Ilmu kebatinan dalam seni beladiri
Saya tidak pasti hendak mula dari mana, hanya terpanggil untuk menulis tajuk di atas walaupun saya bukan orang yang selayaknya dan tolong maafkan jika terdapat butiran yang tidak tepat. Seni bela diri ada banyak disiplin seperti judo, aikido, silambam, karate, taekwodo, kungfu, wushu, wing chun, muay thai, silat dan lain-lain.
Tulisan ini hanya menyentuh mengenai silat melayu. Kajian mendapati terdapat lebih 100 perguruan silat melayu berdaftar yang masih aktif di Malaysia (boleh rujuk PESAKA untuk dapatkan angka tepat). Terdapat juga pecahan dari perguruan asal seperti silat gayong dan silat cekak yang terdiri dari puluhan cabang lagi seperti silat gayong patani dan silat cekak Hj Hanafi.
Perkembangan pesat ini didorong oleh keperluan masyarakat melayu sejak zaman pendudukan kolonial lagi seperti zaman Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun , peristiwa darurat, 13 Mei dan banyak lagi.
Demi mempertahan bangsa dan agama, silat melayu hidup subur dan hampir segenap kampung dan desa wujud gelanggang persilatan. Silat juga diangkat menjadi babak-babak penting peratarungan dalam filem baik di negara ini mahupun di negara jiran. Siapa tidak kenal Nordin Ahmad, Ahmad Mahmud, Ghazali Sumanti, Omar Suwito, Latif Borgiba, Eman Manan, Chuck Norris, Sylvester Stallone, Jacky Chan, IP Man, Jet Lee. Sumo Hung, Dicky Zulkarnain, Barry Prima, Advent Bangun, dan ramai lagi yang menonjolkan seni bela diri masing- masing. Dalam muay thai muncul nama-nama besar seperti Rod Tang, Tonny Jaa, Johan Ghazali dan ramai lagi.
Semua ini mencetuskan gelombang dan sensasi baharu serta menarik minat anak-anak muda belajar silat dan silat memberi impak yang besar dalam sistem pendidikan negara lalu kemudiannya diajar di sekolah-sekolah dan IPT sebagai aktiviti ko- kurikulum. Tidak cukup dengan itu silat dijadikan acara olahraga dan menjadi salah satu disiplin sukan yang dipertandingkan.
Silat ada beberapa jenis seperti seperti pencak silat, silat cantik atau silat pertunjukan, silat pulut atau silat pembuka majlis, silat bela diri, silat olahraga, silat kebatinan dan lain-lain. Ada juga seni silat yg berunsur Islam dan ada yg berpengaruh luar termasuk dikaitkan dengan saka perubatan. Guru silat biasanya juga bertindak sebagai perawat atau pengamal pengubatan. Dalam pertandingan silat dulu-dulu, elemen mentera tidak dapat dipisahkan baik semasa membuka gelanggang, sebelum pertandingan mahupun selepasnya bahkan bomoh dan pawang kerap dibawa ke gelanggang agar kemenangan atau kekalahan ditentukan atas pilihan broker judi. Selain itu bomoh ditugaskan untuk menangkis serangan pengaruh ilmu hitam dari terkena ke atas pesilat.
Perguruan silat juga ada sebahagiannya turut mengajar kepada murid-murid tua yang berada pada tahap tertinggi perguruan dengan ilmu-ilmu kebatinan dan kekebalan agar perguruan tersebut disanjung, dihormati dan digeruni oleh lawan mahupun kawan.
Saya cuma ingin fokus mengenai silat yg ada bercampur dengan ilmu hikmah dan kebatinan, ertinya sedikit demi sedikit silat yang asalnya murni telah dicemari. Hal ini tidaklah aneh kerana Hang Tuan sendiri bergantung pada keris berpuaka Taming Sari, yang sebenarnya panglima Majapahit sengaja mengalahkan diri sendiri atas muslihat. Dengan itu terungkap dalam sejarah bahawa Hang Tuah bukan hebat sangat kerana dia bergantung pada sebilah keris yang pemegangnya kebal senjata.
Sebelum ini ramai pelajar saya yang mengkaji dan menulis tesis dan FYP berkaitan seni beladiri yang bernuansa Islam dan turut menemui beberapa amalan khurafat, mitos dan tahyul. Saya bukanlah pesilat cuma ada sedikit pengalaman masa lalu, ketika remaja dulu selalu ikut join kawan-kawan dalam latihan silat kalimah, main tongkat dan tomoi (dulu dikenali sbg kutto siam, kini muay thai) secara suka-suka dan curi-curi sebab mak ayah saya tidak menggalakkan saya terlibat dalam aktiviti mirip keganasan yang boleh mendatangkan kecederaan. Saya tidak pernah naik stage (gelanggang) dalam mana-mana perlawanan, cuma selalu menyaksikan perlawanan, sekadar penuhi masa lapang. Stage yang popular masa tu ada di Besut, Tumpat dan Golok) Antara jaguh tomoi di tempat saya ketika itu dikenali sebagai mamat siku kapak. Bila terkena siku dia memang terbelah kepala lawan, dan dia selalu naik stage di golok.
Antara amalan untuk jadi pemberani dalam kalangan petarung ialan tangkap dan belah perut ular tedung hidup, ambil semua organ dalaman seperti hempedu, hati dan darah lalu ditelan mentah-mentah.
Dalam persilatan budak-budak yang mula masuk gelanggang silat kena makan pedal ayam mentah-mentah sebagai simbolik agar semangat menjadi kental dan keras seperti pedal ayam.
Silat kalimah misalnya dikatakan wujud lebih awal dari nasrul haq yang popular sejak peristiwa 13 mei 1969. Guru hanya ajar untuk dapatkan jurus secara batin tanpa belajar buah-buah atau jurus silat seperti lazimnya dalam silat gayong, cekak hanafi, harimau berantai, selendang merah dan lain-lain. Jurus apa yang dihajati dan diberi fokus dengan mantera tertentu, akan dapat jurus serta merta dan berlaku gerakan silat secara spontan. Jika mahu jurus hang tuah atau hang jebat atau lekir, ia akan terjadi masa tu juga. Jurus Bruce Lee terlupa pula nak cuba . . Bahkn silat kalimah melalui jurus panahan, kami boleh jurus ke tandan buah kelapa yang pohonnya tinggi, terus buahnya jatuh ke bumi hanya dengan panahan mata. Apa sahaja yg kami tendang, pukul dan tumbuk objek keras seperti konkrit dan batang kelapa, bukannya batang pisang macam budak-budak, sikitpun tidak terasa sakit. Selepas sedar dari lamunan semua, baru adoi terasa sakit dan perit badan. Zaman budak-budak memang tak takut apa, pi tidur atas kubur, dalam gua pun tak takut apa. Cuba sekarang, tak takut tapi serem ada.
Secara ringkasnya antara amalan dan ritual yang aneh dan pelik ialah:
- Ritual pelajar baharu dengan disajikan makanan pelik seperti pedal ayam mentah dimakan bersama pulut kuning.
- Mandi minyak panas sebagai syarat pengijazahan.
- Tidur atau berjalan atas bara api.
- Makan kaca selama 40 hari.
- Bertapa atau bersuluk dalam gua tertentu selama 40 hari tanpa sebarang makanan kecuali segenggam beras.
- Ujian kekebalan, biasanya badan atau lengan akan ditetak dengan parang atau pedang.
- Ujian ketahanan pernafasan dengan ditanam dalam lubang tanah.
Saya tidak merujuk kepada amalan perguruan tertentu atau menyinggung mana-mana pihak, sekadar berkongsi sebahagian dari pengalaman dan hasil kajian. Lagipun hanya perguruan tertentu mengamalkannya pada waktu dulu, namun nampaknya ia muncul kembali. Ritual-ritual di atas jarang kedengaran kerana masyarakat dah mula tidak berghairah menyertai silat lagipun budak-budak sekarang leka bergadget dan bertiktok.
Apapun tidak juga ingin menghukum, jika terdapat kesamaran atau kemusykilan, rujuk lah pihak berotoriti agama atau GPMM, semoga mereka dapat memberi nasihat yang betul.
Sekian, Dr Abdy
4.2.24