Kaedah memagar rumah menurut amalan perawat Islam
Pengamal perubatan baik dari aliran tradisional mahupun aliran Islam berasaskan tibb nabawi sering diminta untuk memagar rumah atau premis, sekolah, kilang dsb. Pagar ini dikenali juga sebagai pagar hikmat atau batin atau pagar ghaib, sebab tiada konkrit, tiang besi atau simen, baru bata dsb yang kelihatan secara fizikal dibina sebagai pagar. Tujuannya ialah untuk mendindingi premis dari kemasukan entiti ghaib, jahat serta berunsur sihir. Juga untuk mengusir jin syaitan dari menghuni di premis serta mengganggu. Tujuan lain ialah menyediakan tapak atau penambat untuk penjaga atau pengawas rumah yang terdiri dari genderuo atau hantu raya. Yang ini biasanya dilakukan oleh dukun dan pembela saka.
Menurut kaedah tradisional, antara objek yang sering digunakan ialah paku bersaiz 4 inci sekurang-kurangnya untuk 4 penjuru rumah, juga teras pokok asam jawa, tahi besi dan besi batu. Ada juga yang menggunakan teras pokok larak. Salah satu objek di atas akan dipilih untuk ditanam atau dipasak di beberapa penjuru rumah dan kawasan sekitar melalui proses pembacaan mantera yang tentunya bercampur syirik.
Terdapat juga kononnya perawat Islam yang dikenali sebagai uskun (ustaz dukun) yang menggunakan bahan yang serupa tetapi turut dibacakan beberapa jenis selawat dan ayat al-Quran
Sudah tentu para pengamal dipanggil untuk melakukan pelbagai ritual pemagaran menurut ajaran perguruan mereka. Ada juga yang menggunakan garam kasar, lada hitam, limau, lada kering dan bawang putih dan juga tanah kubur. Saya tidak mengatakan bahawa bahan2 tersebut salah kerana bahan tak bersalah apa2.,Yang salah jika menggunakannya secara salah. Yang jadi masalah bila seseorang itu bercampur kaedah kerana bercampur2 perguruan yang pernah diikuti sehingga dia menjadi bingung yang mana satu nak dipilih dan diamalkan, akhirnya boleh mengundang fitnah sebab kepelikan cara amalannya,
Berbalik kepada amalan perawat Islam tulen, mereka lebih gemar menggunakan garam kasar dan air mineral sahaja, berdasarkan kaedah
رش الماء المرقى dan
رش الملح فى اماكن المسحورة
yang terdapat dalam kitab2 tibb.
Di lokasi pengamal akan mulakan dengan sedikit tazkirah diikuti dengan bacaan yaasiin, solat hajat, bacaan rangkaian zikir dan doa2 tertentu, kemudian barulah air yang telah diruqyahkan direnjis di segenap ruang, begitu juga garam kasar. Adapun penggunaan lada hitam itu adalah pilihan tambahan, guna boleh tak guna boleh, Namun hasil pengalaman berkomunikasi dgn jin, mereka mengatakan garam dan lada hitam sangat ditakuti dan boleh menyakiti mereka. Jadi jika ada jin syaitan yang kata dia tak terkesan apa2 pun dengan garam dan lada hitam, itu tandanya dia sedang melawak (berbohong).
Kesimpulannya carilah pengamal yang benar2 tidak membuat benda2 pelik yang boleh mencetuskan fitnah. Ada yang kata, bomoh, dukun, tok cha, tok sami, tok batin dll pun mengubat dan ramai sembuh. Ketahuilah penyembuh itu hanya Allah dan Dia boleh memberikan kesembuhan kepada sesiapa sahaja makhlukNya. Tinggal lagi adakah amalan mereka direstui dan diredai oleh Allah. Jangan asal saja sembuh semua boleh, bahkan lbh mengkagumi pengubatan lain berbanding pengubatan berteraskan tibb nabawi.
Sekian,
Dr Abdy
23.1.24