Waspada apabila dapatkan rawatan perubatan Islam – Azwaniey

SHAH ALAM – Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika meminta bantuan daripada pengamal perubatan Islam untuk merawat penyakit misteri yang dialami.

Pengamal perubatan Islam dari Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM), Azwaniey Ahamad berkata, segelintir pengamal perubatan berkenaan mengamalkan khadam ayat sebagai ‘orang tengah’ ketika merawat.

“Ada antara mereka berpakaian seperti ustaz, ada juga yang berkemampuan membaca al-Quran tetapi setiap ayat yang digunakan berkhadam.

“Berkhadam maksudnya ada bantuan jin Islam dan kaedah itu adalah dilarang oleh Allah dan Rasulullah SAW. Islam melarang berkoloberasi dengan jin walaupun jin Islam, seboleh-bolehnya buat rawatan tidak ada campur tangan jin,” katanya ketika dihubungi baharu-baharu ini.

Terdahulu media melaporkan, penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias memaklumkan beliau diserang penyakit misteri dan memohon bantuan orang ramai sama ada doktor atau perubatan alternatif untuk merawatnya.

Menerusi hantaran di laman Facebook beliau, Mohd Kazim atau dikenali sebagai Ustaz Kazim dilihat memuat naik keadaan terkini dirinya yang mengalami luka di seluruh badan termasuk di bahagian muka.

Dalam pada itu Azwaniey berpandangan, keadaan yang dialami oleh Ustaz Kazim sejak lapan bulan lalu bermungkinan akibat terkena ain hasad daripada individu yang mempuyai hasad dengki terhadap penceramah selebriti itu.

“Dalam isu Ustaz Kazim, melihat keadaannya ia berada di peringkat paling tinggi iaitu aid hasad yang mana doktor tidak boleh nak pastikan adakah disebabkan penyakit atau tidak. Aid hasad kalau perawat yang tidak belajar kaedah rawatan, dia akan buat rawatan sihir, maka tidak akan ‘ngam’.

“Ustaz Kazim seorang selebriti dan mungkin banyak musuh, bukan setakat syaitan dan manusia, ada juga jin, dendam iblis dengan dakwah yang disebarkan.

“Apabila dia umumkan (di facebook) sesiapa boleh rawatnya, orang dari pelbagai bidang akan cuba nasib dan disitu akan ada ‘effect’, maka perlu berhati-hati,” ujarnya.

Sementara itu Azwaniey turut menasihatkan orang ramai yang terkena penyakit misteri untuk mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan Islam yang bertauliah.

“Biasa pengamal Islam yang merawat orang, mereka akan bacakan ruqyah secara berdepan untuk tahu ada jin atau tidak, tetapi teknik saya adalah mendiagnosis dahulu.

“Pesakit akan diberikan borang untuk diisi dan kelaskan jenis penyakit yang dialami sama ada sihir, gangguan jin almas, jin pencinta atau jin saka,” katanya.

Sumber: (Press release) Ustazah Azwaniey Ahamad, Pengamal Pengubatan Islam & Terapi tradisional De’ Salama, Ipoh, Perak. Ahli Gabungan Perawat Islam Malaysia (GPMM).