Melupus benda bersaka
Masih ramai yang menghadapi gangguan sihir dan saka. Kedua-duanya berbeza namun kesannya hampir serupa. Tujuan utama sihir ialah mengkhianati atau menyakiti orang atas sebab-sebab tertentu, adapun saka bertujuan untuk menjaga dan melindungi ahli waris termasuk tujuan lain seperti menjaga kebun dan ladang, membantu urusan mengubat atau berbidan, mengurut, urusan pekerjaan dsb. Yang pasti kedua-duanya melibatkan penyertaan jin syaitan iaitu samada jin penyihir atau jin khadim atau jun nasab. Dalam kalangan peruqyah Arab mereka memberi istilah سحر الموروث .
Sihir pula terbahagi kepada beberapa jenis seperti:
سحر الماءكول والمشروب
سحر المدفون
سحر المرشوش
سحر المرصوص
dan lain-lain.
Saka umumnya terbahagi kepada dua iaitu saka air dan saka darat. Perlu diingat bahawa buhul sihir adalah berbeza dengan benda bersaka.
Apabila sesebuah keluarga disyaki memiliki saka, baik saka perubatan, saka seni bela diri, saka perbidanan atau urutan dll, maka semua ahli waris dari lapis atas hingga ke bawah hendaklah dikumpulkan berserta barang-barang atau benda-benda yang dikhuatiri bersaka. Tujuannya untuk diruqyah dan pembacaan ikrar pemutus saka.
Saya tidak ingin menyentuh pasal ruqyah ke atas ahli waris dan amalan pemutus saka kali ini, cuma ingin terus ke topik kali ini.
Barang atau benda yang dikhuatiri bersaka dan terdapat tanda dan gejala yang ketara mengganggu maka perlu dikumpulkan untuk upacara pembuangan atau pelupusan isinya. Barang tersebut biasanya terdiri dari:
- Barang kemas
- Aksekori dan perhiasan
- Tepak sirih
- Cucuk sanggul
- Cincin dan permata
- Jam tangan dan tali pinggang
- Senjata seperti keris, pedang, tongkat dll
- Selempang dan selendang
- Alatan perbomohan dan perbidanan.
- Alatan memasak
- Dll
Perlu diingat ada saka lama dan ada saka baharu. Bukan sahaja benda antik dan lama tetapi juga benda baharu termasuk minyak wangi, tasbih, kitab amalan dll ada potensi bersaka.
Perlu difahami juga bahawa istilah melupus bukan bererti memusnah, membakar dan membuangnya ke tempat tertentu seperti di sungai atau ditanam. Yang hendak dilupus ialah isinya sahaja, bukan bendanya. Apa itu isinya. Isinya ada jin saka yang ditambat yang menjadi sarang untuk menghuni dalam benda2 tadi dan boleh keluar masuk bila-bila masa baik disedari oleh pemilik atau pewaris saka mahupun tidak. Ramai orang yang tidak menyedari pun mereka bersaka. Kenapa saka perlu dibuang dan isi tempat dia menumpang perlu dikosongkan. Saya percaya semua perawat dah tahu. Antara kaedah membuang isi (aura negatif) bahan-bahan tersebut ialah:
- Cek satu persatu benda tadi samada terdapat unsur atau aura negatif atau tidak.
- Asingkan yang beraura positif dan kumpulkan yang beraura negatif untuk tindakan selanjutnya .
- Semua bahan beraura negatif perlu diruqyah termasuk doa pendinding dan muawwizah dan tiup ke atas benda-benda tadi.
- Boleh renjis air bacaan ruqyah ke atasnya.
- Jika auranya amat negatif, boleh taburkan garam kasar ke atasnya atau celup ke dalam bekas berisi air garam selama 3 hari.
- Setelah semua langkah di atas dilakukan, cek sekali lagi jika masih terdapat benda yang beraura negatif, ulangi langkah di atas sekali lagi.
- Setelah semua teruskan dengan doa penutup untuk keselamatan seluruh ahli keluarga agar saka tak kembali lagi.
Nota: Kena ingat, saka biasanya akan kembali dalam tempoh 6 bulan setelah dilepaskan. Justeru itu ajarilah ahli keluarga membaca doa dan zikir secara istuqamah. Mungkin ada yang tertanya, macamana perawat itu tahu ianya beraura positif atau negatif ataukah perawat menilik?. Sudah tentu tidak. Perawat tak boleh nampak jin tapi boleh merasai kehadirannya menerusi sentuhan atau pandangan. Telahan dan dugaan itu biasanya bergantung pada pengalaman dan skill seseorang perawat. Bolehlah bertanya bertanya dengan guru berhampiran anda dan hendahlah bersemuka, tak bolehlah secara maya.
Perlu juga diketahui tidak semua benda yang dah dilupuskan isinya sesuai dibuang atau dimusnahkan, namun benda-benda yang pernah berisi ada risikonya untuk disimpan atau dipakai kembali. Contohnya barang kemas boleh dijual, untuk dileburkan dan buat barang kemas lain atau ‘trade in’ saja.
Itu antara kaedah yang saya dan team saya selalu buat. Perawat lain terpulanglah pada cara masing-masing, asalkan tidak terpalit dengan elemen kesyirikan, teruskan, sebab itu sebahagian dari tajribah.
Sekian, Dr Abdy
25.1.24

