banyak tempat, darul itu darul ini, pusat rawatan itu ini, tak juga sembuh. Tapi setelah pesakit jumpa dia dan rawat terus sembuh. Bila ditanya berapa ramai pula pesakit yang dia rawat tak sembuh-sembuh, dia tak jawab pulak. Bukan semua begitu, hanya segelintir yang tidak memahami konsep pengubatan Islam.
Perawat tidak boleh mendakwa begitu begini. Almarhum Tuan Guru Haron Din sering memperingatkan perawat, jangan mendakwa pesakit itu sembuh kerana dia yang merawatnya. Kita tidak tahu doa dan ruqyah siapa, perawat mana yang Allah mustajabkan doanya. Mungkin Allah perkenan doa dalam hati anak kecil yang menemani ibunya menerima rawatan, Memohon agar Allah melepaskan kesengsaraan dan kesakitan ibunya, lalu Allah sembuhkan ibunya, bukan kerana doa perawat, tapi doa si anak yang ikhlas berbanding perawat yang turut memikirkan berapakah habuan yang bakal diberi nanti.
Mohon maaf, saya tidak mengata semua perawat begitu, namun bisikan iblis akan sentiasa menancapkan benderanya untuk menggugat keikhlasan perawat.
Ada ketikanya keluarga pesakit kurang menghargai pengorbanan dan usaha gigih perawat, mereka harapkan cuma keikhlasan perawat, bukan depa. Bayangkan pesakit datang naik Merc, Porsche, Ferrari, vvip, ada title bergelar, kerabat diraja pulak tu, selesai rawatan perawat diberi sampul, hati perawat dah berbunga, lega, syukur, tapi bila sampul dibuka.., masyaAllah ciput sangat, nak pekena kopi kat stabak pun tak lepas (ni kisah sebelum era boikot lah). Apapun reda je lah.
Kisah benar lain, perawat berempat bergerak dari KL ke JB menaiki Volvo. Pi pagi pulang malam, merawat sebuah keluarga pesakit yang menjemput mereka. Masa nak balik mereka bersalaman dan ucap terima kasih tapi yang dihulur cuma RM20. Bayangkan RM20 untuk empat orang. Dalam kereta mereka gelak, padan muka kami, tapi sayu. Perawat terpaksalah ikhlaskan diri, nak buat macam mana lagi. Duit petrol, tol, makan minum, air ikat tepi dan kacang, semua tak lepas, guna duit kocek sendiri, kebetulan kena saman speed trap pulak. Perawat dikira kena ikhlas, bukan keluarga pesakit. Agak2 jika keluarga tu jemput lagi nak pi ke tak. Pi lah, perawat kena kental.
Kisah benar lain, perawat bertiga dari KLIA ke LTSIP, kat sana merawat keluarga mangsa sihir yang jemput mereka, tiga hari tiga malam. Sewa kereta, tiket flight, bil hotel, makan minum semua dari kocek sendiri. Masa nak berangkat ke airport, siap ketua keluarga cakap; terima kasih banyak kerana datang, kami tak beri apa-apa sebab kami diberitahu rawatan di Dxxxxxxa’ adalah percuma.
Sebab itu perawat jangan kecewa, orang hulur ambil, tak hulur tetap senyum. InsyaAllah akan adalah rezeki lain yang tidak terjangka nanti. Bukan itu saja ada pesakit setelah selesai rawatan, siap minta derma kat perawat. Nak jadi perawat hadap je lah. Perawat alternatif lain caj RM1 K pun releks je depa bayar. Perawat Islam ni kena ikhlas.
Kembali pada kesembuhan penyakit tadi, Almarhum Tuan Guru Haron Din pernah memberi analogi berikut:
Penyakit ibarat sebuah batu besar dipuncak sebuah bukit, tak bergerak walau digoncang ribut dan taufan. Lalu datang perawat pertama meruqyah dan batu bergerak sikit, datang peruqyah kedua, tambah lagi bergerak, sehingga datang peruqyah terakhir yang mendapati batu tu dah bagai di hujung tanduk, jentik sedikit pun pasti terjunam ke bawah gaung. Setelah perawat terakhir meruqyah, dengan izin Allah batu itu tergolek lalu terhumban ke bawah bukit. Begitulah ibarat penyakit itu hilang dan sembuh.
Perawat terakhir biasanya ‘claim’ kerana ikhtiar dialah maka pesakit itu sembuh. Soalnya, doa siapa yang Allah mustajabkan, siapa tahu. Mungkin perawat terakhir atau doa semua perawat atau doa si anak kecil, hanya Allah yang tahu.
Sebab itu upah yang diberi adalah atas usaha gigih, penat lelah dan ikhtiar perawat, bukan kerana sembuh atau tidak. Jangan bila sembuh baru bayar, tak sembuh jangan bayar. Jika begitu lebih baik beri je khidmat percuma. Contohilah Almarhum Tuan Guru Haron Din yang enggan menerima sebarang upah setelah merawat pesakit tidak kira berapa jauh pesakit itu berada. Bahkan beliau marah jika diberi upah dengan katanya: hang nak bagi ke nak sembuh, kalau nak sembuh jangan bagi. Katanya, jika nak beri juga, berilah kepada Darulsyifa untuk menampung kos operasi harian. Sering arwah pula yang beri sedekah kepada pesakit.
Begitulah secebis peringatan untuk dikongsi bersama, tak kira oleh perawat berpesatuan, perawat solo, part timer mahupun full timer. Sekian,
Dr Abdy
21.2.24.

